Topic followed successfully
Go to BHkuKolej Pengajian Islam S’pura: Lulusan tidak perlu tunggu setahun sebelum mula ajar agama
Kolej Pengajian Islam S’pura: Lulusan tidak perlu tunggu setahun sebelum mula ajar agama
Faishal: Lulusan SCIS terima sijil Asatizah ARS Peringkat 1; tidak perlu jalani program sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS)
Kolej Pengajian Islam S’pura: Lulusan tidak perlu tunggu setahun sebelum mula ajar agama
Lulusan program ijazah sarjana muda di Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan dibenarkan mengajar agama di sini tanpa menjalani program possiswazah yang bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan mengajar agama dalam konteks Singapura.
Mereka akan diberikan pengiktirafan Asatizah ARS Peringkat 1 tanpa perlu menjalani program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) kerana kurikulum SCIS selama empat tahun itu sudah disesuaikan mengikut konteks Singapura, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
PCIS ialah program setahun bagi pelajar yang berkelulusan dari universiti Islam luar negara dan berhasrat menjadi guru agama Islam di sini dan antara lain bertujuan mendekat bakal asatizah dengan pengetahuan dan konteks mengajar agama dalam masyarakat berbilang bangsa di sini.
Pemilik sijil Asatizah ARS Peringkat 1 ini terdiri daripada mereka yang memiliki ijazah dalam Pengajian Islam dan dibenarkan mengajar di semua institusi, termasuk ruang awam.
Perkembangan tersebut diumumkan ketika sesi pertemuan pertama Dr Faishal bersama pelajar madrasah mengenai SCIS di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Bencoolen Street, dekat Masjid Bencoolen, pada 12 Mei.
Pertemuan dengan lebih daripada 70 pelajar Madrasah Prauniversiti 1 dan 2 setempat itu turut dihadiri Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad.
Dr Faishal turut mengumumkan dermasiswa dan skim lain akan disediakan bagi pelajar agar isu kos tidak menjadi hambatan bagi mereka menjalani pengajian di SCIS.
Maklumat lanjut mengenai yuran dan bantuan kewangan akan diumumkan kelak sebelum pendaftaran dibuka pada 2027.
Akur mengenai soalan daripada pelajar dan ibu bapa mengenai kos yuran dan bantuan kewangan yang akan diberikan, Dr Faishal, berkata:
“Muis sedang memperhalusi perinciannya dengan teliti. Namun, komitmennya ialah jelas: SCIS mestilah boleh diakses oleh pelajar yang layak.
“Latar belakang kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang bagi pelajar yang berkebolehan untuk mengikuti laluan pengajian ini.”
Hadir selaku tetamu kehormat, Dr Faishal turut menjelaskan bahawa SCIS telah lama menjadi aspirasi masyarakat Islam Singapura.
“Selama bertahun-tahun, para asatizah, pendidik madrasah, ibu bapa dan pemimpin masyarakat kita telah mengharapkan adanya satu laluan di mana pengajian Islam dapat diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi, berteraskan tradisi keagamaan kita serta dibentuk mengikut konteks Singapura,” katanya.
Beliau menukil ulama, termasuk Allahyarham Syeikh Abdul Maqsud Al Faris Al Hasani dari Mesir, dan Ustaz Pasuni Maulan, yang telah lama percaya bahawa umat Islam Singapura “layak mempunyai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang boleh kita panggil milik sendiri,” katanya.
Allahyarham Syeikh Maqsud ialah ulama dari Universiti Al-Azhar, Mesir, yang mengajar di Madrasah Aljunied sejak tiba di sini pada 1989, sebelum meninggal dunia di Singapura pada 19 Februari 2011.
Sejak itu, disebabkan hubungannya dengan pegawai di Universiti Al-Azhar – yang kebanyakannya merupakan bekas pelajarnya – beliau membantu Madrasah Wak Tanjong dan Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah mendapat pengiktirafan di universiti tersebut, sekaligus memudahkan pelajar melanjutkan pelajaran di sana.
Malah, Dr Faishal menambah, mantan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, turut menyokong idea penubuhan sebuah kolej Islam tempatan seawal 1990-an.
Ini kemudian dipacu dengan usaha kedua-dua mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, yang telah membawa usaha itu ke dalam agenda kebangsaan pada 2016, manakala Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pula meneruskannya dengan menyediakan struktur dan jalinan kerjasama bagi SCIS.
“Kini, di bawah Muis, Mufti dan Jawatankuasa Pemandu SCIS, kita sedang mengorak langkah penting yang seterusnya – merealisasikan aspirasi lama ini menjadi satu laluan ijazah sarjana muda yang jelas bagi pelajar seperti anda, dengan pengambilan kumpulan pertama dirancang pada 2028,” ujarnya.
SCIS bakal menerima seramai 60 pelajar bagi kohort pertamanya pada 2028, dan pendaftaran dijangka bermula pada 2027.
Dr Faishal juga menjelaskan bahawa dengan adanya laluan pelbagai bidang – Pengajian Islam dan Sains Kemasyarakatan – ia bermakna SCIS bukanlah satu laluan yang sempit kerana ia memberi pelajar pilihan, sama ada menabur bakti di sektor agama ataupun selainnya.
“SCIS dirangka untuk memberikan pelajar asas yang kukuh dalam pengetahuan Islam, di samping membina kemahiran praktikal dalam komunikasi, penyelidikan, literasi digital, kaunseling, pemahaman sosial, dan penglibatan masyarakat,” kongsinya.
Ini bermakna, tambahnya, siswazah SCIS dapat memberi pelbagai bentuk perkhidmatan di mana masyarakat Islam Singapura memerlukan tenaga kerja yang berkebolehan dan berpegang teguh kepada prinsip.
Sementara itu, beberapa pelajar Prauniversiti 1 yang hadir dalam pertemuan itu, berkata mereka kini memahami mengenai bagaimana kolej itu menyediakan pembelajaran gunaan atau applied learning dan laluan pekerjaan yang luas.
Bercakap kepada wartawan selepas sesi pertemuan itu, pelajar Prauniversiti Satu di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ahmad Afeef Danisy Mohammad Suhaimi, berkata bahawa apa yang paling menarik baginya mengenai SCIS ialah pendekatan berbilang disiplin dan pembelajaran gunaan.
“Pelajar bukan hanya akan mempelajari ilmu Syariah atau bahasa Arab tetapi juga akan mempelajari bagaimana ilmu tersebut dapat diaplikasikan di dalam konteks masyarakat yang moden,” ujarnya.
Menurutnya, perkara itu sangat penting di dalam masyarakat Islam di sini kerana ia dapat melahirkan individu yang bukan sahaja mahir dalam sudut agama tetapi juga relevan dalam menyumbang kepada masyarakat.
Seorang lagi pelajar Prauniversiti satu dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Nurul Fitriyah Katerman, pula berkata bahawa beliau tertarik dengan peluang pekerjaan yang dapat diperoleh bagi lulusan sarjana muda SCIS, yang disifatkannya sebagai luas dan tidak terhad.
