Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 50 CC, pusat sukan siar perlawanan Piala Dunia
Lebih 50 CC, pusat sukan siar perlawanan Piala Dunia
Lebih 50 CC, pusat sukan siar perlawanan Piala Dunia
Peminat bola sepak boleh menyaksikan Piala Dunia 2026 secara langsung di lebih 50 kelab masyarakat (CC), lima pusat sukan ActiveSG dan The Kallang dari 12 Jun hingga 20 Julai.
Persatuan Rakyat (PA), Majlis Sukan Singapura (SportSG) dan The Kallang Group mengumumkan pada 5 Jun, senarai lokasi yang akan menayangkan siaran langsung perlawanan Piala Dunia terpilih, di bawah liputan Mediacorp.
Ia akan ditayangkan di pelbagai lokasi agar “keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga dapat berkumpul bersama untuk bersorak, merapatkan hubungan dan meraikan sukan bola sepak yang indah ini sebagai sebuah masyarakat,” ujar kenyataan itu.
PA akan memulakan tayangan masyarakat menerusi perlawanan pembukaan antara Mexico dengan Afrika Selatan pada 12 Jun, 3 pagi (waktu Singapura).
Manakala SportSG pula akan memulakan tayangannya bagi perlawanan Korea Selatan menentang Republik Czech pada 12 Jun, 10 pagi.
The Kallang akan menayangkan empat perlawanan terakhir, bermula dengan perlawanan separuh akhir pertama pada 15 Julai, 3 pagi, di Kallang Wave Mall.
Peminat juga boleh menantikan pelbagai praperlawanan, permainan interaktif bertema bola sepak, cabutan bertuah dan hiasan perayaan di lokasi berkenaan.
Antara lokasi di bahagian utara Singapura yang menawarkan tayangan tersebut ialah CC Woodlands, CC Nee Soon South dan Pusat Sukan Bukit Canberra.
Manakala di bahagian selatan pula, antara lokasinya ialah di CC Bukit Timah, CC Jalan Besar dan CC MacPherson.
Our Tampines Hub (OTH), CC Siglap dan Pusat Sukan Pasir Ris merupakan antara lokasi di kawasan timur yang menawarkan tayangan langsung perlawanan tersebut.
Sementara itu, bagi kawasan barat pula, tayangan akan disediakan di beberapa lokasi termasuk CC Boon Lay, CC Keat Hong dan Pusat Sukan Choa Chu Kang.
Peminat boleh melayari laman web, go.gov.sg/web-pa-wc2026 untuk maklumat lanjut mengenai tayangan di CC dan Hab Bersepadu, manakala bagi butiran mengenai tayangan di lima Pusat Sukan ActiveSG, boleh diperolehi di go.gov.sg/worldcup26-sportsg.
Sementara itu, restoran makanan segera, McDonald’s Singapura, tidak akan menayangkan perlawanan langsung Piala Dunia di restorannya pada 2026, seperti yang disahkan oleh rangkaian restoran itu dalam responsnya kepada pertanyaan The Straits Times (ST), di media sosial.
Rangkaian restoran itu telah menayangkan perlawanan langsung Piala Dunia di cawangannya seawal 2006.
Semasa edisi 2022, ia telah menayangkan perlawanan langsung di 19 restorannya di Singapura.
Bagi edisi 2018 yang diadakan di Russia, perlawanan tersebut telah ditayangkan di 22 cawangan McDonald’s di sini, manakala jumlah tayangan ialah sebanyak 41 cawangan pada 2014; 34 cawangan pada 2010; dan 28 cawangan pada 2006.
Untuk edisi kali ini, McDonald’s hanya akan menganjurkan tontonan beramai-ramai bagi perlawanan akhir di cawangan Marine Cove pada 20 Julai, dari 2 pagi hingga 6 pagi.
Tiket boleh ditebus melalui aplikasi McDonald’s menggunakan 5,000 mata ganjaran, MyMcDonald’s Rewards, dengan setiap penebusan hanya untuk sehingga lima orang.
Bufet Chicken McNuggets dan kentang goreng tanpa had juga akan disediakan sepanjang acara tersebut.
Pada 3 Jun, penyiar nasional Mediacorp telah mendedahkan senarai 28 perlawanan yang akan disiarkan secara percuma bagi Piala Dunia ini.
Ia termasuk dua perlawanan daripada kesemua 12 kumpulan serta kedua-dua perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir.
