Mendaki pergiat usaha terap penggunaan teknologi; AI agar inisiatif kekal relevan
Mendaki pergiat usaha terap penggunaan teknologi; AI agar inisiatif kekal relevan
Perlu sentiasa kemas kini program supaya dapat terus penuhi misi pertingkat taraf kehidupan masyarakat Melayu/Islam
Lebih banyak usaha akan dilakukan untuk menerapkan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam inisiatif sedia ada dan akan datang Yayasan Mendaki agar badan bantu diri itu kekal relevan.
Selain itu, ia membantu Mendaki melengkapkan masyarakat Melayu/Islam dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi perubahan pesat dalam landskap kerja dan ekonomi, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber.
Dalam wawancara kira-kira sejam dengan media Bahasa Melayu tempatan baru-baru ini, beliau mengakui kewujudan dan kesan AI yang meluas menuntut masyarakat untuk sentiasa menyesuaikan diri.
Maka, Mendaki juga perlu sentiasa mengemas kini kerelevanan programnya supaya ia dapat terus memenuhi misi bagi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Melayu/Islam di sini, tambah beliau.
“Kami akan menyediakan masyarakat (segenap lapisan) dengan persiapan menyeluruh… dan ini akan dilakukan dengan menyesuaikan rancangan atau inisiatif kami mengikut peredaran masa,” ujarnya.
Wawancara itu diadakan sempena 100 hari pertama beliau menyandang jawatan CEO.
Encik Feroz berkata pertubuhan itu telah mula menyerap unsur AI dan teknologi dalam inisiatif atau program yang ditawarkan.
Malah, pelan kerja lima tahun (2026-2030) Mendaki yang diumumkan pada 15 Januari lalu menjadikan teknologi dan AI sebagai aspek utama yang meliputi sebahagian besar program yang dibentangkan.
Misalnya, bagi program ReadySetLearn (RSL) atau SediaMulaBelajar yang baru, Encik Feroz berkata Mendaki akan memperkenalkan etika penggunaan AI dan teknologi kepada ibu bapa untuk mereka membesarkan anak-anak bagi membina keluarga kukuh.
RSL bertujuan memperkasa ibu bapa yang mempunyai anak berusia 16 tahun dan ke bawah untuk memainkan peranan aktif dalam perjalanan pembelajaran anak mereka dan memperkukuh pembelajaran di rumah.
Maklumat terperinci mengenai usaha menjangkau ibu bapa akan diumumkan tidak lama lagi, katanya.
Namun, beliau mendedahkan Mendaki akan menganjurkan lima pameran bergerak di kawasan kejiranan serata Singapura, bermula April, bagi menyampaikan etika penggunaan AI dan teknologi kepada golongan ini, antara lain.
Encik Feroz berkata pemerkasaan ini selaras dengan apa yang disyorkan Kementerian Pendidikan (MOE) berkenaan penggunaan AI dalam pembelajaran secara bertanggungjawab dan mengasuh kanak-kanak.
Berkenaan RSL, beliau mendedahkan ia program tunggal Mendaki hasil maklum balas langsung daripada ibu bapa menyusuli program yang dijalankan badan itu sebelum ini.
“Biasanya, Mendaki menggunakan data kuantitatif dan maklum balas daripada para pakar sebelum menubuhkan program.
“Namun, program RSL ini unik… kerana ia lahir atas maklum balas ibu bapa apabila kami menjalankan program KelasMateMatika atau KMM (kini dikenali sebagai Penjelajah Matematik RSL).
“Kebanyakan ibu bapa bukan tidak tahu-menahu tentang konsep matematik, mereka sebenarnya perlukan bantuan atau tips untuk menangani masalah atau soalan matematik… jadi itulah keunikan RSL,” ujarnya.
Maklum balas untuk mendapatkan sentimen segmen berbeza dalam masyarakat Melayu/Islam dan mengesan keperluan khusus golongan tersebut adalah sesuatu yang didambakan dan satu cabaran yang dihadapi Mendaki, kata Encik Feroz.
Beliau berkata Mendaki memandang serius maklum balas terhadap inisiatif yang dilakar. Ini penting kerana ia mencerminkan kesan program dan, secara meluas, sentimen sesetengah golongan.
Namun, maklum balas kadangkala lewat diterima, antara lain kerana masa yang diambil untuk mengumpul dan memprosesnya.
Justeru, beliau mengalu-alukan maklum balas segera terhadap program tertentu agar Mendaki dapat membuat penambahbaikan sewajarnya atau melaksanakannya untuk program seterusnya.
Mengambil contoh Program Pencapaian Mendaki (MAP), iaitu program tuisyen utama Mendaki yang baru diperhalusi sebelum ini dikenali sebagai Program Tuisyen Mendaki, Encik Feroz berkata sejak dilancarkan pertengahan Januari, beliau dan pasukannya telah bertemu beberapa tenaga pengajar dan murid bagi mendapatkan pandangan awal.
Beliau menjelaskan: “Saya ‘turun padang’ ke dua sekolah di timur dan untuk berinteraksi dengan murid yang terlibat dalam MAP, di samping para pendidik.
“Beberapa isu telah diketengahkan dan harus diperbaiki. Kami sudah ambil maklum dan memperbaikinya dengan serta-merta.
“Oleh demikian, setiap rekaan dan ciri sesebuah program akan kami teliti dan kaji – termasuk mendapatkan pendapat murid, pendidik atau ibu bapa – bagi memastikan program itu berjalan dengan lancar dan bermanfaat buat masyarakat.”
Sehubungan itu, Encik Feroz berhasrat untuk meneruskan tabiat ‘turun padang’ bagi “menyesuaikan diri dengan ekosistem baru” selepas dipinjamkan oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selama tiga tahun.
Beliau berpangkat Kolonel dan sebelum ini merupakan Ketua Inspektorat Keselamatan Tentera, bertanggungjawab memastikan keselamatan dalam SAF dengan memupuk budaya keselamatan yang kukuh dan menguatkuasakan sistem pengurusan.
Beliau mula bertugas secara rasmi pada 1 November 2025, menggantikan Cik Zuraidah Abdullah yang telah memimpin Mendaki sejak Mac 2020.
Encik Feroz menjelaskan, tabiat itu sebahagian daripada falsafah kepimpinannya, yang diringkaskan sebagai 3P: tujuan (purpose), profesionalisme, dan individu (people).
“Pada mulanya saya ada terfikir sekiranya saya boleh menjalankan tugas ini dengan baik kerana sudah lebih 25 tahun saya berkhidmat dalam SAF (sebagai pegawai tentera).
“Namun, ada baiknya untuk saya terapkan teras nilai kepimpinan 3P yang saya gunakan semasa berkhidmat dalam tentera,” ujarnya.
Beliau menyifatkan peralihan daripada SAF kepada menerajui badan bantu diri sebagai satu batu loncatan besar, tetapi komitmen kakitangan Mendaki dalam membantu masyarakat Melayu/Islam menjadi pemangkin baginya berkhidmat dengan sebaik mungkin.
Encik Feroz menegaskan: “Sebenarnya, sama ada tiga tahun, lima tahun ataupun 10 tahun, tempoh (menyandang sesuatu jawatan) tidak akan cukup kerana tugasan ini bukanlah satu pekerjaan semata-mata, tetapi ia amanah dan tanggungjawab. Amanah ini kekal berterusan, tanpa mengira tempoh masa.
“Oleh itu, visi saya untuk masyarakat Melayu/Islam Singapura adalah kita harus sentiasa bersatu padu walau apa pun gelombang cabaran yang datang.”

