Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Memberi tanpa mengharap: Kisah pengorbanan sempena Hari Raya Haji

Jun 8, 2025 | 5:30 AM
Cik Alawiyah Jaffar, Anugerah Ibu Tabah Piala Puan Halimah Yacob, persatuan Ain
Cik Alawiyah Jaffar, diiktiraf melalui Anugerah Ibu Tabah Piala Puan Halimah Yacob 2025 oleh Persatuan Ain, sebuah penghargaan buat ibu luar biasa yang tidak pernah berhenti berjuang demi anak-anaknya. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Pengorbanan kecil yang dicurahkan dalam kehidupan harian seringkali terlepas pandang.

Tidak kira dari segi masa, tenaga mahupun kasih sayang, pengorbanan merupakan asas yang menjadi penguat hubungan sesama insan.

Seorang ibu yang tabah membesarkan anak-anaknya walaupun sedang bertarung dengan penyakit yang jarang berlaku, sepasang suami isteri kurang upaya yang saling menyokong dan menempuh hidup dan cabaran bersama, serta seorang peguam masyarakat yang gigih memperjuangkan hak pekerja migran – kesemua mereka memaparkan kisah pengorbanan dan keikhlasan yang menyentuh hati sempena sambutan Hari Raya Haji yang penuh makna ini.

Cik Alawiyah Jaffar, 52 tahun, menjadi contoh ibu yang tidak kenal erti putus asa demi anak-anak sedangkan dirinya sendiri dilanda ujian.

Dalam tempoh gelap kehidupannya, beliau didiagnos Behcet’s Disease – penyakit keradangan yang menjejas pelbagai anggota tubuh seperti kulit, mulut dan sendi, bergantung pada individu.

Beliau kemudian ditimpa penyakit barah darah (leukaemia) ketika melalui proses perceraian yang memaksanya membesarkan tiga anak kecil seorang diri.

Walaupun dirinya bak “sotong” yang perlu menguruskan pelbagai perkara pada satu masa, pengorbanannya buat anak-anak beliau tidak sia-sia belaka.

Ketiga-tiga anaknya berjaya dalam kehidupan – yang sulung meraih ijazah diploma, anak kedua bekerja sebagai jurutera, dan anak bongsunya kini mahasiswi Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Pasangan kurang upaya, Cik Roszana Ali, 33 tahun, dan Encik Herman Abdullah, 43 tahun, pula berkorban demi satu sama lain sudah menjadi sebahagian penting rumah tangga mereka.

Selain menangani keadaan diri mereka yang masing-masing mengalami palsi serebrum dan separuh buta, mereka juga mencurahkan kasih sayang dan saling menjaga satu sama lain.

Walau pada zahirnya tampak kurang upaya, pasangan ini menemui kesempurnaan dalam diri masing-masing dan menonjolkan sifat tabah dalam mengharungi liku-liku hidup sebagai insan istimewa.

Selain mereka, ada juga berkorban masa dan tenaga dalam pekerjaan demi memperjuangkan golongan yang terpinggir.

Cik Nur Shukrina Salam, 28 tahun, seorang peguam masyarakat di Pro Bono SG, tidak sekadar memberikan nasihat perundangan, tetapi juga mengembalikan maruah, memberi ketenangan dan harapan kepada pekerja migran.

Didorong oleh kepercayaan dan prinsip keadilan sosial, Cik Shukrina turut aktif memperjuangkan hak wanita Muslim dan keadilan masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg