Singapura akan terus memantau perkembangan konflik Gaza dan membantu mangsa di sana, umpamanya melalui bantuan kemanusiaan yang telah dilakukan negara ini, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Namun begitu, pemerintah akan tetap mengutamakan keselamatan rakyat Singapura meskipun jika ia bermakna mereka perlu membuat keputusan tidak popular atau mengehadkan kegiatan yang boleh menjejas keselamatan, tambah beliau.
“Ini bukan usaha Singapura sendiri, tetapi usaha sedunia… saya memahami perasaan masyarakat berhubung konflik ini. (Namun) Dari segi aspek kegiatan yang mahu dilakarkan (untuk menolong mangsa), saya ingin berkongsi bahawa Singapura ada menerima risikan dari negara-negara lain bahawa mungkin apa yang kita lakukan akan menjejas keselamatan,” kata beliau.
“Sebagai pemerintah yang bertanggungjawab, walaupun tidak popular, walaupun menerima kritikan, kami rasa bahawa kami harus menegakkan keselamatan… Tetapi, kita tetap usahakan supaya kita boleh melaksanakan acara ini (bantuan kemanusiaan) dengan selamat dan juga pengumpulan dana yang dilakukan memenuhi peraturan,” tambah beliau.
Dr Faishal berkata demikian dalam satu wawancara studio khas bersama Berita Harian (BH) pada 19 Ogos, sempena 100 hari sejak beliau menggalas peranan selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada Mei 2025.
Singapura telah menjalankan operasi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi udara pada Ogos – bantuan kemanusiaan kesembilan dari Singapura ke Gaza.
Dengan penghantaran terkini itu, Singapura telah menyalurkan lebih $22 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dr Faishal berkata konflik Gaza merupakan satu isu global yang menjejas semua masyarakat, termasuk masyarakat Melayu/Islam di sini.
Bahkan, beliau telah menyertai lebih 20 dialog sejauh ini dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk memahami sentimen mereka mengenai konflik tersebut, tambah beliau.
“Kita akan terus memantau keadaan, melihat bagaimana kita boleh menyumbang sebagai satu masyarakat kerana ini adalah isu kemanusiaan,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg