Setelah permohonannya ke universiti tempatan ditolak beberapa kali, Encik Mohd Syafiq Faruq, tidak mempunyai banyak pilihan selain melanjutkan pengajian secara privet dan di luar negara.
Keputusan yang diambil bukan atas kehendaknya tetapi berdasarkan keperluan.
Akhirnya, ia membuahkan hasil dan membuka laluan kerjaya yang baik buat dirinya.
Kini, Encik Syafiq, 29 tahun, merupakan Pakar Fisiologi Senaman Klinikal, pekerjaan sepenuh masa yang diperolehinya selepas beliau lulus universiti dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Sukan dan Senaman pada 2023 dari Universiti of Essex, Kaplan Singapore.
Encik Syafiq, yang bertugas di klinik fisioterapi, Vital Motion Fitness di WIS@Changi, 116 Changi Road, memberita Berita Harian, meskipun tidak kerap, beliau juga pernah menerima komen negatif mengenai latar belakang pendidikannya.
Beliau yang tugasnya membimbing pesakit dalam proses pemulihan berkata:
“Soalan pertama biasanya, ‘belajar apa?’, diikuti pula dengan, ‘belajar di mana?’
“Apabila saya kata saya belajar di bawah Kaplan, serta-merta nada dan isyarat tubuh mereka berubah seolah-olah dalam fikiran mereka, mereka menjangkakan universiti autonomi seperti Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Nasional Singapura (NUS) atau Institut Teknologi Singapura (SIT).”
Namun, beliau percaya “persepsi masyarakat terhadap sistem pendidikan sedang berkembang dan berubah”, dan pendidikan swasta kini kian diiktiraf sebagai laluan yang bernilai serta wajar dinilai berdasarkan mutunya.
Meski bukan lulusan universiti tempatan ternama, Encik Syafiq – yang turut memiliki Diploma Lanjutan Sains Sukan dari institusi privet, International Sports Academy – yakin dengan kelayakan serta kebolehannya untuk menembusi pasaran kerja kerana mempunyai pengalaman bekerja sejak usia muda.
“Saya yakin bahawa ada peluang cerah untuk saya mendapatkan pekerjaan kerana pengalaman dan pengiktirafan yang saya miliki sudah lebih daripada mencukupi untuk melayakkan saya bekerja dalam industri kesihatan.
“Saya mempunyai banyak pengalaman dan itulah yang memberi saya kelebihan, seolah-olah ‘tiket kemenangan’ untuk menarik perhatian syarikat,” ujarnya yang mula bekerja sambilan dan secara bebas sejak 2013.
Sejak 2013, beliau aktif sebagai jurulatih kecergasan bebas, guru tuisyen dan fasilitator bagi program pemulihan dan sukan masyarakat.
Sepanjang tempoh itu, beliau pernah terlibat dalam pelbagai projek termasuk kejurulatihan di kelab sukan, bengkel kecergasan serta acara larian awam, selain menyumbang tenaga dalam projek latihan dan pengurusan acara di institusi seperti Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central dan ActiveSG.
Beliau turut memiliki sijil profesional dalam bidang seperti kesihatan dan kecergasan, rawatan pertolongan cemas, serta perancangan latihan sukan – semua itu menjadi nilai tambah yang diiktiraf dalam proses pengambilan pekerja.
Kegigihan Encik Mohd Shafiq mempertingkatkan diri dalam pendidikan memang terserlah.
Setelah menerima sijil Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Sukan dari ITE Kolej Central dengan Gred Purata Mata (GPA) 3.48, Encik Shafiq cuba memohon untuk memasuki Politeknik Republic (RP) tetapi gagal.
Ini tidak mematahkan semangatnya dan lantas melanjutkan pengajian di International Sports Academy dalam Diploma Lanjutan Sains Sukan serta meraih GPA 3.7.
Dalam usahanya mencapai cita-cita, beliau turut memohon ke 15 universiti, termasuk NTU dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), namun kemudian memilih untuk mendaftarkan dirinya di University of Essex, Kaplan Singapore.
Usahanya ke menara gading tidak berhenti kerana beliau kini dalam fasa akhir pengajian peringkat Sarjana Sains dalam Kesihatan Awam (Sains Senaman) di Universiti Northumbria, England.
Melahirkan pandangannya, Encik Syafiq berkata beliau telah membuktikan bahawa kejayaan seseorang itu tidak semestinya ditentukan oleh reputasi sesebuah universiti.
Sebagai seorang mentor di Mendaki, Enck Syafiq akui pernah melihat lulusan NTU sukar mendapat pekerjaan.
“Ia bukan hanya soal nama sekolah... tetapi pengalaman, bagaimana anda membawa diri dan rangkaian yang anda bina.”
Justeru, beliau menasihatkan pelajar agar tidak mudah putus asa, terus mempertingkatkan kemahiran dan menambah sijil profesional – kerana gabungan pengalaman, semangat dan rangkaian mampu membuka lebih banyak pintu kejayaan.
“Sama ada anda memilih laluan pemerintah atau swasta, yang paling penting ialah bagaimana anda memanfaatkan ilmu dan meraih pengalaman sepanjang perjalanan itu,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg