Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indeks baru iktiraf 300 majikan terbaik pupuk bakat tempatan

Oct 14, 2025 | 5:44 PM
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, melancarkan Indeks Peluang Singapura semasa Forum ‘People Behind People 2025’ pada 14 Oktober.
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, melancarkan Indeks Peluang Singapura semasa Forum ‘People Behind People 2025’ pada 14 Oktober. - Foto ZAOBAO

Mulai suku pertama 2026, para pekerja di Singapura boleh melayari laman web baru untuk mengenal pasti 300 majikan paling komited menyediakan pertumbuhan kerjaya dan gaji.

Senarai itu berdasarkan Indeks Peluang Singapura (’Singapore Opportunity Index’) yang menilai usaha majikan dalam menyediakan peluang pembangunan kerjaya dan peningkatan gaji.

Langkah itu bertujuan menggalakkan syarikat menarik, mengekalkan dan memupuk bakat, sejajar dengan dasar tenaga kerja pemerintah serta usaha peningkatan kemahiran pekerja, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Untuk mencapai semua ini, Indeks Peluang Singapura mengambil kira prestasi majikan merentasi pelbagai metrik gaji, kemajuan, kesamaan jantina, serta pengekalan dan pengambilan pekerja.

Ketika melancarkan indeks itu pada 14 Oktober, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menyatakan indeks tersebut menunjukkan bagaimana amalan majikan boleh mempengaruhi hasil kerja.

Beliau berucap pada Forum ‘People Behind People 2025’, anjuran Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP), yang dihadiri sekitar 750 peserta di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.

Menurut Dr Tan, indeks itu bukan bertujuan menentukan taraf kedudukan majikan.

Sebaliknya, ia membantu pertubuhan memperkukuh usaha membangunkan bakat berasaskan data yang objektif dan konsisten serta percuma.

Edisi pertama indeks itu meninjau hampir 1,500 syarikat yang masing-masing menggajikan sekurang-kurangnya 100 pekerja tempatan.

Secara keseluruhan, syarikat itu mewakili hampir sejuta penduduk, atau sekitar 45 peratus warga Singapura dan Penduduk Tetap dalam tenaga kerja.

Indeks itu dibentuk oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dengan kerjasama Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) serta badan pemikir bebas dari Amerika Syarikat, The Burning Glass Institute, menggunakan set data pekerjaan pemerintah.

Menjelang 2026, senarai 300 syarikat teratas akan diterbitkan, manakala laporan trend awal telah dikeluarkan pada 14 Oktober.

Sampel berkenaan terdiri daripada 1,420 majikan sektor swasta dan 79 majikan sektor awam.

Menurut jurucakap MOM, hanya syarikat yang menggajikan sekurang-kurangnya 100 penduduk tempatan ditinjau bagi memastikan dapatan kajian “sah” atau bermakna dari segi perangkaan.

Pemerintah turut meneliti cara memastikan syarikat kecil dapat memanfaatkan indeks itu melalui perkongsian amalan terbaik.

MOM akan menamakan 300 syarikat terbaik sebagai panduan bagi pencari kerja.

Setakat ini, prestasi dalam indeks itu belum dipadukan dengan sebarang insentif seperti kuota pekerja asing atau potongan cukai.

Dalam ucapannya, Dr Tan mengulas bahawa majikan dalam pasaran yang sama boleh mencapai hasil berbeza bergantung pada cara mereka menggajikan, membangunkan dan mengurus pekerja.

Indeks itu merupakan usulan pertama daripada Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pembangunan Keupayaan Modal Insan, yang ditubuhkan pada Mac lalu, untuk dilaksanakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg