Sukarelawan muda bantu siapkan ruang solat tarawih di Simei

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukarelawan muda bantu siapkan ruang solat tarawih di Simei

Terdorong tampil selepas dimaklumkan jumlah belia dalam Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei terhad
Feb 16, 2026 | 2:56 PM

Sukarelawan muda bantu siapkan ruang solat tarawih di Simei

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
belia, simei, tarawih, kariah
Encik Aqid Wahab (kanan) sedang memegang tangga, sementara Pengerusi Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei (JKIS), Encik Mohamed Said Ali, memasang sepanduk dalam persiapan ruang solat di kolong Blok 116 Simei Street 1 pada 14 Februari. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pada pagi 14 Februari di kolong Blok 116 Simei Street 1, Encik Aqid Wahab kelihatan gigih membentang tikar biru serta melekatkannya dengan pelekat supaya tersusun rapi.

Bagi pelajar tahun kedua kursus Diploma Elektronik Aeroangkasa di Politeknik Temasek (TP) itu, tugas yang kelihatan kecil tersebut sebenarnya membawa makna kerana ia memberinya peluang mengeratkan hubungan silaturahim bersama anggota masyarakat yang lain, sambil menyumbang kepada persiapan Ramadan.

Encik Aqid, 18 tahun, yang baru mula menjadi sukarelawan bersama kumpulan kariah Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei (JKIS), berkata beliau terdorong untuk tampil membantu selepas dimaklumkan oleh abangnya, mengenai jumlah sukarelawan di JKIS yang terhad, khususnya dalam kalangan belia.

“Sejujurnya, saya tidak pernah dengar tentang JKIS sebelum ini. Saya mengetahui tentang kumpulan kariah ini melalui abang saya.

“Beliau sebenarnya menggalakkan saya untuk menjadi sukarelawan di Blok 116 kerana bilangannya tidak ramai di sini dan kebanyakannya terdiri daripada golongan lebih berusia,” ujar Encik Aqid ketika ditemui Berita Harian (BH).

Beliau hadir di kolong blok Blok 116 Simei Street 1 bersama abangnya, Encik Aqinan Wahab.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu menambah pengalaman itu telah mengubah tanggapannya terhadap kumpulan kariah dan membuktikan bahawa sukarelawan muda boleh memainkan peranan penting.

“Saya juga kerap solat tarawih di kolong blok di Tampines dan saya lihat ramai sukarelawan kumpulan kariah yang lebih berusia.

“Itulah sebabnya saya merasakan penting untuk turut serta, kerana terdapat beberapa tugas yang mungkin sukar dilaksanakan oleh mereka, manakala bagi golongan muda seperti kami, ia lebih mudah untuk membantu,” katanya.

Encik Aqinan berkata kekurangan penyertaan belia merupakan salah satu sebab beliau menggalakkan rakan-rakan dan adik lelakinya untuk membantu.

Sebelum ini, beliau pernah terlibat bersama JKIS sebagai anggota jemaah.

“Saya biasanya solat tarawih di tempat-tempat yang berlainan, termasuk di blok berdekatan dan juga di Pasir Ris.

“Tetapi, saya perasan ramai kumpulan kariah lain sudah mempunyai kumpulan sukarelawan tetap yang kukuh.

“Di sini, saya rasa ada sesuatu yang kurang, terutamanya dari segi penyertaan belia.

“Justeru, saya mengambil inisiatif untuk membantu dan saya juga menggalakkan rakan-rakan serta adik saya untuk turut serta,” kongsi beliau, yang berusia 26 tahun.

Menurut jurutera perkhidmatan itu, penyertaan belia memainkan peranan penting dalam menghidupkan semangat kejiranan.

Ini lebih-lebih lagi dalam bekerjasama dengan anggota kumpulan kariah yang lebih mapan, iaitu Pengerusi JKIS, Encik Mohamed Said Ali; dan Bendahari JKIS, Encik Mustaffa Hassan.

“Apabila orang ramai turun untuk membantu bersama, secara semula jadi terbina ikatan antara mereka.

“Walaupun bilangan tenaga kerja terhad, masih wujud kerjasama yang erat antara sukarelawan muda dan tua,” kongsi beliau.

Dalam menghitung hari menyambut ketibaan Ramadan, Encik Aqid mengalu-alukan anggota jemaah berkumpul untuk menunaikan solat tarawih di ruang yang telah disiapkan olehnya bersama sukarelawan lain.

“Saat yang paling bermakna adalah apabila melihat semua orang berkumpul untuk menunaikan solat tarawih.

“Ia memberikan kepuasan yang mendalam kerana kami turut berperanan menyediakan ruang tersebut.

“Bagi saya, ia juga dirasakan sebagai satu berkat dan sumber pahala,” kata beliau.

“Saya juga kerap solat tarawih di kolong blok di Tampines dan saya lihat ramai sukarelawan kumpulan kariah yang lebih berusia. Itulah sebabnya saya merasakan penting untuk turut serta, kerana terdapat beberapa tugas yang mungkin sukar dilaksanakan oleh mereka, manakala bagi golongan muda seperti kami, ia lebih mudah untuk membantu.”
Encik Aqid Wahab, sukarelawan bersama kumpulan kariah Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei (JKIS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg