Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terus ikhtiar cari kerja walau sudah setahun lulus universiti

Jul 11, 2025 | 6:35 PM
Prospek kerja, Graduan institusi privet, S’pura
Sejak menamatkan pengajian dalam Pentadbiran Perniagaan di University at Buffalo pada Jun 2024, Encik Muhammad Azrin Haikal Mohamad Fitri, 27 tahun, telah menghantar lebih 100 permohonan kerja, namun hanya sekitar 20 peratus yang memberi maklum balas. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Tatkala menamatkan pengajian kira-kira setahun lalu, Encik Muhammad Azrin Haikal Mohamad Fitri, tidak pernah membayangkan tatkala beliau mengorak langkah memasuki alam pekerjaan, ia bakal penuh onak duri.

Berdepan dengan pasaran kerja yang penuh persaingan, lulusan Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan dari University at Buffalo itu memilih untuk mencari rezeki sebagai guru tuisyen sambilan kerana kesukaran mendapat pekerjaan sepenuh masa setelah lulus pada Jun 2024.

Hanya baru-baru ini pada 7 Julai 2025, beliau ditawarkan jawatan eksekutif berbentuk kontrak dalam bidang pemprosesan hasil – pendapatan – bagi syarikat perkapalan.

Namun, beliau terpaksa meneruskan kerja sambilan untuk menambah pendapatan.

Bagi Encik Azrin, 27 tahun, setiap peluang pekerjaan tidak kira tetap atau sementara, merupakan batu loncatan yang berharga untuk memperkukuh asas kerjaya masa depan. 

“Sebagai calon yang masih mentah dalam dunia pekerjaan dan bersaing dalam pasaran yang sangat mencabar, saya tidak boleh terlalu memilih. 

“Jawatan kontrak ini adalah peluang keemasan untuk menimba pengalaman, membina jaringan dan menelusuri bidang yang ingin saya terokai secara mendalam,” ujar beliau kepada Berita Harian (BH).

Bersandarkan latar belakang Diploma dalam Kejuruteraan dan Perniagaan dari Politeknik Nanyang (NYP), Encik Azrin pernah mencuba nasib memohon ke universiti awam tempatan. 

Namun, akibat keputusan Gred Mata Purata (GPA) yang tidak menepati syarat kemasukan, beliau memilih meneruskan pengajian di institusi swasta.

Encik Azrin mengikuti pengajian di Singapura dan memperolehi ijazah dari University at Buffalo, New York, Amerika Syarikat. 

Tarikan terhadap pendekatan pembelajaran yang bersifat praktikal dan berpaksi dunia sebenar mendorongnya menjejak kaki ke University at Buffalo.

Sejak menamatkan pengajian, lebih 100 permohonan kerja telah dihantarnya — namun hanya sekitar 20 peratus yang menerima maklum balas. 

“Rasa kecewa itu lumrah. Lebih-lebih lagi apabila melihat rakan sebaya semakin maju, sedangkan saya masih tercari-cari arah,” luahnya.

Beliau turut mengakui bahawa persepsi terhadap lulusan institusi swasta masih wujud dalam kalangan majikan. 

“Saya tidak nafikan bahawa lulusan universiti awam lebih mudah diterima bekerja... itulah realitinya. 

“Namun, bagi saya, ijazah hanyalah permulaan. Nilai sebenar seseorang terletak pada kemahiran, keyakinan diri dan kesediaan untuk terus belajar,” katanya.

Encik Azrin turut berkongsi pengalaman berdepan dengan sikap sesetengah syarikat yang dikatakan seakan bersikap acuh tak acuh semasa karnival kerjaya di tempat beliau menuntut.

“Apabila saya menghampiri syarikat ini semasa karnival kerjaya, saya perhatikan mereka tidak berapa sungguh-sungguh untuk merekrut kami... kadangkala mereka bersikap sekadar ‘tunjuk muka’... ia amat mengecewakan,” tambah Encik Azrin.

Lantaran itu, beliau menyeru agar semua pihak termasuk penggubal dasar dan majikan, tidak menilai seseorang hanya berdasarkan nama atau jenama institusi pendidikannya.

“Lihatlah nilai sebenar yang mampu kami bawa ke syarikat, nilailah apa yang mampu kami sumbangkan,” katanya penuh harapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg