Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semakin mencabar bagi lulusan universiti swasta dapatkan pekerjaan

Kelulusan, kemahiran tidak sepadan dengan pekerjaan sedia ada; majikan dikatakan beri keutamaan kepada universiti lebih ‘berjenama’
Jul 11, 2025 | 4:15 PM
Siswazah, isu ketidakpadanan pekerjaan, Tinjauan Pekerjaan Siswazah Institusi Pendidikan Swasta
Pelajar yang memilih laluan universiti swasta harus memikirkan sama ada ijazah itu akhirnya akan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang dihargai oleh majikan. - Foto ISTOCKPHOTO

Cabaran mendapatkan pekerjaan yang dihadapi kalangan lulusan universiti kini, disifatkan sebahagian besar pengamat bak ‘gerimis seketika yang akan berlalu’ pergi dan bukan ‘hujan lebat yang berlarutan’.

Namun, bagi sekumpulan siswazah – iaitu mereka yang menggengam ijazah dari universiti swasta – cabaran mendapatkan pekerjaan itu lebih meruncing berbanding lulusan universiti setempat atau siswazah luar negara dari universiti lebih ternama.

Menurut pakar dan pengamat, cabaran bagi golongan itu berpunca daripada sebab yang lebih mendalam dan ia memerlukan campur tangan.

Terdapat dua faktor paling menyerlah.

Pertama, pekerjaan sedia ada dikatakan tidak sepadan dengan kelulusan.

Kedua, kemahiran dan pengalaman menjadikan mereka ‘kurang menarik’ bagi sesetengah majikan.

Memburukkan lagi keadaan, majikan kini lebih berhati-hati dalam mengambil pekerja baru di tengah-tengah ketidaktentuan ekoran perang perdagangan sejagat.

Sesetengah majikan lebih cenderung mengambil kakitangan secara kontrak dan sambilan, kata pengamat dan syarikat perekrut, kepada Berita Harian (BH).

Menurut mereka, selain kelayakan ijazah, majikan juga menghargai pengalaman pekerjaan seperti latihan amali.

Ini kerana ia biasanya menunjukkan siswazah itu sudah bersedia bekerja dan hanya memerlukan tempoh latihan yang lebih singkat di tempat kerja.

“Bagi siswazah baru untuk menonjol dalam landskap pengambilan pekerja yang sesak dan berdaya saing, mereka perlu merapatkan jurang kemahiran atau pengalaman. Pelajar mesti memiliki kemajuan mereka sendiri.

“Mereka harus berusaha ke arah memupuk pemahaman yang mendalam tentang kekuatan dan kelemahan dalam set kemahiran mereka, keperluan majikan yang mereka ingini, dan masa depan industri pilihan mereka.

“Ini akan membantu mereka berjaya,” kata jurucakap wadah pasaran pekerjaan dalam talian, Jobstreet by Seek, Singapore.

Menurut Laporan Pasaran Pekerja terkini yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jun, bilangan pekerjaan kosong telah meningkat daripada 77,500 pada Disember 2024 kepada 81,100 pada Mac.

Jumlah pekerjaan kosong terus melebihi bilangan penganggur dengan nisbah pekerjaan kosong kepada penganggur kekal pada 1.64, setanding dengan Disember 2024.

Pada masa yang sama, data daripada tinjauan pekerjaan siswazah mendedahkan trend pengangguran siswazah yang meningkat – mencecah 12.9 peratus bagi kohort 2024 daripada 10.4 peratus pada 2023. Ia merupakan satu peningkatan untuk tahun ketiga berturut-turut.

Bagaimanapun, keadaannya lebih meruncing bagi lulusan institusi swasta.

Berdasarkan Tinjauan Pekerjaan Siswazah Institusi Pendidikan Swasta (PEI) terkini, yang dikeluarkan oleh SkillsFuture Singapura (SSG) pada 26 April, bilangan siswazah baru yang mendapat pekerjaan sepenuh masa terus merosot sejak beberapa tahun lalu.

Jumlah siswazah PEI baru yang mendapat kerja sepenuh masa pada 2024 ialah 46.4 peratus, berbanding 58.7 peratus pada 2023, dan 60.9 peratus pada 2022.

Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha, menyifatkan pola itu sebagai ketidakpadanan pekerjaan antara siswazah PEI dan pekerjaan yang terdapat di pasaran.

“Terdapat lebih banyak pekerjaan kosong daripada bilangan pencari kerja.

