Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha hidupkan legasi korban 3 generasi di Masjid Omar Salmah
Usaha hidupkan legasi korban 3 generasi di Masjid Omar Salmah
Penyembelih mapan ingin didik generasi muda agar teruskan tradisi, pupuk ukhuwah sempena Aidiladha
Usaha hidupkan legasi korban 3 generasi di Masjid Omar Salmah
Masih terpahat dalam ingatan Encik Saifuddin Haji Said, detik membantu arwah bapanya, Allahyarham Haji Said San Alwi, membuat persiapan bagi ibadah korban.
Kaki kambing korban itu meronta-ronta dalam genggaman Encik Saifuddin, yang ketika itu baru berusia 11 tahun, apabila beliau buat kali pertama membantu arwah bapanya mengendalikan ternakan korban.
Sebagai anak bongsu tiga beradik, Encik Saifuddin bersama dua abangnya, masing-masing memikul tanggungjawab tersendiri dalam membantu pelaksanaan ibadah korban di Masjid Omar Salmah, yang terletak di Jalan Mashhor (sekitar kawasan Novena dan Moulmein).
“Daripada kecil lagi, kami memang rapat sebagai keluarga.
“Apabila abang-abang saya ikut bantu ayah, saya pula tak mahu ketinggalan,” katanya sambil tertawa.
“Setiap daripada kami ada peranan berdasarkan kemahiran masing-masing.
“Ada yang mahir melapah (memotong daging korban) dan ada yang menguruskan persiapan. Ayah pula merupakan penyembelih utama.
“Saya pula ketika itu, sering bersama beliau, dan ditugaskan memegang kaki kambing semasa beliau melakukan penyembelihan.
“Dari situlah, saya belajar melihat bagaimana semuanya dilakukan dan mula tertarik untuk menjadi penyembelih juga,” kata beliau.
Demikian antara kenangan yang masih segar dalam ingatan Encik Saifuddin setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha sejak menjadi penyembelih pada usia 26 tahun.
Kini, pada umur 53 tahun, Encik Saifuddin masih menjadi antara wajah yang tidak asing lagi di Masjid Omar Salmah, salah satu daripada empat masjid yang mengambil bahagian dalam program korban secara langsung SalamSG 2026.
Berkongsi ilmu bagaikan menabur benih, beliau ingin mewariskan pengetahuan dan amanah itu kepada golongan muda, memandangkan ramai penyembelih berpengalaman kini semakin berusia.
Anak saudaranya, Encik Mohd Danial Mohd Yusoff, antara mereka yang Encik Saifuddin didik, bahkan akan menyertai ibadah korban pada 2026.
Ini menjadikan Encik Mohd Danial, 32 tahun, generasi ketiga penyembelih korban keluarga tersebut di Masjid Omar Salmah.
Beliau, yang menyembelih ternakan pertamanya pada usia 18 tahun, berkata:
“Entah kenapa saya sendiri tidak pernah rasa pelik atau takut apabila terlibat dalam upacara korban sejak kecil.
“Saya rasa ia lebih kepada rasa tanggungjawab kerana dari muda lagi kami sudah terdedah kepada ibadah ini.
“Bagi saya, ia bukan sebab kami jadi kebal atau tidak sensitif, tetapi kerana kami diajar tugas ini perlu dilakukan dengan betul dan penuh tanggungjawab kerana amanah ini juga yang akan membezakan jika daging yang disembelih halal atau haram.
“Jadi, ia bukan sekadar tentang diri sendiri.
“Kami melakukannya untuk masyarakat juga kerana daging korban itu akhirnya akan diagihkan kepada golongan memerlukan dan penerima bantuan,” kata bapa tiga anak kecil itu.
Sekitar 150 ekor domba (kibas) dan 100 ekor kambing diterbangkan dari Australia ke Masjid Omar Salmah bagi pelaksanaan ibadah korban pada 2026.
Pengurusan ibadah korban di masjid tersebut dikendalikan syarikat penyedia korban, Aliyah Rizq Holdings (ARH).
