Sempena Hari Raya Aidiladha 2026, dua masjid tempatan – Masjid Darul Ghufran dan Masjid Al-Istighfar – berganding bahu buat kali pertama untuk menghasilkan filem pendek menyentuh hati, sarat dengan nilai dakwah.

Bermain dengan visual dan penceritaan menarik, ia membawa penonton menyelusuri nilai korban dan kekeluargaan menerusi lensa filem.

Filem pendek bertajuk ‘Korban Demi Janji’ itu, dihasilkan sepenuhnya oleh kakitangan masjid sekali gus memanfaatkan kekuatan satu sama lain.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), mereka yang terlibat dalam pembikinan filem itu berharap hasil kerjasama itu dapat menonjolkan kebolehan masjid bukan sahaja dalam bidang dakwah, bahkan dalam mencipta kandungan bermutu di media sosial.

Sempena Hari Raya Aidiladha 2026, dua masjid tempatan – Masjid Darul Ghufran dan Masjid Al-Istighfar – berganding bahu buat kali pertama untuk menghasilkan filem pendek menyentuh hati, sarat dengan nilai dakwah.
Sempena Hari Raya Aidiladha 2026, dua masjid tempatan – Masjid Darul Ghufran dan Masjid Al-Istighfar – berganding bahu buat kali pertama untuk menghasilkan filem pendek menyentuh hati, sarat dengan nilai dakwah. - Foto tangkap layar INSTAGRAM MASJID DARUL GHUFRAN DAN MASJID AL-ISTIGHFAR

Idea pembikinan filem itu tercetus di Masjid Darul Ghufran apabila mereka berhasrat mencabar kemampuan diri dalam menerbitkan kandungan berbeza daripada format video pendek program masjid yang biasa dihasilkan.

Pegawai Dakwah Masjid Darul Ghufran, Ustaz Muhammad Nurdanish Anuar, menyifatkan projek itu sebagai satu langkah besar yang belum pernah diambil masjid di Tampines Avenue 5 tersebut.

Menyedari cabaran tersebut, beliau percaya kerjasama adalah kunci utama.

Lantas, tiada pilihan yang lebih tepat melainkan Masjid Al-Istighfar, yang kerap menghasilkan filem pendek terutama sempena Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.

“Kami ingin tonjolkan bahawa apabila masjid bergabung lebih banyak yang boleh dicapai.

“Menerusi kandungan seperti ini, pengguna media sosial terutamanya yang muda dapat mengenali masjid dan akan tertarik untuk hadir program masjid,” kongsinya.

Beliau, yang juga merupakan Eksekutif bagi program Mempelajari dan Memantapkan Al-Quran Secara Berkualiti (Shawq) di masjid itu, menambah bahawa filem pendek tersebut bukan sahaja ingin mengetengahkan mesej kekeluargaan, bahkan dihasilkan khusus untuk menyentuh hati masyarakat.

“Generasi sekarang (tidak kira yang tua atau muda) mereka kerap di media sosial, maka video pendek sebegini senang untuk mereka hadam... pendek tetapi beri kesan,” tambahnya yang telah mencetuskan idea untuk pembikinan filem seperti itu sejak 2025.

Namun, akibat perkara yang tidak dapat dielakkan, idea itu terpaksa ditangguhkan.

Ia akhirnya terlaksana dengan kehadiran kakitangan pelatih Komunikasi Pemasaran Masjid Darul Ghufran, Encik Muhammad Rifqi Syafiq Mohd Ryzal.

Menuntut di Politeknik Temasek dalam jurusan Filem dan Televisyen Digital, Encik Rifqi diberi kepercayaan sebagai Pengarah dan Penulis Skrip bagi filem pendek berkenaan.

