Ramadan buka tirai, umat Islam S’pura hidupkan masjid bagi solat tarawih pertama
Ramadan buka tirai, umat Islam S’pura hidupkan masjid bagi solat tarawih pertama
Faishal ajak umat Islam S’pura dipandu oleh 3 nilai iaitu kesyukuran, kesopanan dan kesantunan
Dengan seruan bagi solat tarawih dilaungkan bilal di Masjid Al-Iman di Bukit Panjang, ribuan jemaah mula memenuhi saf yang mengisi ruang hingga tingkat empat masjid itu pada 18 Februari.
Solat tarawih pertama itu, yang menjadi pembuka tirai Ramadan 2026 di Singapura, turut disertai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
Bercakap kepada Berita Harian (BH) sebelum solat tarawih dilaksanakan, Dr Faishal menggariskan usaha anggota masjid – Lembaga Pentadbir Masjid (LPM), kakitangan, dan sukarelawan – dalam menyediakan ruang selesa bagi jemaah sepanjang Ramadan.
“Saya sempat jumpa dengan beberapa sukarelawan dan mereka beritahu saya, mereka sudah bersedia dan mahu menyumbang kepada masyarakat kita pada Ramadan ini.
“Usaha gigih mereka mencerminkan nilai kesyukuran, kesopanan, dan kesantunan. Ia melambangkan semangat bakti yang menjadi teras masyarakat kita,” katanya.
Dr Faishal turut berharap jemaah dapat memanfaatkan ruang solat yang disediakan dan menghidupkan masjid serta kariah di sepanjang Ramadan.
“Pada tahun ini (2026), selain daripada 110,000 ruang solat di masjid, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) turut menyediakan 15,500 ruang tambahan di 46 kariah di seluruh Singapura
“Ini untuk memudahkan jemaah khususnya warga emas dan yang kurang berupaya supaya dapat beribadah dengan lebih selesa, dekat dengan rumah mereka,” tambahnya.
Pada 17 Februari, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir telah mengisytiharkan awal Ramadan 1447 Hijrah jatuh pada 19 Februari.
Dr Nazirudin mengumumkan hal tersebut menerusi satu kenyataan Muis, sambil menggesa masyarakat untuk terus rebut peluang Ramadan.
Ini supaya dapat menjadi Muslim yang lebih cemerlang dengan ketekunan ibadah, serta disertai kesyukuran, keihsanan, kesopanan, dan kesantunan dalam urusan sesama insan.
Pada 18 Februari, umat Islam Singapura dilihat berpusu-pusu untuk ke masjid bagi malam pertama solat tarawih.
Ini termasuk Masjid Al-Iman, dengan hampir 3,000 jemaah memenuhi keempat-empat tingkat ruang solat yang disediakan.
Ketika ditemui BH di Masjid Al-Iman, Pengerusi Eksekutif Masjid (MEC), Encik Ridzwan Abu Bakar, berkata masjid itu berkobar-kobar untuk menerima jemaah bagi bulan mulia itu terutamanya dalam melaksanakan nilai gerakan SalamSG kali ini – syukur, sopan, dan santun.
Menurutnya, mereka telah melakukan persiapan rapi dengan bantuan khidmat LPM, kakitangan, dan sukarelawan termasuk membersihkan masjid serta menyediakan sistem penyejukan jimat air ‘air cooler’ baru.
“Kami ingin sambut jemaah yang datang dengan rasa sopan, di mana mereka rasa selesa datang ke Masjid.
“Kami siapkan perkara apa yang mereka perlukan seperti pembahagian bubur Ramadan, sistem penyejukan air ini dengan harapan dapat menerapkan aspek syukur,” ujar Encik Ridzwan.
Antara program yang akan disajikan Masjid Al-Iman kali ini, ialah solat tarawih, qiyamullail, iftar bersama dan khidmat jaga anak atau childminding yang telah diadakan sejak 2012.
Masjid Al-Iman juga akan memperkenalkan program terbaru, ‘Mommies’ Safe Space’ di mana satu tempat khusus disediakan bagi ibu yang ingin solat bersama anak mereka yang berusia baru lahir hingga enam tahun, agar tidak mengganggu jemaah lain.
“Kami terima maklum balas daripada jemaah, terutamanya kaum ibu, yang mempunyai anak kecil di mana mereka pun ingin melakukan ibadah bersama jemaah yang lain.
“Kami cuba adakan ruang ini, jadi walaupun mereka menjaga anak kecil, mereka tetap diberi kesempatan lakukan tarawih bersama jemaah yang lain,” tambahnya.

