Permohonan bagi Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS) edisi 2025 bakal ditutup dalam masa dua minggu, pada 30 Jun.
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menggesa semua penterjemah dan jurubahasa profesional yang layak agar memohon sebelum tarikh tutup.
TTDS merupakan inisiatif nasional yang menyokong pengamal penterjemahan dan interpretasi di Singapura dalam meningkatkan kemahiran melalui program latihan tempatan dan luar negara yang berkaitan dengan bahasa, terjemahan dan tafsiran.
Pemohon yang berjaya boleh menerima pembiayaan sehingga $10,000, merangkumi 90 peratus daripada yuran kursus yang layak atas dasar pembayaran balik.
Skim tersebut menawarkan pelbagai peluang pembangunan, termasuk kursus singkat, bengkel, persidangan serta program pensijilan yang bertujuan meningkatkan kecekapan profesional.
Untuk layak memohon, individu harus merupakan warganegara Singapura yang bekerja dalam sektor swasta dengan sekurang-kurangnya setahun pengalaman kumulatif dalam bidang terjemahan atau tafsiran.
Skim tersebut meliputi tiga pasangan bahasa rasmi: Inggeris-Cina, Inggeris-Melayu dan Inggeris-Tamil.
Ditadbir oleh Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC), TTDS merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas di bawah inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward SG untuk membangunkan sektor penterjemahan dan pentafsiran yang mampan dan bersedia untuk masa hadapan.
Individu yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut termasuk panduan permohonan dengan melayari laman web, www.mddi.gov.sg/ttds.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg