Walaupun pada awalnya kurang berminat dalam bidang kewartawanan, Aisha Mohammed Rafique, dari Sekolah Menengah Bedok South, kini melihat bidang kerjaya ini dari perspektif baharu selepas menyertai Kem Wartawan Muda Gen G, anjuran Berita Harian (BH).

“Sebenarnya saya tidak minat sangat dalam bidang kewartawanan, tetapi kem ini membuka mata saya tentang dunia kewartawanan,” kata Aisha, 15 tahun, selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bakal Wartawan.

Selain kejayaan individu itu, Aisha – yang memenangi trofi, sijil dan hadiah berupa papan kekunci Logitech – turut membantu pasukannya muncul sebagai juara keseluruhan pertandingan kendalian akhbar pelajar BH, Gen G, berlangsung pada 2 dan 3 Jun di Auditorium SPH Media di Toa Payoh North.

Kem dengan penyertaan seramai 86 pelajar dari 18 sekolah menengah ini diadakan dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Aisha mengakui terkejut dengan kemenangan pasukannya kerana menyangka sekolah lain mempunyai kelebihan tersendiri.

“Saya amat teruja dengan pencapaian kami tetapi saya ingatkan sekolah saya tidak akan menang memandangkan terdapat banyak sekolah lain yang hebat,” jelasnya.

Program dua hari sempena cuti sekolah itu bertujuan memperkukuh kemahiran kewartawanan serta penghasilan kandungan digital dalam kalangan pelajar.

Sepanjang kem, peserta mengikuti pelbagai sesi perkongsian, bengkel dan kegiatan interaktif termasuk penulisan berita, fotografi, penyuntingan video serta kecelikan media.

Menurut Aisha, antara kemahiran baharu yang dipelajarinya ialah teknik fotografi yang diperlukan untuk menghasilkan gambar yang kelihatan lebih tersusun dan menarik.

Namun, beliau mengakui cabaran terbesar pasukannya ialah proses penyuntingan yang memakan masa dan boleh menimbulkan tekanan.

“Proses suntingan memakan masa yang sangat lama dan kami berasa agak tertekan untuk menyiapkannya,” katanya.

Bagaimanapun, persiapan awal yang dilakukan pasukan ini membantu mereka menghasilkan tugasan yang lebih baik.

Sebahagian besar tugasan mereka disiapkan pada malam sebelum hari kedua kem, sekali gus memberi lebih masa untuk proses suntingan pada hari pembentangan tugasan.

Aisha turut menekankan semangat berpasukan serta disiplin ketua kumpulan menjadi faktor penting kejayaan mereka.

Selain itu, dia menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan rakan baharu sebagai antara kenangan paling bermakna sepanjang kem.

“Saya gembira kerana dapat bekerjasama dengan rakan baharu dan melihat guru saya bangga dengan pencapaian kami,” katanya.

Antara sesi yang menarik perhatian peserta ialah sidang media bersama pempengaruh TikTok dan duta rantaian perniagaan manisan dan kudapan SGFR, Cik Nur Alya Roziz, atau lebih dikenali sebagai @lycheelahalamak.

Sesi sidang media itu dikendalikan wartawan Berita Harian, Cik Nur’ Ashiqin Ramadan atau lebih dikenali sebagai Shiqin Ramadan.

Selain mengikuti bengkel penulisan, fotografi dan penyuntingan video, peserta juga berpeluang melawat Perpustakaan Negara serta meneroka pameran, Albatross: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia dan Galeri Berita: Melangkaui Tajuk Utama.

Sementara itu, Dhia Carissa Mohamad Indra, 15 tahun, dari Sekolah Menengah CHIJ St Theresa’s Convent, menerima Anugerah Influencer (Pempengaruh) Harapan, manakala Muhammad Naufal Anaqi Rosli, 15 tahun, dari Sekolah Gan Eng Seng menerima Anugerah Wartawan Paling Semangat.

Mereka masing-masing turut membawa pulang trofi, sijil dan hadiah berupa papan kekunci Logitech.

Dhia Carissa Mohamad Indra, pelajar  Sekolah Menengah CHIJ St Theresa’s Convent (dua dari kanan) meraih Anugerah ‘Influencer’ Harapan.
Dhia Carissa Mohamad Indra, pelajar  Sekolah Menengah CHIJ St Theresa’s Convent (dua dari kanan) meraih Anugerah ‘Influencer’ Harapan. - Foto BH oleh FANDY RAZAK
Muhammad Naufal Anaqi  Rosli (dua dari kanan) dari Sekolah Gan Eng Seng meraih Anugerah Wartawan Paling Semangat.
Muhammad Naufal Anaqi Rosli (dua dari kanan) dari Sekolah Gan Eng Seng meraih Anugerah Wartawan Paling Semangat. - Foto BH oleh FANDY RAZAK