Syed Harun: Hanya segelintir sewa rumah kedai Kg Gelam naik 25% atau lebih
Syed Harun: Hanya segelintir sewa rumah kedai Kg Gelam naik 25% atau lebih
Kadar sewa median Kg Gelam naik secara sederhana
Hanya sebilangan kecil perjanjian sewa rumah kedai di Kampong Gelam yang ditandatangani antara 2023 hingga 2025 mencatatkan kenaikan sewa sebanyak 25 peratus atau lebih, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Malah, sebahagian perjanjian ini sebelum itu dikontrakkan pada kadar sewa di bawah harga pasaran, tambah beliau.
Menjawab soalan di Parlimen pada 3 Februari mengenai kesan kenaikan harga sewa terhadap perniagaan warisan di kawasan bersejarah seperti Kampong Gelam, Dr Syed Harun berkata kadar sewa median – harga sewa pertengahan – rumah kedai di situ meningkat secara sederhana.
Ia juga kekal sekitar 20 peratus hingga 60 peratus di bawah ruang runcit konvensional di kawasan pusat negara.
“Walaupun sewa median rumah kedai bersejarah di Kampong Gelam meningkat pada kadar sederhana, terdapat juga sebahagian kecil perjanjian sewa yang ditandatangani antara 2023 dengan 2025 yang mencatatkan kenaikan sewa lebih tinggi, iaitu 25 peratus atau lebih.
“Ini termasuk perjanjian sewa di lorong yang mempunyai jumlah pengunjung yang tinggi, contohnya di Kampong Gelam khususnya, seperti Haji Lane dan Bali Lane.
“Sebahagian daripada perjanjian sewa ini sebelum ini dikontrakkan di bawah kadar pasaran. Oleh itu, mereka (penyewa) mungkin mengalami peningkatan yang lebih besar daripada kadar asas yang rendah apabila kadar tersebut dinaikkan kepada kadar pasaran semasa,” kata beliau.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) berkata sekitar 10 peratus perjanjian sewa yang ditandatangani antara 2023 dengan 2025 menyaksikan kenaikan sewa sebanyak 25 peratus atau lebih, dengan sebahagian besar sewa di Kampong Gelam menyaksikan kenaikan sewa yang sederhana.
Dr Syed Harun berkata pemerintah memantau kadar sewa runcit di Singapura dengan teliti.
Menggariskan lagi data yang dikongsi URA kepada media sebelum ini, beliau berkata kadar sewa median bagi ruang runcit di kawasan warisan Kampong Gelam, Little India dan Chinatown, termasuk aturan sewa tangan atas tangan, menyaksikan peningkatan sederhana sekitar 2 peratus setahun sepanjang dua tahun lalu.
Kenaikan sewa ini setanding dengan kenaikan sewa ruang runcit konvensional di kawasan pusat Singapura, malah lebih rendah berbanding pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) nominal dalam tempoh yang sama.
Data ini diperoleh daripada rekod sewa menyeluruh yang dikemukakan untuk tujuan cukai setem, kata Dr Syed Harun.
Isu sewa melambung yang memaksa perniagaan warisan berundur dari Kampong Gelam menarik lebih perhatian selepas Warong Nasi Pariaman – restoran nasi padang berusia 78 tahun di sana – mengumumkan ia akan tutup kedai pada akhir Januari. Restoran itu telah ditutup.
Sebahagian peniaga warisan yang ditemui BH berkata sewa kedai mereka telah melonjak antara 30 peratus dengan 150 peratus sejak beberapa tahun lalu.
Mereka juga melahirkan rasa prihatin budaya tradisional di kawasan tersebut akan luntur jika lebih banyak perniagaan warisan berundur.
Seramai empat Anggota Parlimen (AP) – termasuk Cik Denise Phua (GRC Jalan Besar); Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied); Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio); dan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) – bertanya soalan berhubung perniagaan warisan dan usaha mengekalkan budaya tradisional di kawasan warisan Singapura.
Menjawab pertanyaan Cik Phua, iaitu AP yang mewakili kawasan Kampong Gelam, mengenai mengimbangi kepentingan pihak berkepentingan yang berbeza dalam memelihara warisan dan budaya di Kampong Gelam, Dr Syed Harun mendedahkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Silang Agensi bagi Perniagaan Warisan, Kegiatan Tradisional dan Kehidupan Budaya pada 2025.
Pasukan ini menyatukan agensi-agensi utama untuk mencari jalan menyokong perniagaan warisan, termasuk dalam bidang pemindahan kemahiran, transformasi perniagaan, serta menyediakan ruang, prasarana dan inisiatif yang mempromosi budaya, masyarakat dan perusahaan tempatan.
Lembaga Warisan Negara (NHB) juga telah melancarkan Skim Perniagaan Warisan SG pada Oktober 2025 untuk mengiktiraf perniagaan warisan dan menggalak orang ramai menghargai nilai budaya mereka.
Sejauh ini, 42 perniagaan telah diiktiraf di bawah skim ini, termasuk 21 di Kampong Gelam dan Chinatown.
Di samping itu, Geran Transformasi Pertubuhan NHB membantu perniagaan warisan melaksanakan projek inovatif untuk kelangsungan jangka panjang.
AP Parti Pekerja (WP), Encik Fadli, bertanya sama ada pemerintah merancang melanjutkan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) dan Cukai Setem Penjual (SSD) kepada hartanah komersial di kawasan warisan.
Beliau juga bertanya sama ada pemerintah akan mempertimbangkan mengubah kaedah pengiraan cukai hartanah komersial di kawasan warisan, sebagai galakan atau ganjaran kepada pemilik yang menurunkan sewa atau mengekalkan identiti kawasan warisan.
Dr Syed Harun berkata kementeriannya “tidak ada rancangan buat masa ini” berhubung dua perkara tersebut.
Menjawab pertanyaan Cik Nadia mengenai kesesuaian kegiatan dan usaha memperkukuh perniagaan di kawasan warisan pula, Dr Syed Harun berkata URA tidak membenarkan perniagaan bukan warisan, seperti restoran makanan segera, pasar raya dan bar baru, daripada membuka niaga di ketiga-tiga kawasan warisan Singapura, iaitu Kampong Gelam, Little India dan Chinatown.
URA turut memastikan bilangan kedai cenderahati dikekalkan mengikut had tertentu dari kawasan teras kawasan bersejarah tersebut.
Langkah ini penting untuk melindungi semangat dan tenaga kawasan warisan dan bersejarah.
“Ini membantu membentuk campuran penyewa yang sejajar dengan ciri bersejarah kawasan tersebut, serta identiti yang unik,” kata beliau.
Sementara itu, Dr Syed Harun turut menyentuh tentang isu Warong Nasi Pariaman, sambil menambah media melaporkan bahawa wakil keluarga perniagaan nasi padang itu baru-baru ini telah menjelaskan penutupan restoran itu tidak berkaitan dengan isu sewa.
“Agensi-agensi sedang berhubung dengan Warong Nasi Pariaman untuk membincangkan cara kami dapat memudahkan penerusannya, sekiranya mereka memutuskan untuk berbuat demikian,” kata beliau di Parlimen.