“Jadi jumlah ini seolah-olah menunjukkan bahawa terdapat pekerjaan yang tersedia, tetapi terdapat ketidakpadanan antara keperluan majikan berbanding kemahiran yang dimiliki pencari kerja.

“Saya tidak fikir ini adalah persoalan sama ada ia universiti berautonomi atau PEI tetapi soalan mengenai set kemahiran yang diperlukan oleh majikan, jenis kursus yang ditawarkan oleh universiti, dan matlamat pelajar yang mengambil kursus tersebut,” kata Encik Sharael.

Beliau turut menekankan data terkini juga mungkin mencerminkan trend dalam kalangan siswazah yang antaranya mungkin tidak mahukan pekerjaan sepenuh masa.

Encik Sharael Taha.
Encik Sharael Taha. - Foto fail

Encik Sharael, yang juga Anggota Lembaga Pengarah Mendaki, berkata:

“Sebagai contoh, jika anda mengambil ijazah dalam reka bentuk permainan, seni digital, fotografi, sinematografi seni, kemungkinan pekerjaan yang anda akan pilih adalah pekerjaan bebas.”

Mengulas tentang kebimbangan mengenai pasaran pekerja yang lemah, AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, pula berkata majikan mungkin memilih jenama universiti yang lebih terkenal apabila mencari pekerja.

Tidak seperti universiti tempatan, Dr Wan Rizal, berkata siswazah PEI adakalanya kekurangan hubungan alumni dan pendedahan industri yang akan memberi mereka peluang yang lebih baik apabila mencari pekerjaan.

“Memang benar bahawa sesetengah majikan masih menggunakan jenama universiti sebagai jalan mudah, terutamanya dalam pasaran pekerja yang ketat.

“Tetapi akhirnya, daya pemikiran dan sama ada set kemahiran itu masih relevan adalah lebih penting.

“Pencari kerja yang boleh membentangkan portfolio yang kukuh, latihan amali yang relevan, dan sikap yang baik akan tetap menyerlah, tidak kira sekolah.

“Itulah sebabnya PEI perlu terus meningkatkan hubungan industri dan menawarkan peluang pembelajaran berasaskan kerja,” kata Dr Wan Rizal.

Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Dr Wan Rizal Wan Zakariah. - Foto fail

Jurucakap SSG menambah, adalah penting bagi bakal pelajar melakukan penyelidikan dan mempertimbangkan kos peluang jangka pendek dan jangka panjang, serta kos perbelanjaan apabila mempertimbangkan untuk melanjutkan pelajaran di universiti swasta.

Mereka harus menilai antara lain, sama ada ijazah itu akhirnya akan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang dihargai oleh bakal majikan.

“Bagi siswazah PEI yang memerlukan bantuan untuk mencari pekerjaan, perkhidmatan kemudahan pekerjaan disediakan melalui Careers Connect dan Career Matching Provider oleh Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), dan Pusat Kerjaya yang dikendalikan oleh Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

“Mereka juga boleh memanfaatkan sumber SSG dan WSG seperti portal Jobs-Skills SSG, untuk mendalami tentang apakah yang kini diperlukan dan kemahiran yang memuncul, serta CareersFinder, sebuah wadah bersepadu untuk mencari kerja dan latihan,” tambahnya.

Bagi menyokong siswazah PEI dengan lebih baik, Dr Wan Rizal menggesa masyarakat agar memainkan peranan mereka untuk menggalak belia menimba pengalaman dunia di samping meraih kelayakan akademik.

Menjawab pertanyaan BH, Timbalan Pengarah Jabatan, Future Ready Mendaki, Cik Atiqah Halim, berkata hampir 500 pemohon menerima pinjaman pendidikan yang ditadbir oleh Mendaki pada 2024.

Daripada jumlah itu, sekitar 300 dalam kalangan mereka adalah pelajar PEI.

Beliau mengetengahkan pelbagai program oleh Mendaki untuk menyokong pelajar, termasuk siswazah baru, membuat keputusan yang lebih termaklum mengenai pendidikan dan aspirasi kerjaya mereka.

Antara lain ia termasuk Siri Perjalanan Pembelajaran Mendaki Future of…, Sesi Rangkaian YOUth@M³ dan pelbagai sesi penglibatan yang dianjurkan oleh rangkaian karyawan Mendaki.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dengan karyawan, mendapatkan pembimbing dan mempelajari lebih lanjut mengenai pelbagai kemahiran serta laluan pendidikan dan kerjaya dalam sektor pertumbuhan.