Kakitangan pelatih di Masjid Darul Ghufran, Encik Muhammad Rifqi Syafiq Mohd Ryzal (kiri), diberi kepercayaan sebagai Pengarah dan Penulis Skrip bagi filem pendek berkenaan.
Kakitangan pelatih di Masjid Darul Ghufran, Encik Muhammad Rifqi Syafiq Mohd Ryzal (kiri), diberi kepercayaan sebagai Pengarah dan Penulis Skrip bagi filem pendek berkenaan. - Foto NURDANISH ANUAR

Filem itu dilihat sebagai penerbitan bermutu tinggi dengan unsur perceritaan dan sinematografi yang sinematik.

Kandungan hampir dua minit itu memaparkan pasangan ayah dan anak lelakinya, ‘Rus’, yang berusaha mengumpul duit dan berjanji untuk ke haji bersama.

Namun, impian tersebut tidak kesampaian apabila ayahnya meninggal dunia sebelum mereka sempat menunaikan rukun Islam kelima itu.

Penonton seolah-olah dibawa menyelami kehidupan Rus yang telah bertungkus lumus menyimpan duit dan meletakkan harapan tinggi pada impian itu.

Tekad untuk mengotakan janji, Rus meneruskan impian itu untuk ke Tanah Suci tanpa kehadiran ayah di sisi.

Kedua-dua watak itu dimainkan oleh asatizah Masjid Darul Ghufran – Ketua Penglibatan Belia dan Masyarakat, Ustaz Fakhrudin Amin sebagai ayah, dan Ustaz Nurdanish sebagai Rus.

Sementara itu, Ketua Jabatan Penglibatan Masyarakat dan Sosial Masjid Al-Istighfar, Ustaz Raja Lutfil Hadi Raja Muzaffar Shah, berkata pihaknya menerima lamaran Masjid Darul Ghufran kerana menghargai kepercayaan yang diberikan dan kemampuan produksi mereka.

Beliau yang merupakan penasihat dalam pembikinan filem itu berkata kekuatan kedua-dua masjid itu saling melengkapi.

Ustaz Raja Lutfil Hadi berkata: “Kekuatan Masjid Al-Istighfar terletak pada aspek pencetusan idea dan penceritaan, manakala Masjid Darul Ghufran pula memiliki kekuatan dalam bidang produksi.

“Kami juga belum pernah teroka konsep seperti filem ini, maka kami rasa ini masa terbaik untuk bekerjasama.”

Filem pendek itu antara lain usaha kededua masjid tersebut dalam memanfaatkan wadah media sosial untuk meningkatkan keupayaan dakwah mereka.

Bagi Masjid Al-Istighfar, mereka sering memuat naikkan pelbagai kandungan video bermanfaat setiap minggu, serta podcast agama bernama, The Talking Dome.

Ini juga bukan kali pertama masjid di Pasir Ris Walk itu menghasilkan filem pendek di mana mereka telah menghasilkannya pada setiap Hari Raya Aidilfitri, dari 2022 hingga 2026.

Antaranya, ‘Ampun’; ‘Pulang’; ‘Hajat’; ‘Rintih’; dan terbaru, ‘Hari Raya Cancelled’; di mana Ustaz Raja Lutfil Hadi merupakan antara ‘orang kuat’ di balik pembikinan kandungan sedemikian antaranya sebagai penerbit dan penulis skrip.

Berbanding filem sebelum ini di mana ia lebih menumpukan pada skrip yang berat, kali ini ia lebih tertumpu pada nilai produksi, kongsi Ustaz Raja Lutfil Hadi.

Apabila ditanya apa lagi yang ingin dicapai masjid tersebut menerusi kandungan video, beliau menjawab:

“Video selama lebih seminit sebenarnya satu tempoh lama bagi pengguna luangkan masa maka kami harap dengan mereka menontonnya, masyarakat mula mempercayai mutu dan nilai kandungan masjid.

“Kami ingin membuktikan bahawa masjid juga mampu menghasilkan karya bermutu dari segi bakat, penceritaan, pengarahan, dan produksi yang setanding dengan pencipta kandungan di luar sana,” ujar beliau.