Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NDP 2025: Pentas 360 darjah & persembahan pelbagai generasi di Padang dan Marina Bay

Jun 26, 2025 | 5:38 PM
NDP 2025, Rahimah Rahim, Benjamin Kheng
Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 menampilkan pengarah kreatif Boo Junfeng (tengah) dan para penghibur termasuk (dari kiri) pasangan suami isteri, Matthew S T Sunil dan Jennifer Thevajenner; penyanyi veteran, Rahimah Rahim; serta penyanyi dan pencipta lagu dan penulis lirik, Benjamin Kheng. - Foto ST

Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 akan menampilkan pentas bergerak 360 darjah, yang terbesar dalam sejarah perbarisan, bagi membawa persembahan lebih dekat dengan penonton di Padang.

Dengan diameter 15 meter dan berat 20,000 kilogram, pentas itu boleh dinaikkan sehingga tujuh meter dan dilengkapi 270 skrin LED.

Fasad bangunan di sekitar kawasan tersebut seperti Hotel Fullerton dan UOB Plaza One juga akan kelihatan ‘hidup’ dengan paparan seni bertema perayaan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), hasil karya artis tempatan Sam Lo.

NDP 2025 juga akan menampilkan perarakan darat dan air yang direka khas oleh artis kurang upaya.

Sempena SG60, pengarah filem tempatan, Boo Junfeng, akan kembali sebagai Pengarah Kreatif NDP 2025, selepas memegang peranan sama bagi NDP 2018 dan 2021.

Penonton boleh menjangkakan persembahan daripada 39 artis tempatan, merentasi pelbagai generasi dan genre, bersama lebih 3,000 orang peserta, lapor The Straits Times (ST).

Ini termasuk nama besar seperti Dick Lee, Kit Chan, Rahimah Rahim dan Ramli Sarip, selain artis kontemporari seperti penyanyi serta pencipta lagu dan lirik, Charlie Lim dan Benjamin Kheng, pelakon dan penyanyi, Tosh Zhang, serta bintang rap, Yung Raja.

Bagi memastikan lebih ramai rakyat Singapura dapat menyaksikan perbarisan itu, acara itu buat kali pertama akan meliputi kawasan dari Padang hingga Marina Bay.

Buat julung-julung kalinya, persembahan itu akan diadakan di atas pentas terapung bergerak di Marina Bay, yang dipasang pada Kapal Laju Utiliti (FCU), milik Angkatan Laut Republik Singapura (RSN).

Persembahan itu dibahagikan kepada empat babak, masing-masing diilhamkan daripada kata-kata dan bait lagu kebangsaan, Majulah Singapura.

Sebagai contoh, babak pertama akan meraikan masyarakat pelbagai kaum di Singapura dan menampilkan Chan dan Lim, yang membawakan lagu tema NDP 2025, Here We Are, serta persembahan deklamasi lagu kebangsaan oleh Ramli dan artis lain seperti Zhang.

Boo memberitahu ST beliau berharap penonton, sama ada mereka yang menyaksikan perbarisan di Padang, kawasan sekitarnya atau di televisyen, akan merenung keistimewaan Singapura sebagai tanah air kita dan harapan kita sebagai rakyat.

“Lebih daripada sekadar sambutan, saya rasa ia juga merupakan momen untuk renungan supaya kita boleh memikirkan sebab kita mencintai tanah air kita dan apa yang kita harapkan untuk masa depan Singapura,” jelasnya.

Penyanyi veteran, Rahimah, pula memberitahu ST beliau “sangat berbesar hati dapat melakukan kolaborasi antara generasi ini”, melalui persembahan duet bersama Kheng bagi lagu tema NDP 2024, Not Alone.

Kheng, yang juga penulis bersama bagi lagu itu, berkata nyanyian Rahimah menambah dimensi baru dalam lagu tersebut. 

“Rahimah menjadi dirinya sendiri dan dengan tenaga serta kehangatan yang dibawanya, beliau benar-benar memberi keseimbangan kepada semua orang dalam ruang persembahan dan (keunikannya) terpancar dengan sangat baik,” kata Kheng.

Satu lagi elemen yang menambah kelainan dalam NDP 2025 ialah persembahan duet pasangan ini, yang akan dilakukan di lokasi berbeza, dengan Rahimah di Padang dan Kheng di pentas terapung Marina Bay.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg