Penubuhan SCIS perkukuh pembangunan intelektual, kepimpinan agama
Penubuhan SCIS perkukuh pembangunan intelektual, kepimpinan agama
Anggota Jawatankuasa Pemandu daripada pelbagai latar belakang pastikan kolej dibangun dengan kepakaran, wawasan tanpa jejas pengajian agama
Sejak ia mula diusulkan dan dirancang, Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) menetapkan wawasan tinggi, iaitu untuk melahirkan generasi kepimpinan agama dan asatizah yang berprestij dan berupaya menangani cabaran kompleks masa depan, serta menyumbang ke arah kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Ia bukan sekadar membina satu institusi, namun merealisasikan cita-cita masyarakat Islam dalam memartabatkan masa depan agama, anak-anak bahkan kepimpinan ummah.
Semuanya agar kehidupan beragama dapat terus mekar dalam suasana dunia yang semakin rumit dan berkembang pesat.
Bahkan, pelan menubuhkan kolej ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong sendiri, dalam Rapat Hari Kebangsaan 2024 dan 2025.
Beliau juga menekankan SCIS akan memberi pelajar satu lagi pilihan untuk melanjutkan pengajian agama di peringkat tinggi, dengan penekanan terhadap keperluan masyarakat tempatan dalam konteks negara berbilang bangsa dan agama.
Ia menzahirkan sokongan negara serta peranan penting institusi ini dalam memelihara keharmonian sosial dan membina kepimpinan agama berwawasan.
Usaha sebesar ini pasti menarik minat masyarakat kerana rasa tanggungjawab dan kasih sayang semua terhadap agama dan institusinya.
Oleh itu, keprihatinan dan kebimbangan yang disuarakan harus diberi perhatian yang sewajarnya.
Di antara kekhuatiran utama yang diutarakan adalah berkaitan hala tuju dan ajaran agama dalam kurikulum SCIS; siapa yang menentukannya dan apakah coraknya?
Adalah penting untuk ditegaskan seperti dalam semua pengurusan panduan agama, sama ada dalam bentuk fatwa, irsyad, khutbah mahupun kuliah, kandungan teras pengajian agama serta pembentukan keilmuan Islam di SCIS dipimpin dan dicorak sepenuhnya oleh asatizah dan sarjana Islam, di bawah amanah kepimpinan agama Islam di Singapura.
Pada masa yang sama, penubuhan SCIS sewajarnya memerlukan persiapan yang menyeluruh serta melibatkan sumber yang begitu besar.
Antara tugasan utama adalah merancang kurikulum yang menyeluruh, pelan penubuhan dan pentadbiran institusi, serta memastikan laluan kerjaya dan pengiktirafan graduan bagi melanjutkan pengajian possiswazah di dalam dan luar negara.
Hakikatnya, ini adalah satu usaha serta misi baru bagi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Bahkan, bagi masyarakat Islam secara amnya.
Dalam urusan melakarkan kurikulum pengajian agama, selain daripada keterlibatan asatizah tempatan, kami memperoleh nasihat pakar serta cendekiawan Islam daripada institusi ulung di dunia Islam, untuk memastikan kolej ini didirikan atas manhaj yang mendukung turath atau warisan keilmuan Islam serta mengupayakan graduan menangani isu-isu rumit dengan cermat lagi berhemah.
Atas dasar ini, kolej bekerja rapat dengan tiga institusi Islam luar negara, iaitu Universiti Jordan, Universiti Al-Qarawiyyin dan Dar Al-Ifta Mesir.
Ia turut menubuhkan Panel Penasihat yang terdiri daripada kepimpinan institusi tersebut, serta daripada Universiti Al-Azhar dan Akademi Fiqah Islam Antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi.
Dalam aspek pentadbiran serta perancangan kerjaya graduan, kami perlu bekerjasama rapat dengan pakar daripada pelbagai sektor yang memiliki pengalaman relevan, khususnya dalam penubuhan institusi pengajian tinggi di peringkat nasional yang juga diiktiraf di peringkat antarabangsa, pembangunan program akademik, serta perancangan kemahiran dan kerjaya.
Sebagai masyarakat Islam yang matang dan progresif, berteraskan keyakinan terhadap ajaran, nilai dan prinsip Islam, kita tidak harus segan untuk belajar dan meraih ilmu pengalaman daripada yang terbaik serta mencari hikmah di mana sahaja ia berada.
Malah, ramai asatizah telah menimba ilmu dalam bidang pendidikan daripada institusi seumpamanya di Singapura.
Oleh itu, kami menjemput pegawai kanan daripada institusi seperti Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), SkillsFuture dan kementerian yang relevan untuk menganggotai Jawatankuasa Pemandu – khusus dalam bidang tadbir urus institusi, pembangunan program, serta perancangan kemahiran dan laluan kerjaya graduan.
Bahkan, adalah penting kami melibatkan SUSS dalam jawatankuasa ini kerana ia merupakan institusi kerjasama khusus dan penting dalam menyediakan kursus sains kemasyarakatan bagi pelajar SCIS.
