Sejak persiapan sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) bermula pada Mei, hujung minggu untuk Kolonel (Kerahan) Halmie Hussein Mattar sekeluarga menjadi lebih sibuk dan berharga.
Sebagai Pengerusi Perayaan Kejiranan NDP 2025 bagi Bukit Gombak dan Yishun, Kolonel Halmie dan pasukannya, yang ditugaskan menganjurkan acara itu, telah bekerja keras untuk mengaturkan aktiviti dan persembahan untuk memeriahkan suasana yang biasanya dirasakan oleh penonton di Padang, lebih dekat kepada penduduk di kejiranan.
Lantas, Kolonel Halmie, 48 tahun, membahagikan masa lapangnya pada hari minggu antara keluarga, latihan acara NDP dengan persiapan di tapak sambutan NDP.
Namun, beliau terharu dengan sokongan teguh daripada keluarganya.
“Semua menyesuaikan jadual masing-masing supaya kami dapat menghabiskan masa bersama.
“Sekurang-kurangnya kami dapat makan malam atau tengah hari sekeluarga.
“Lama-kelamaan, kami dapat mengekalkan rutin dan meluangkan masa yang berkualiti,” kata Kolonel Halmie, bapa dua anak – seorang lelaki dan seorang perempuan berusia antara 17 dengan 21 tahun – dalam satu pertemuan dengan Berita Minggu (BM) pada 8 Julai.
Baginya, penganjuran sambutan NDP di kawasan kejiranan pada 2025, lebih istimewa kerana anak lelakinya sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Sebelum ini, beliau pernah terlibat dalam perancangan membawa perarakan tentera ke kawasan kejiranan pada 2020 dan menjadi pengarah acara sambutan NDP di kejiranan pada 2022.
“Saya sering berkongsi pengalaman menganjurkan NDP bersama keluarga saya, terutama cara mewujudkan suasana meriah untuk rakyat Singapura,” kata Kolonel Halmie.
Anak perempuan Kolonel Halmie pula sedang belajar di maktab rendah, manakala isterinya seorang suri rumah.
Beliau turut menghargai sokongan anggota kerahan NS.
“Kerja keras setiap anggota kerahan dalam pasukan saya memudahkan saya melaksanakan tanggungjawab ini,” tambah Kolonel Halmie.
Dengan kerjasama pertubuhan akar umbi di kawasan North West dan South West, beliau yakin aktiviti dan persembahan yang diaturkan pada 2025 akan meninggalkan kesan mendalam.
Sambutan kejiranan NDP di Yishun dan Bukit Gombak dijadualkan berlangsung dari 4 petang hingga 9 malam 10 Ogos.
Tapak sambutan kejiranan NDP di Yishun menampilkan beberapa pemasangan seni dilukis oleh penduduk kawasan itu, manakala pengunjung di tapak sambutan NDP Bukit Gombak berpeluang menyertai sesi penciptaan tanglung elektronik menggunakan cahaya LED.
Acara itu dijangka mencipta sejumlah 6,000 tanglung untuk disenaraikan di dalam Singapore Book Of Records.
Perarakan kenderaan tentera dan HomeTeam juga dijangka kembali ke kawasan kejiranan melalui lima laluan tertentu dan berhenti di kesemua tapak sambutan NDP kejiranan untuk memberi kesempatan kepada rakyat bergambar bersama.
Langit Singapura juga bakal dipenuhi deruman enjin empat jet pejuang F-16, yang akan membuat lintas lalu sebanyak dua kali dalam susunan bercorak berlian antara 6 dengan 6.30 petang.
Bagi Kolonel Halmie, kesibukan membuat persiapan bagi acara itu bukanlah satu beban, tetapi usaha memberi rakyat Singapura peluang mencipta kenangan indah.
Beliau mengimbas peristiwa unik yang berlaku setiap kali beliau terlibat dalam sambutan NDP.
“Sungguh mengagumkan melihat bagaimana kita (rakyat Singapura) dapat merasakan pelbagai emosi hanya dalam tiga saat...
“Kita beralih daripada nyanyian lagu kebangsaan dalam kemeriahan, diikuti kesyahduan melafazkan ikrar secara beramai-ramai,” ujar Kolonel Halmie.
“
Semua menyesuaikan jadual masing-masing supaya kami dapat menghabiskan masa bersama. Sekurang-kurangnya kami dapat makan malam atau tengah hari sekeluarga. Lama-kelamaan, kami dapat mengekalkan rutin dan meluangkan masa yang berkualiti.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg