Topik diikuti
Pergi ke BHkuMindef akan ambil sukarelawan dalam persembahan kesenian, termasuk penari, pengacara, jurutera bunyi
Mindef akan ambil sukarelawan dalam persembahan kesenian, termasuk penari, pengacara, jurutera bunyi
Mindef akan ambil sukarelawan dalam persembahan kesenian, termasuk penari, pengacara, jurutera bunyi
Mereka yang mempunyai kemahiran dan minat dalam seni persembahan kini boleh menjadi sukarelawan bagi acara anjuran Kementerian Pertahanan (Mindef), seperti Perbarisan Hari Kebangsaan, menerusi tiga skim baharu.
Skim-skim yang dilancarkan pada 25 Julai itu akan melibatkan penari, pemuzik, penyanyi dan pengacara majlis, serta mereka yang mempunyai kemahiran teknikal seperti kejuruteraan bunyi atau pengendalian kamera, menurut kenyataan Mindef.
Skim ketiga pula dikhususkan untuk sukarelawan tanpa kemahiran teknikal yang ingin menyokong acara-acara tersebut melalui cara lain.
Langkah ini diambil ketika Mindef memperluas cara bagi rakyat Singapura dan penduduk tetap untuk menyumbang kepada pertahanan melalui peranan bukan ketenteraan di bawah Rangkaian Sukarelawan Pertahanan Singapura (SG Defence) yang baharu.
Menurut Mindef, sekitar 300 orang telah memohon untuk menyertai SG Defence sejak ia dilancarkan pada Mei – menghampiri sasaran awal sebanyak 400 sukarelawan baharu.
Rangkaian ini menyatukan pelbagai skim sukarelawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), termasuk Kor Sukarelawan SAF (SAFVC), dan menyasarkan untuk menggandakan jumlah sukarelawan ketenteraan dan awam sedia ada – yang kini seramai kira-kira 1,500 orang – dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Sukarelawan seni persembahan yang baharu ini akan terlibat dalam penerbitan berkaitan pertahanan berdasarkan projek, kata Timbalan Pengarah Eksekutif So Drama! Entertainment (SDE), Cik Gail Wan.
SDE ialah sebuah syarikat media milik SAFRA yang akan bekerjasama dengan Mindef bagi skim-skim sukarelawan baharu tersebut.
Ini termasuk mengendalikan acara yang melibatkan kehadiran kenamaan asing, seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean, kata Cik Wan, sambil menambah bahawa SDE sedang meneliti jenis peranan lain yang boleh disertai oleh para sukarelawan.
Pengarah Pejabat Penglibatan dan Sukarelawan di Nexus, Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Kanan Psalm Lew, berkata pelancaran SG Defence telah meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelbagai cara mereka boleh menyumbang kepada pertahanan, selain daripada peranan ketenteraan.
Nexus, yang menyelia Pertahanan Meutlak dan Pendidikan Nasional, sedang menyelaraskan rangkaian SG Defence.
SLTC Lew menyatakan rasa gembira dengan tahap minat yang ditunjukkan, yang setakat ini terbahagi antara peranan sukarelawan awam dan ketenteraan.
Salah seorang sukarelawan awam yang memulakan khidmatnya tahun ini ialah Cik Cindy Chng, 37 tahun, seorang Duta Pendidikan Nasional.
Dalam kerjayanya, Cik Chng memegang jawatan sebagai pengarah bersekutu dan ketua perkongsian strategik di syarikat farmaseutikal MSD Singapura, Malaysia dan Brunei.
Sebagai sukarelawan, beliau mengunjungi sekolah-sekolah untuk menyampaikan ceramah mengenai Pertahanan Menyeluruh.
Beliau berkata pada mulanya beliau tidak mempertimbangkan untuk menjadi sukarelawan bagi Mindef kerana berasa dirinya tidak sesuai dengan bidang ketenteraan. Namun, beliau menyifatkan pengalaman menjadi sukarelawan dalam kapasiti ini sebagai sesuatu yang sangat bermakna.
Ujar beliau:
“Apabila kita memikirkan tentang pertahanan mutlak, ia mungkin kelihatan sebagai satu konsep yang sangat abstrak atau besar. Namun, saya berpendapat bahawa menerusi peranan saya sebagai Duta Pendidikan Nasional, saya dapat menjadikannya sesuatu yang lebih dekat dan bermakna secara peribadi.”