Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenara Changi dipertingkat menerusi sebahagian pelaburan $4 bilion bagi sistem lalu lintas udara
Menara Changi dipertingkat menerusi sebahagian pelaburan $4 bilion bagi sistem lalu lintas udara
Menara Changi dipertingkat menerusi sebahagian pelaburan $4 bilion bagi sistem lalu lintas udara
Sekitar $4 bilion akan dilaburkan dalam tempoh 15 tahun untuk meningkatkan perkhidmatan pandu arah udara Singapura, termasuk sistem kawalan lalu lintas udara serta kerja naik taraf menara kawalan ikonik Lapangan Terbang Changi.
Pelaburan itu bertujuan memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat dan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan dunia, kata Ketua Pengarah Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Encik Han Kok Juan, pada 22 Julai.
Menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), jumlah penumpang udara dunia dijangka hampir meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 25 tahun, dengan Asia Pasifik menyumbang hampir separuh daripada pertumbuhan tersebut.
CAAS akan melaksanakan kerja naik taraf di Menara Kawalan Changi dan Pusat Kawalan Lalu Lintas Udara Singapura (SATCC) bagi menyokong pertumbuhan masa depan.
Encik Han berkata, selain meningkatkan keupayaan di darat bagi memenuhi peningkatan jumlah penumpang, Singapura juga perlu menambah keupayaan udara untuk menyediakan perkhidmatan lebih lancar, selamat dan cekap kepada para pengembara.
Beliau berkata langkah itu akan mengukuhkan kedudukan Singapura untuk merebut peluang yang ditawarkan industri penerbangan kepada negara serta syarikat berpangkalan di sini.
Walaupun menara setinggi sekitar 80 meter itu ialah mercu tanda paling dikenali di Lapangan Terbang Changi, bukan semua pengawal lalu lintas udara bertugas di situ. Sebahagian ditempatkan di SATCC berhampiran Kampung Changi bagi menguruskan pesawat ketika fasa pendakian, penerbangan jelajah dan penurunan.
Menara Changi akan diubah suai untuk menempatkan sistem baharu, termasuk pemasangan fasad baharu dan pembinaan bangunan tambahan antara menara itu dengan Jewel Changi Airport.
Kerja-kerja pengubahsuaian menara, termasuk pemasangan fasad baharu dan pembinaan bangunan tambahan, akan bermula pada November dan dijangka siap menjelang akhir 2028.
Semasa itu, menara itu akan dilitupi perancah dan jaringan pelindung.
Menurut Encik Han, menara itu kali terakhir dipertingkatkan pada 1997 melalui pemasangan fasad baharu.
Beliau berkata, kerja baik pulih diperlukan selepas beberapa bahagian fasad tertanggal dan jatuh sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan.
CAAS turut membina kompleks SATCC baharu secara berperingkat bagi menempatkan sistem pandu udara generasi baharu.
Sementara itu, CAAS sedang membina kompleks SATCC baharu di tapak semasa bagi menempatkan sistem pandu arah udara generasi baharu tanpa menjejaskan operasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
Projek itu dilaksanakan secara berperingkat. Fasa pertama melibatkan pencawang elektrik baharu dan tempat letak kereta bertingkat telah siap, manakala fasa kedua yang bermula pada 2026 dijadual siap menjelang akhir 2028 dengan penambahan bilik operasi, peralatan, penyelenggaraan serta kemudahan kakitangan yang dipertingkatkan.
Kerja naik taraf itu akan menyokong operasi tiga landasan Lapangan Terbang Changi menjelang penghujung dekad ini bagi meningkatkan keupayaan serta kecekapan lalu lintas udara.
Memperluas tenaga kerja, menaik taraf sistem
Pembukaan Terminal 5 (T5) pada pertengahan 2030-an akan meningkatkan keupayaan tahunan lapangan terbang daripada 90 juta kepada 140 juta penumpang.
Bagi menyokong pertumbuhan itu, CAAS akan menambah jumlah pengawal lalu lintas udara daripada sekitar 500 kepada 700 orang menjelang pertengahan 2030-an.
Kini, pengawal lalu lintas udara menguruskan sekitar 2,000 penerbangan sehari, termasuk kira-kira 1,000 penerbangan yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Changi.