Lebih 270 sukarelawan telah mendaftar untuk membantu pelaksanaan korban di masjid itu, menjadikannya antara kumpulan sukarelawan terbesar di bawah kendalian ARH 2026.
Ketua Pegawai Operasi ARH, Cik Nabilah Bagarib, mendedahkan sekitar 1,100 sukarelawan terlibat di bawah syarikat itu pada 2026 secara keseluruhan, berbanding sekitar 900 orang pada 2025.
Daripada jumlah tersebut, lebih 40 peratus terdiri daripada anggota keluarga yang melakukan kerja sukarela korban, termasuk pasangan suami isteri, ibu bapa dan anak-anak, serta sepupu dan saudara-mara lain.
“Apa yang paling menyentuh hati ialah rasa bangga yang mereka tunjukkan terhadap satu sama lain apabila berkongsi pengalaman melakukan korban bersama keluarga, malah melihat proses pemindahan ilmu itu berlaku setiap tahun semasa musim korban merupakan sesuatu yang amat bermakna buat kami,” ujar beliau.
Encik Saifuddin, yang juga Penolong Pengurus (Sokongan Teknikal) di sebuah syarikat pencahayaan, menyifatkan peningkatan jumlah individu yang melibatkan anggota keluarga lain dalam menawarkan khidmat sukarela itu sebagai satu perkembangan yang menggalakkan selepas beliau sendiri menyaksikan beberapa generasi sukarelawan silih berganti melaksanakan ibadah korban dari semasa ke semasa.
Malah, sering kali ibadah korban menjadi wadah mengeratkan hubungan kekeluargaan, tambahnya.
“Saya dapat lihat sekarang semakin ramai golongan muda, termasuk mereka dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an tahun, mula tampil dan menunjukkan minat untuk mempelajari selok-belok ibadah korban serta membantu pelaksanaannya agar tradisi dan amanah tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Melaksanakan korban ini seperti satu misi buat kami.
“Setiap tahun, kami akan ingatkan anak-anak mengapa kami perlu terus melakukannya,” kata beliau.
Malahan, ibadah korban sempena Aidiladha menjadi antara acara yang paling dinantikan Encik Saifuddin sekeluarga meskipun sambutannya sering kali berbeza daripada kebiasaan keluarga lain.
“Berbeza daripada keluarga lain, sambutan Aidiladha kami banyak diluangkan di masjid untuk membantu pelaksanaan ibadah korban.
“Sejak kecil lagi, memang begitu suasananya.
“Mungkin ada orang lihat ia sebagai satu pengorbanan kerana kami kurang beraya seperti keluarga lain, tetapi bagi kami, ini cuma cara kami membantu dan meneruskan apa yang sudah dilakukan arwah ayah kami sejak dahulu.
“Yang penting bagi kami adalah dapat sama-sama melakukan ibadah ini dan bantu masyarakat dengan apa yang termampu,” ujar beliau.
Beliau berkata semangat itu juga yang mahu diterapkan kepada generasi penyembelih akan datang, terutama apabila ramai penyembelih sedia ada kini semakin berusia.
“Tetapi saya harap apa juga niat mereka, semuanya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab.
“Apabila melihat generasi muda mahu meneruskan tradisi ini, saya rasa bangga,” ujar Encik Saifuddin.
“
“Berbeza daripada keluarga lain, sambutan Aidiladha kami banyak diluangkan di masjid untuk membantu pelaksanaan ibadah korban. Sejak kecil lagi, memang begitu suasananya. Mungkin ada orang lihat ia sebagai satu pengorbanan kerana kami kurang beraya seperti keluarga lain, tetapi bagi kami, ini cuma cara kami membantu dan meneruskan apa yang sudah dilakukan arwah ayah kami sejak dahulu. Yang penting bagi kami adalah dapat sama-sama melakukan ibadah ini dan bantu masyarakat dengan apa yang termampu.”