Topik diikuti
Pergi ke BHkuWartawan muda kejar masa demi laporan, video bermakna
Wartawan muda kejar masa demi laporan, video bermakna
Sekolah Menengah Bedok South gigih kumpul maklumat, dinobat juara ‘Kem Wartawan Muda Gen G’
Wartawan muda kejar masa demi laporan, video bermakna
Kejayaan pasukan Sekolah Menengah Bedok South meraih tempat pertama dalam Kem Wartawan Muda Gen G 2026, anjuran Berita Harian (BH), bukanlah sesuatu yang mereka jangkakan.
Malah, pasukan yang terdiri daripada Nur Syaniyyah Insyirah Muhammad Iskandar Dzulkarnain, Aisha Mohammed Rafique, Syed Yusuf Alhadad dan Zahin Zafir Azhar, kesemuanya 15 tahun, hanya berpuas hati jika mereka dapat menduduki tiga tangga teratas pertandingan yang diadakan dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) itu.
“Kami terkejut kerana ini kali pertama kami menyertai kem ini dan terdapat banyak sekolah lain yang hebat,” kata Aisha, selepas pasukannya diumumkan sebagai juara bagi kem dua hari, pada 2 dan 3 Jun, yang diadakan di Auditorium SPH Media, di Toa Payoh North.
Kem dua hari itu menghimpunkan seramai 86 pelajar dari 18 sekolah menengah.
Menerusi sidang media bersama pempengaruh TikTok dan duta rangkaian kedai manisan dan kudapan, SGFR, Cik Nur Alya Roziz, atau lebih dikenali sebagai @lycheelahalamak, para peserta perlu menghasilkan laporan berita, berdasarkan sesi tersebut.
Mereka turut ditugaskan menjana video mengenai pengalaman pembelajaran di Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), di mana mereka diberi pilihan meninjau pameran tetap, Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia atau Galeri Berita: Melangkaui Tajuk Utama.
Menurut Nur Syaniyyah Insyirah, rahsia kejayaan mereka terletak pada kerjasama erat serta kesediaan membuat persiapan tambahan di luar waktu kem.
“Kami menonton siaran langsung Alya di TikTok dan turut berinteraksi dengannya untuk mendapatkan maklumat tambahan yang boleh digunakan dalam rencana kami,” jelasnya.
Bagi tugasan video pula, mereka menghasilkan konsep berasaskan sudut pandang pertama (POV) dan menggabungkan pelbagai idea sebelum memilih pendekatan yang paling sesuai.
Walaupun berdepan masalah teknikal termasuk kehilangan sebahagian hasil kerja yang dirakam dan dibelenggu kesuntukan masa, mereka tidak berputus asa dan berjaya menyiapkan kedua-dua tugasan sebaik mungkin.
Menurut Syed Yusuf, penyertaan dalam kem tersebut telah mengubah tanggapannya dan teman-teman terhadap bidang kewartawanan.
“Jika sebelum ini kami menganggap bidang kewartawanan ini kurang menarik, kini kami lebih menghargai usaha dan kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkan laporan berita,” ujarnya.
Juara kem tersebut membawa trofi, sijil dan baucar kedai buku, Popular bernilai $200.
Sementara itu, pasukan Sekolah Perempuan Raffles (RGS), yang terdiri daripada Alysha Mohamed Hyder Bounaparte, 15 tahun; Batrisya Razak Abdul Razak, 15 tahun; Dhia Batrisyia Shamsul Shah, 15 tahun; dan Zaara Rehana Mohamed Fazlin, 14 tahun, pula dinobatkan sebagai naib juara Kem Wartawan Muda Gen G ini.
Mereka menganggap pengurusan masa sebagai cabaran terbesar mereka.
“Kami tidak sempat masukkan sari kata dan muzik dalam video kami kerana kesuntukan masa. Rasanya, inilah aspek yang boleh diperbaiki jika kami mempunyai lebih banyak masa,” kata Alysha.
“
“Kami tidak selalu berpeluang melibatkan diri dalam kegiatan kewartawanan. Kebanyakan pertandingan atau tugasan yang disertai lebih pada penulisan cerpen atau puisi. Bidang kewartawanan merupakan sesuatu yang lain dari lain.”Walaupun hanya mempunyai masa terhad untuk menghasilkan video tersebut, pasukan RGS, yang memenangi trofi, sijil dan baucar Popular bernilai $160, berjaya memanfaatkan kekuatan dalam penulisan rencana untuk berjaya.
Pembahagian tugas yang teratur dan kerjasama yang kukuh turut membantu mereka menyempurnakan tugasan mereka.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Sekolah Menengah Commonwealth yang menerima trofi, sijil dan baucar Popular bernilai $120, dianggotai Zaqy Zaidany Rayzan, Muhd Ihsan Hakeem Eilyaas, Mohammad Nur Israfil Mohammad Idris dan Mohamad Shayaan Mohamad Shahafashah.
Mereka turut berkongsi pengalaman di kem itu memberi mereka peluang belajar di luar bilik darjah dalam suasana yang lebih mencabar dan interaktif.
“
“Kem ini merupakan pengalaman yang unik dan bermakna kerana kita bukan sahaja bekerjasama dengan rakan sekolah dalam kumpulan kita, malah dapat berinteraksi dengan pelajar sekolah lain serta petugas di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).”Pada akhirnya, tiga pasukan yang memenangi pertandingan itu bukan sahaja berpeluang mengasah kemahiran menulis dan menghasilkan kandungan digital, malah pengalaman dua hari itu membuka mata mereka terhadap peranan wartawan dalam mendapatkan, mengesahkan dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
