Beberapa masjid di sini yang mengendalikan ibadah korban secara langsung pada 7 Jun menerima kunjungan tetamu khas yang turun padang untuk sama-sama meraikan Aidiladha bersama jemaah.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, telah berkunjung ke Masjid Omar Salmah.
Masjid itu merupakan antara empat masjid di Singapura yang mengendalikan korban secara langsung.
Beliau turut disertai AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.
“Saya berbesar hati dapat menyaksikan proses (ibadah korban) ini dan bercakap dengan relawan yang terlibat dalam amalan penting ini.
“Saya juga gembira melihat masyarakat bersatu dengan semangat perkongsian dan perayaan,” ujar Encik Chee.
Di sebuah lagi masjid iaitu di Masjid Petempatan Melayu Sembawang pula, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga AP GRC Sembawang, meluangkan masa bersama jemaah dan relawan di masjid itu.
Dalam kunjungannya ke masjid itu bersama seorang lagi AP GRC Sembawang, Encik Ng Shi Xuan, Encik Ong berkata beliau dapat menyaksikan proses menyembelih, membersihkan, membungkus dan memasak daging korban itu.
“Ramai relawan, baik yang muda mahupun yang tua, menyingsing lengan. Seorang relawan yang berpengalaman menerangkan kepada Encik Ng dan saya tentang ciri-ciri pisau yang baik.
“Seorang lagi mengajar saya cara mengacau nasi beriani. Ada juga seorang relawan muda yang masih bersekolah, yang menyertai buat pertama kalinya untuk membantu dengan proses penyediaan,” kata Encik Ong yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya Haji kepada masyarakat Islam menerusi catatan di laman Facebook beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg