Mendaki, SUTD, meterai MOU perkasa kemahiran AI masyarakat Melayu/Islam
Mendaki, SUTD, meterai MOU perkasa kemahiran AI masyarakat Melayu/Islam
Yayasan Mendaki memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat Melayu/Islam bersedia menggunakan dan meraih manfaat daripada kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan usaha Singapura untuk memanfaatkannya, kata pengerusi badan Melayu/Islam itu, Encik Zaqy Mohamad.
Ini khususnya dalam usaha untuk membantu masyarakat Melayu/Islam meningkatkan pemahaman dan penguasaan tentang AI, kata Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran).
“Saya rasa Mendaki mempunyai peranan penting dalam hal ini, terutamanya dalam usaha untuk membawa masyarakat Melayu/Islam bersama-sama – dalam membantu mereka meningkatkan pemahaman dan penguasaan tentang AI.
“Ini agar mereka dapat menikmati semua manfaat ekonomi, peluang pekerjaan, dan tentunya kekal berdaya saing dalam era yang semakin berkembang pesat ini,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Mendaki akan bekerjasama dengan Akademi Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), sebuah daya usaha pengajian dewasa universiti tersebut, untuk memperkenalkan program berkaitan AI kepada masyarakat Melayu/Islam.
Mendaki juga sedang meninjau peluang untuk melanjutkan beberapa program terpilih untuk dibuka kepada kakitangan Mendaki bagi pembangunan keupayaan.
Menurut Encik Zaqy, Mendaki berhasrat memberi keyakinan kepada masyarakat tentang penggunaan AI secara berkesan.
“Kita mahu memanfaatkan kursus dan kepakaran teknikal daripada SUTD untuk meningkatkan khidmat kepada masyarakat melalui Mendaki, bagaimana juga kita dapat mendorong badan Melayu/Islam (MMO) dan membawa masyarakat bersama dalam memanfaatkan AI di Singapura,” tambah beliau.
Ini terutamanya dengan langkah untuk menjadikan AI sebagai kelebihan strategik Singapura, yang dikemukakan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2026.
Demikian dikongsikan beliau dalam sesi bertemu media semasa pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Mendaki dengan SUTD, yang terletak di Somapah Road, pada 18 Mac.
MOU yang berjalan selama tiga tahun itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, dan Timbalan Presiden, Ketua Pegawai Inovasi dan Perusahaan SUTD, Profesor Tai Lee Siang.
Ia disaksikan Encik Zaqy, yang hadir selaku tetamu terhormat.
Semasa pemeteraian MOU itu, beliau turut meluangkan masa meninjau Kursus Profesional AI Generatif di satu makmal komputer yang terletak di universiti tersebut, di mana 20 kakitangan Mendaki hadir pada sesi kedua program itu.
Ia berlangsung selama dua hari, dari 18 hingga 19 Mac.
Menurut satu kenyataan media bersama Mendaki dan SUTD pada 18 Mac, program tersebut bertujuan memperkenalkan cara AI boleh digunakan bagi menyokong pegawai Mendaki dalam tugas mereka, meningkatkan daya penghasilan, menguruskan tanggungjawab harian dengan lebih baik, serta mempertingkatkan penyampaian khidmat kepada masyarakat.
MOU tersebut menyokong Pelan Kerja Mendaki 2030 dalam membina tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan, tambah beliau.
Ini di samping menyumbang kepada inisiatif Langkah Digital, yang diterajui oleh M Kuasa Tiga (M³) dan Mendaki, bagi mempromosikan penggunaan AI dan kecelikan digital dalam masyarakat.
“Dengan menggabungkan capaian masyarakat yang kukuh oleh Mendaki dan kepakaran SUTD dalam teknologi, inovasi serta reka bentuk terapan, kerjasama ini bertujuan untuk menterjemahkan kepakaran akademik dan industri kepada impak yang bermakna dalam dunia sebenar,” ujar kenyataan itu.
MOU tersebut merangkumi beberapa bidang kerjasama, iaitu menyediakan peluang latihan dan pembangunan kemahiran dalam bidang AI serta reka bentuk untuk kakitangan Mendaki serta masyarakat umum; menjalankan penyelidikan bersama dan projek kolaboratif; serta menyokong inisiatif berkaitan pelajar termasuk Program Capstone dan projek Design Studio.
Selain itu, ia turut melibatkan penyertaan dalam acara berkaitan Mendaki dan SUTD, dengan matlamat memudahkan pertukaran pengetahuan serta meningkatkan kesedaran masyarakat.
Menyentuh tentang MOU tersebut, CEO Mendaki, Encik Feroz berkata ia bukan sahaja mempersiapkan masyarakat untuk menyesuaikan diri, bahkan juga untuk memimpin dalam ekonomi masa depan.
“Ini kerana masa depan bukan hanya dibentuk oleh akses (kepada peluang) semata-mata, tetapi oleh keupayaan untuk menerapkan, mencipta, dan terus belajar.
“Di sinilah, institusi seperti SUTD dan Mendaki perlu berganding bahu untuk menghubungkan peluang dengan keupayaan, serta aspirasi dengan tindakan,” kongsi beliau.
Sementara itu, Profesor Tai berkata ia mencerminkan komitmen bersama terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
“Sama-sama, kami berharap dapat menyokong inisiatif yang memupuk rasa ingin tahu, membina keyakinan dalam bidang teknologi, dan mewujudkan peluang bermakna bagi para pelajar,” katanya.
Menurut beliau lagi, kerjasama SUTD dengan Mendaki sebenarnya telah bermula sebelum pemeteraian MOU tersebut, iaitu sejak 2024.
Ini seperti pertandingan robotik yang dianjurkan oleh universiti tersebut semasa acara ‘Raikan Ilmu@Heartlands 2024’ di Kampung Admiralty pada 27 hingga 28 Julai 2024, dan program robotik Robot Wars yang diadakan selama sehari di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias pada 14 September 2025.