Changi merekodkan 374,000 pergerakan pesawat pada 2025, bersamaan purata satu pesawat berlepas atau mendarat setiap 84 saat.
Bagi menarik dan melahirkan lebih ramai warga Singapura dalam bidang itu, CAAS akan memperkenalkan beberapa usaha, termasuk pengkhususan kawalan lalu lintas udara di sebuah universiti tempatan serta program pengurusan bersekutu untuk graduan baharu.
CAAS juga akan menggantikan atau menaik taraf lebih 30 sistem pandu arah udara dalam tempoh 15 tahun, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengawal membuat keputusan dengan lebih pantas.
Encik Han berkata, pengawal lalu lintas udara perlu disokong oleh sistem dan prasarana yang lebih baik.
Beliau berkata, penggunaan data akan membantu pengawal menguruskan permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat dengan lebih pantas.
Antara projek utama ialah sistem pengurusan lalu lintas udara generasi baharu, sistem menara digital bersepadu, alat pengurusan trafik berpusatkan maklumat serta platform terbuka untuk perkongsian data panduan arah udara.
Salah satu naik taraf utama ialah sistem pengurusan lalu lintas udara generasi baharu yang akan menggantikan sistem sedia ada bagi menguruskan pesawat di Lapangan Terbang Changi dan Seletar serta penerbangan yang melalui ruang udara di bawah perkhidmatan lalu lintas udara Singapura.
Sistem itu, yang menghampiri penghujung jangka hayat operasinya, mampu mengendalikan sehingga sejuta pergerakan pesawat setahun dan menjejaki sehingga 4,000 pesawat secara serentak dalam masa nyata, dua kali ganda keupayaan semasa. Kerja-kerja telah bermula dan dijadual siap menjelang 2030.
CAAS turut memperkenalkan sistem menara digital bersepadu yang menggunakan kamera dan penderia beresolusi tinggi untuk memaparkan imej lapangan terbang serta maklumat operasi kritikal secara masa nyata pada satu platform, sekali gus meningkatkan kesedaran situasi, keupayaan membuat keputusan dan operasi melangkaui kekangan fizikal menara kawalan.
Selain itu, CAAS akan memperkenalkan alat pengurusan lalu lintas udara berpusatkan maklumat yang menggunakan data dan analitik ramalan untuk mengenal pasti serta menguruskan kemungkinan kesesakan lebih awal.
Sistem itu juga membolehkan pertukaran digital pelan penerbangan dan maklumat aeronautik dengan syarikat penerbangan serta penyedia perkhidmatan pandu arah udara serantau bagi memperbaik aliran lalu lintas dan penggunaan ruang udara. Kerja-kerja bermula pada 2027 dan dijadual siap menjelang 2030.
CAAS turut membangunkan platform terbuka bagi perkhidmatan pandu arah udara untuk membolehkan perkongsian data pandu arah udara, termasuk pelan penerbangan dan maklumat aeronautik, dalam CAAS serta dengan rakan luar.
Platform itu akan mengukuhkan kerjasama serantau dan menyokong pengurusan lalu lintas udara yang lebih maju. Kerja-kerja telah bermula dan dijadual siap menjelang 2028.
Daripada pelaburan $4 bilion itu, $3.2 bilion diperuntukkan bagi sistem lalu lintas udara baru dan prasarana, $500 juta untuk mengambil serta melatih 200 lagi pengawal lalu lintas udara, manakala baki $300 juta bagi pembangunan teknologi baharu.
Selain menaik taraf sistem, CAAS turut menggunakan AI sebagai “pembantu digital” untuk membantu pengawal menjangka keadaan trafik dan cuaca serta mengurangkan beban kerja.
Pada penghujung 2026, CAAS akan memulakan ujian alat AI yang mengesan kesilapan perhubungan antara juruterbang dan pengawal lalu lintas udara bagi mengelakkan kejadian keselamatan.
CAAS juga bekerjasama dengan negara serantau membangunkan alat AI bagi meramalkan kesesakan lalu lintas udara.
Sejak September 2025, Singapura, China dan Hong Kong mengadakan panggilan operasi harian, yang kini turut disertai Korea Selatan, Thailand dan Vietnam bagi memperkukuh pengurusan lalu lintas udara serantau.