“Selepas mendapat keputusan sekolah mereka, pelajar yang ingin melanjutkan pembelajaran di universiti berautonomi boleh memohon biasiswa, dermasiswa dan Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS),” kata Cik Atiqah.

Timbalan Pengarah, Jabatan ‘Future Ready’ Mendaki, Cik Atiqah Halim.
Timbalan Pengarah, Jabatan ‘Future Ready’ Mendaki, Cik Atiqah Halim. - Foto MENDAKI

Pada 9 Julai, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, berkata pemerintah sedang memerhati situasi pekerjaan siswazah baru dengan teliti.

Cik Gan menekankan bahawa institut pengajian tinggi juga sedang meningkatkan usaha untuk membantu siswazah yang menghadapi masalah dalam pencarian pekerjaan.

Ia termasuk menyediakan bimbingan kerjaya, peluang menjalin rangkaian, kursus peningkatan kemahiran, dan menganjurkan pameran kerjaya.

Penolong Setiausaha Agung NTUC yang juga AP SMC Pioneer, Encik Patrick Tay, yang pernah bercakap mengenai isu pengangguran siswazah, berkata bahawa institut pengajian tinggi boleh melakukan lebih banyak, melangkaui kemas kini kurikulum biasa.

“Apa yang jelas ialah ketidakpadanan yang semakin meningkat antara kemahiran siswazah, jangkaan pekerjaan dan pengalaman, dengan keperluan pasaran yang berkembang, menjadi lebih ketara,” kata Encik Tay.

Isu ketidakpadanan itu mesti ditangani segera, tambahnya.

Pada 10 Julai, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menggesa siswazah baru dan ibu bapa supaya “kekal tenang” di tengah-tengah kebimbangan yang meningkat mengenai pasaran pekerjaan yang mencabar, sambil merujuk kepada data awal yang menunjukkan prospek lebih baik bagi lulusan kohort 2025.

“Terdapat lebih banyak pekerjaan kosong daripada bilangan pencari kerja. Jadi jumlah ini seolah-olah menunjukkan bahawa terdapat pekerjaan yang tersedia, tetapi terdapat ketidaksepadanan antara keperluan majikan berbanding kemahiran yang dimiliki pencari kerja. Saya tidak fikir ini adalah persoalan sama ada ia universiti berautonomi atau PEI (Institusi Pendidikan Swasta) tetapi soalan mengenai set kemahiran yang diperlukan oleh majikan, jenis kursus yang ditawarkan oleh universiti, dan matlamat pelajar yang mengambil kursus tersebut.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha.

“Memang benar bahawa sesetengah majikan masih menggunakan jenama universiti sebagai jalan mudah, terutamanya dalam pasaran pekerja yang ketat. Tetapi akhirnya, daya pemikiran dan sama ada set kemahiran itu masih relevan adalah lebih penting. Pencari kerja yang boleh membentangkan portfolio yang kukuh, latihan amali yang relevan, dan sikap yang baik akan tetap menyerlah, tidak kira sekolah. Itulah sebabnya PEI (Institusi Pendidikan Swasta) perlu terus meningkatkan hubungan industri dan menawarkan peluang pembelajaran berasaskan kerja.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

“Bagi siswazah PEI (Institusi Pendidikan Swasta) yang memerlukan bantuan untuk mencari pekerjaan, perkhidmatan kemudahan pekerjaan disediakan melalui Careers Connect dan Career Matching Provider oleh Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), dan Pusat Kerjaya yang dikendalikan oleh Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). Mereka juga boleh memanfaatkan sumber SSG dan WSG seperti portal Jobs-Skills SSG untuk mendalami tentang apakah yang kini diperlukan dan kemahiran yang memuncul, serta CareersFinder, sebuah wadah bersepadu untuk mencari kerja dan latihan.”
Jurucakap SkillsFuture Singapura (SSG).

“Bagi siswazah baru untuk menonjol dalam landskap pengambilan pekerja yang sesak dan berdaya saing, mereka perlu merapatkan jurang kemahiran atau pengalaman. Pelajar mesti memiliki kemajuan mereka sendiri. Mereka harus berusaha ke arah memupuk pemahaman yang mendalam tentang kekuatan dan kelemahan dalam set kemahiran mereka, keperluan majikan yang mereka ingini, dan masa depan industri pilihan mereka. Ini akan membantu mereka berjaya.”
Jurucakap Jobstreet by Seek, Singapore.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg