Topik diikuti
Pergi ke BHkuMFA: S’pura ikrar hampir $128 ribu bagi misi kemanusiaan di Lebanon
MFA: S’pura ikrar hampir $128 ribu bagi misi kemanusiaan di Lebanon
Sumbangan termasuk bekalan perubatan, makanan, dan keperluan kebersihan orang awam
MFA: S’pura ikrar hampir $128 ribu bagi misi kemanusiaan di Lebanon
Bagi menyokong usaha antarabangsa yang diterajui oleh Kerajaan Hashemite Jordan, Singapura mengikrarkan sumbangan sebanyak AS$100,000 ($127,720) kepada Inisiatif Bantuan Kemanusiaan Jordan untuk Lebanon, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan pada 23 April.
Sumbangan itu akan disalurkan bagi penyediaan bekalan perubatan, bantuan makanan, tempat perlindungan, serta keperluan kebersihan bagi orang awam di Lebanon.
“Kami menggesa semua pihak untuk mematuhi gencatan senjata yang sedia ada di Lebanon, terlibat dalam rundingan demi penyelesaian konflik yang berkekalan, serta mengutamakan perlindungan orang awam dan infrastruktur awam,” kata MFA.
Sumbangan itu hadir bagi membantu situasi kemanusiaan di Lebanon, dek konflik antara Israel dengan Hezbollah.
Konflik itu telah berlarutan lebih enam minggu, dengan sekurang-kurangnya 2,454 orang terbunuh dan kira-kira satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lebanon.
Walaupun gencatan senjata sedang berkuat kuasa, serangan masih berlaku di lapangan dengan serangan Israel pada 22 April dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di Lebanon.
Israel menyatakan bahawa di bawah syarat gencatan senjata, pihaknya berhak bertindak terhadap “serangan yang dirancang, hampir berlaku atau sedang berlangsung”.
Gencatan senjata selama 10 hari sebelum ini diumumkan oleh Amerika Syarikat selepas rundingan pertama, dan dijadualkan tamat pada 26 April.
Walau demikian, Israel dan Lebanon memulakan pusingan baharu rundingan di Washington pada 23 April, dengan Beirut dijangka memohon lanjutan gencatan senjata selama sebulan ketika tempoh perjanjian sedia ada hampir tamat.
Hezbollah yang disokong Iran tidak terlibat dalam rundingan dan menentang proses tersebut.
Kumpulan itu sebelum ini melancarkan serangan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, oleh AS dan Israel. Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat di selatan Lebanon.