Kepelbagaian latar belakang anggota jawatankuasa merangkumi bidang akademik, pembangunan tenaga kerja, dasar awam hingga hubungan antarabangsa, amat penting bagi memastikan SCIS dibangunkan dengan asas yang menyeluruh dan berpandangan jauh.
Apatah lagi memandangkan isu masa depan pekerjaan asatizah sering menjadi keprihatinan masyarakat, maka perancangan SCIS juga mesti mengambil kira keperluan sebenar dunia pekerjaan yang berkembang pesat, khusus dalam mengenal pasti secara proaktif kemahiran dan keupayaan baru yang dapat membantu mereka membina kerjaya yang bermakna pada masa depan.
Kami amat menghargai kesediaan golongan pakar ini untuk tampil menyumbang secara sukarela, walaupun untuk satu institusi agama.
Namun, mereka melihat usaha penubuhan SCIS sebagai sesuatu yang akan membawa manfaat besar bukan hanya bagi masyarakat Islam, namun negara juga.
Bahkan, mereka kagum dengan pendekatan serta persiapan masyarakat kita yang begitu rapi dalam melahirkan kepimpinan masa depan.
Oleh itu, mereka bersedia berkhidmat dengan cara yang wajar.
Bagi saya secara peribadi, ini merupakan satu penghormatan besar untuk mempengerusikan jawatankuasa yang dibarisi tokoh-tokoh sedemikian – yang jelas mencerminkan keunikan Singapura sebagai sebuah masyarakat yang menghargai kepakaran, bekerjasama merentasi latar belakang dan menjunjung prinsip saling menghormati tanpa mengira bangsa atau agama.
Saya juga telah mengadakan beberapa pertemuan bersama mereka, dan mereka amat faham serta menghormati fungsi SCIS sebagai institusi agama.
Idea dan saranan mereka tertumpu kepada perkara seperti tadbir urus institusi, struktur yuran, peluang latihan industri, serta jaringan kerjasama yang dapat membuka laluan kerjaya lebih luas kepada pelajar.
Hal berkaitan kandungan teras pengajian agama pula diserahkan sepenuhnya kepada asatizah dan pakar agama.
Tanggapan bahawa keterlibatan mereka boleh menjejas atau mempengaruhi kandungan ajaran agama di SCIS amat tersasar dan tidak berasas.
Bahkan, prinsip yang telah lama kita dukung bersama dalam semua bentuk hubungan silang agama di Singapura berteraskan rasa hormat dan profesionalisme.
Daripada pengalaman saya mengemudi Jawatankuasa Pemandu, jelas bahawa setiap anggota memelihara sensitiviti agama, memahami bidang kuasa masing-masing dan berkhidmat dengan penuh profesionalisme.
Kesemuanya berkongsi satu misi, iaitu memartabatkan SCIS sebagai sebuah institusi negara yang berjaya dan disegani.
Demikian cara kita mengamalkan kehidupan beragama di Singapura – berteraskan keyakinan terhadap kepimpinan masyarakat sendiri, keterbukaan untuk belajar daripada kepakaran orang lain, serta berpandukan ajaran Nabi Muhammad saw agar kita sentiasa mencari hikmah di mana jua ia berada.
Sejarah dan tamadun agama menunjukkan penukaran kepakaran dan pengambilan ilmu antara cendekiawan daripada budaya keilmuan dan keagamaan berbeza akan akhirnya memanfaatkan umat Islam, memperkaya khazanah ilmu dan mendatangkan kesejahteraan di peringkat universal.
Sikap kita terhadap pendekatan sedemikian mencerminkan keyakinan kita terhadap pengamalan dan identiti agama sendiri.
Model pendekatan di Singapura mungkin berbeza dan unik, dan seperti dalam pengalaman kehidupan sosial di sini, kerencaman dan kepelbagaian yang wujud bukan sesuatu yang melemahkan – sebaliknya, menguatkan kesepaduan masyarakat kerana ia dipandu oleh nilai seperti menghormati satu sama lain.
Semoga kita semua dapat terus berganding bahu melahirkan sebuah kolej yang unggul di tanah air, membuka peluang lebih luas kepada pelajar, membina barisan pelapis kepimpinan masyarakat yang mantap dalam ilmu agama dan yakin untuk menyumbang kepada keharmonian serta kemajuan Singapura.
Penulis ialah Mufti Singapura. Wacana ini ditulis buat Berita Minggu (BM).
“
Dalam aspek pentadbiran serta perancangan kerjaya graduan, kami perlu bekerjasama rapat dengan pakar daripada pelbagai sektor yang memiliki pengalaman relevan, khususnya dalam penubuhan institusi pengajian tinggi di peringkat nasional yang juga diiktiraf di peringkat antarabangsa, pembangunan program akademik, serta perancangan kemahiran dan kerjaya. Sebagai masyarakat Islam yang matang dan progresif, berteraskan keyakinan terhadap ajaran, nilai dan prinsip Islam, kita tidak harus segan untuk belajar dan meraih ilmu pengalaman daripada yang terbaik serta mencari hikmah di mana sahaja ia berada.

