Topik diikuti
Pergi ke BHkuRSN lancar Kapal Tempur Pelbagai Peranan kedua
RSN lancar Kapal Tempur Pelbagai Peranan kedua
Kapal ‘Valour’ dilancarkan sembilan bulan selepas kapal yang pertama
RSN lancar Kapal Tempur Pelbagai Peranan kedua
Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) telah melancarkan Kapal Tempur Pelbagai Peranan (MRCV) kedua, Valour, pada 23 Julai hanya sembilan bulan selepas kapal pertama dilancarkan pada Oktober 2025.
Valour dan kapal pertama, Victory adalah daripada enam buah MRCV yang akan dilancarkan dan merupakan kelas kapal tempur yang baru.
Bercakap semasa majlis pelancarannya di Limbungan Benoi, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata perancangan jauh Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam membangunkan keupayaan tentera laut sejak beberapa dekad lalu kini jelas terbukti penting berdasarkan situasi antarabangsa semasa.
Beliau menjelaskan laluan perdagangan maritim kini berdepan tekanan yang hebat, merujuk kepada keadaan di Selat Hormuz yang telah ditutup akibat perang Iran.
“Harga elektrik meningkat, harga petrol juga meningkat.
“Menjadi keutamaan asas negara bagi kita memastikan laluan maritim kita kekal selamat, terbuka dan bebas. Malah, ia merupakan soal kelangsungan hidup,” kata beliau.
Beliau turut berkata kapal perang baharu itu akan memperkukuh keupayaan tentera laut untuk melaksanakan misi tersebut, dengan jarak operasi kira-kira 7,000 batu nautika dan mampu dikerahkan bagi tempoh melebihi 21 hari.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
MRCV direka bentuk untuk berfungsi sebagai ‘kapal induk’ kepada sistem tanpa pemandu di udara, di permukaan dan di bawah permukaan laut bagi melaksanakan operasi ketenteraan laut.
Ia juga akan dilengkapi dengan penderia canggih, sistem persenjataan moden serta keupayaan rangkaian yang dipertingkat.
Hal tersebut membolehkan kapal tersebut menangani pelbagai ancaman dan berfungsi sebagai kapal perintah.
Direka dengan sistem automasi canggih, MRCV mampu beroperasi dengan selamat dan berkesan menggunakan jumlah kru yang lebih kecil berbanding kapal perang lain yang mempunyai saiz dan keupayaan yang setara.
Encik Shanmugam turut menegaskan, tentera laut yang kukuh dan berkeupayaan tinggi amat penting bagi melindungi laluan komunikasi maritim serta kedaulatan Singapura.
“Menjadi keutamaan asas negara bagi kita memastikan laluan maritim kita kekal selamat, terbuka dan bebas.
“Malah, ia merupakan soal kelangsungan hidup. MRCV memperkukuh keupayaan tentera laut kita untuk membantu melaksanakan misi ini,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Eksekutif ST Engineering, Encik Vincent Chong, berkata pasukannya telah menimba pengalaman daripada pembinaan kapal pertama, Victory, dan menerapkan pengajaran tersebut untuk menambah baik penghantaran kapal pada masa hadapan.
“Kami berjaya membina dan melancarkan MRCV Valour tiga bulan lebih awal berbanding MRCV Victory,” kata Encik Chong.