Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha berterusan masjid Al-Ansar, Abdul Aleem Siddique jimat guna air, elektrik
Usaha berterusan masjid Al-Ansar, Abdul Aleem Siddique jimat guna air, elektrik
Penggunaan ‘kipas gergasi’, lampu LED antara inisiatif bagi kurangkan kos tenaga; sebahagian usaha bersama masjid dengan Muis tangani isu kemampanan
Usaha berterusan masjid Al-Ansar, Abdul Aleem Siddique jimat guna air, elektrik
Masjid Al-Ansar di Chai Chee memasang kipas ‘gergasi’ untuk menurunkan suhu dalam masjid bersiling tinggi itu dan pada masa yang sama, menjimatkan penggunaan elektrik pada Mei 2026.
Walaupun lebih besar, kipas sedemikian jenis kelajuan rendah volum tinggi atau high volume low speed (HVLS) dan menggunakan kurang kuasa elektrik berbanding penyaman udara.
Buat masa ini, masjid itu telah menggantikan sekitar 15 kipas kecil dengan tiga kipas ‘gergasi’ sedemikian.
“Sebelum ini, penggunaan penghawa dingin kurang efektif dalam menurunkan suhu di dalam masjid kerana Al-Ansar mempunyai banyak siling tinggi.
“Dengan adanya kipas HVLS, lebih ramai anggota jemaah dapat merasakan kedinginan kipas tanpa menggunakan elektrik yang banyak,” jelas Pengerusi Masjid Al-Ansar, Encik Azman Mohd Ariffin.
Walaupun usaha ini telah dilaksanakan bagi tujuan keselesaan jemaah, beliau menjangka ia juga dapat mengurangkan penggunaan elektrik di masjid tersebut.
Menurut Encik Azman, usaha yang dijalankan Masjid Al-Ansar sebelum kenaikan kos penggunaan elektrik telah membuahkan hasil apabila kos penggunaan elektrik dapat dikurangkan.
Sebagai contoh, Masjid Al-Ansar juga telah menukarkan lampu fluoresen kepada lampu LED secara bertahap sejak pasca-Covid-19.
“Lampu LED ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan elektrik, bahkan dapat mengurangkan suhu di dalam masjid dan memudahkan penglihatan jemaah yang ingin mengaji,” tambah Encik Azman.
Usaha untuk mengurangkan penggunaan elektrik di Masjid Al-Ansar itu sebenarnya sebahagian usaha bersama yang diterajui masjid setempat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)
Ia sebagai komitmen jangka panjang mereka terhadap kemampanan, dengan Muis turut melaksanakan pelbagai inisiatif penjimatan tenaga termasuk pemasangan lampu LED jimat tenaga, suis sensor dan paip jimat air.
Sehubungan itu, Muis menukil contoh Masjid Darul Makmur di Yishun, yang dibuka semula pada 15 November 2025, yang memperoleh pensijilan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) Pensijilan Green Mark GoldPLUS.
Pensijilan tersebut merupakan antara peringkat tertinggi yang mengiktiraf daya usaha mesra alam dalam aspek rekaan, seni bina dan pembinaan bangunan.
“Seiring dengan momentum ini, Muis menyasarkan piawaian BCA Green Mark Super Low Energy (SLE) bagi kerja naik taraf Masjid Darussalam yang akan datang, sekali gus mencerminkan komitmen untuk meningkatkan tahap kemampanan dalam sektor masjid,” tambah mereka.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Muis berkata ia sentiasa peka dan akan terus bekerjasama dengan pihak masjid untuk memastikan mereka dapat menghadapi cabaran kos elektrik yang lebih tinggi.
“Masjid yang lebih besar dengan jumlah anggota jemaah yang lebih tinggi, secara semula jadi akan menanggung kos utiliti yang lebih besar. Namun, semua masjid turut merasai kesan tersebut pada tahap berbeza-beza.
“Muis bekerjasama rapat dengan masjid untuk memastikan pembiayaan mereka diuruskan dengan baik,” ujar jurucakap Muis.
Satu lagi masjid yang mengambil pendekatan lebih menyeluruh dalam aspek kemampanan, melangkaui penyesuaian operasi harian semata-mata ialah Masjid Abdul Aleem Siddique, yang telah memperkenalkan inisiatif Masjid Hijau atau Green Mosque pada 2023.
Menurut Pengurus Masjid Abdul Aleem Siddique, Ustaz K H Abdul Malike Maiden, usaha tersebut sebenarnya mula difikirkan lebih awal – pada 2022 – susulan perubahan dalam struktur lembaga pengurusan.
Pengalaman semasa pandemik Covid-19, yang menekankan kepentingan pengurusan sumber secara lebih berhemah, juga telah mempengaruhi pendekatan masjid itu, kata Ustaz Abdul Malike.
“Kami juga mendapati bahawa dalam sesetengah keadaan, air botol mineral yang disediakan melalui penajaan tidak dihabiskan sepenuhnya dan akhirnya terbazir.
“Ia mendorong kami untuk berfikir dengan lebih serius tentang penggunaan air dan aspek kemampanan,” ujarnya, yang juga berkongsi bahawa masjid tersebut boleh menampung sehingga 400 anggota jemaah.
Menurut Ustaz Abdul Malike, pendekatan diambil menerusi inisiatif Masjid Hijau itu merangkumi pelbagai usaha.
Ini termasuk menggantikan pemberian air botol dengan alternatif seperti botol boleh guna semula menerusi inisiatif Bawa Botol Anda Sendiri (BYOB), menerapkan sistem penyaman udara bijak, dan rancangan untuk meletakkan panel solar di bumbung masjid untuk menjana tenaga.
Masjid Abdul Aleem Siddique juga menggunakan sistem penyaman udara bijak yang boleh dikawal dengan mudah melalui telefon pintar. Ini membolehkan penggunaan elektrik dipantau dan disesuaikan dengan lebih mudah, kata Ustaz Abdul Malike.
Buat masa ini, bil api air di masjid itu masih kekal dalam lingkungan $1,400 dengan $2,000, kata beliau.
“Kami sedang memantau keadaan. Sekiranya terdapat sebarang lonjakan (kos tenaga), tidak kira sama ada disebabkan oleh peperangan atau faktor lain, pihak kewangan akan memaklumkan kepada kami, dan kami akan menelitinya,” ujar beliau.
Ustaz Abdul Malike menambah, langkah menjimatkan penggunaan elektrik dan air yang dimulakan lebih awal telah memudahkan jemaah memahami usaha yang dijalankan dan bagi mereka untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah.
“Sejak masjid memulakan perjalanan ini lebih awal, ia membantu daripada segi kesiapsiagaan. Ia mungkin dipengaruhi faktor luaran yang lebih luas, sama ada politik atau konflik global, tetapi apa pun keadaannya, masjid memang telah lama bergerak ke arah penjimatan sumber dan amalan hijau.
“Anggota jemaah akan melihat kami konsisten dalam inisiatif ini dan bukan sekadar tindak balas kepada isu semasa… Kami sudah pun memulakan usaha ini, dan saya rasa jemaah dapat melihat bahawa kami ikhlas dalam melaksanakannya,” tambah beliau.

