125,500 ruang solat tarawih tersedia di masjid, kariah sempena Ramadan 2026
125,500 ruang solat tarawih tersedia di masjid, kariah sempena Ramadan 2026
Sebanyak 125,500 ruang solat akan disediakan di masjid dan kariah seluruh Singapura bagi solat tarawih sepanjang Ramadan 2026.
Sepanjang bulan puasa, masjid akan menyediakan sebanyak 110,000 ruang solat setiap malam bagi jemaah menunaikan solat tarawih.
Lagi 15,500 ruang solat pula akan tersedia di 46 kariah di merata Singapura.
Angka ini merupakan penambahan pada ruang solat di luar masjid berbanding tahun-tahun sudah dan peningkatan hampir 20 peratus berbanding 2025.
Pada 2025, sebanyak 38 kariah menawarkan sehingga 13,000 ruang solat, sementara pada 2024 pula terdapat 12,000 ruang solat yang disediakan oleh 31 kariah.
Pada 2026 juga terdapat kariah baru yang akan menganjurkan solat tarawih di Tengah, Choa Chu Kang, Clementi, Pasir Ris dan Punggol.
Maklumat menyeluruh Ramadan 2026, termasuk butiran tempat solat tarawih, agihan bubur dan program masjid lain boleh didapati di go.gov.sg/ramadan2026.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu video yang dimuat naik ke media sosial berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), pihak masjid dan anggota masyarakat giat membuat persiapan menjelang Ramadan yang bakal tiba.
“Kami akan terus menyediakan pilihan ruang yang mudah dikunjungi serata Singapura sama ada di masjid mahupun di kariah yang menyokong peranan masjid sepanjang Ramadan.
“Masjid kita akan terus menyediakan ruang solat yang mencukupi untuk semua yang ingin berkunjung,” kata beliau dalam video tersebut.
Dr Faishal menambah bahawa banyak masjid juga telah membuat persediaan khusus bagi jemaah wanita serta menyediakan akses bagi mereka yang kurang berupaya.
Menyentuh tentang ruang solat yang disediakan oleh kariah pula, Dr Faishal berkata ruang solat yang disediakan di kawasan perumahan amat bermakna khususnya bagi warga emas dan jemaah yang kurang berupaya.
“Muis kekal komited untuk menyokong kariah kita dan saya harap kariah akan terus bekerjasama rapat dengan masjid demi memenuhi keperluan penduduk setempat dengan baik,” ujarnya.
Di samping itu, Dr Faishal turut menggalak golongan belia dan keluarga muda untuk terus menyokong masjid dan kariah di kejiranan masing-masing.
“Penyertaan anda bukan sahaja mengukuhkan ikatan masyarakat tetapi turut memperkayakan pengalaman ibadah kita bersama,” katanya.
Dr Faishal turut berterima kasih kepada sukarelawan dan pegawai masjid atas dedikasi mereka menjayakan persiapan Ramadan 2026.
Usaha bersama pelbagai pihak menyerlahkan kekuatan masyarakat Muslim di sini dalam menyokong ibadah umat Islam sambil memelihara keharmonian dalam masyarakat berbilang budaya, tambahnya.
Dalam pada itu, Muis dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Februari berkata masyarakat Muslim Singapura boleh mengambil bahagian dalam pelbagai program Ramadan SalamSG.
Ini termasuk Quran Hour dan Tazkirah Nuzul Quran pada 6 Mac di Masjid Darul Ghufran, program Night of Power pada 14 Mac di Masjid Darul Makmur dan Cabaran Belia Ramadan pada 14 hingga 15 Mac merentasi empat daerah masjid di sini.
Ramadan SalamSG berpandukan tiga nilai berikut: kesyukuran, kesantunan dan kesopanan.

