Seorang pegawai pemerintah membuat panggilan telefon kepada anda. Anda cemas; apa yang anda sudah lakukan?
Perbualan itu menimbulkan kebimbangan. Transaksi yang mencurigakan ini telah dibuat dengan akaun bank anda untuk kegiatan jenayah.
Apa yang berlaku seterusnya merunsingkan; Pemanggil ialah penipu yang menyamar sebagai pegawai polis tempatan atau asing.
Anda telah terlibat dalam kegiatan jenayah, dakwa mereka. Anda disuruh bekerjasama bagi menyelesaikan kes itu.
Bagaimana mahu mengenal pasti penipuan penyamaran sebagai pegawai rasmi pemerintah?
“Tiada pegawai pemerintah akan meminta anda memindahkan wang melalui panggilan telefon, melalui mesej atau platform media sosial,” kata Superintenden Polis Rosie Ann McIntyre, penolong pengarah Jabatan Operasi Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, Pasukan Polis Singapura (SPF).
“Tiada sesiapa yang sepatutnya meminta butiran perbankan peribadi anda dan kata laluan sekali sahaja (OTP). Jika anda menerima permintaan sedemikian, kemungkinan besar ia satu penipuan,” tambahnya.
Baru-baru ini, tiga kes menunjukkan bagaimana mangsa ditipu oleh seseorang yang menyamar sebagai pegawai pemerintah.
* Seorang wanita berusia 19 tahun menerima panggilan daripada penipu yang menyamar sebagai pegawai daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan dan polis China pada 31 Oktober 2023.
Beliau diperdaya bahawa beliau terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram di China. Mangsa diberitahu supaya memindahkan lebih $230,000 ke dlam akaun bank si penipu, alasannya sebagai wang jaminan dan untuk menyelesaikan kes.
Beliau kemudian diminta merakam video dirinya berpura-pura ditangkap bagi membantu meningkatkan kesedaran tentang penipuan. Video itu kemudian digunakan oleh penipu untuk mengancam ibu bapa beliau, yang berpangkalan di China, dan untuk menuntut wang tebusan.
Dua suspek lelaki berusia 21 tahun dan 25 tahun telah ditahan SPF pada Januari lalu.
* Pada November 2023, seorang wanita berusia 79 tahun diarahkan oleh penipu, yang menyamar sebagai pegawai SPF, agar menjual pelaburan unit amanahnya dan memindahkan wang pelaburan tersebut ke dalam akaun bank pihak ketiga. Beliau diberitahu bahawa wang itu diperlukan bagi membantu siasatan.
Pasukan antipenipuan bank mangsa telah bekerjasama dengan Pusat Anti-Penipuan (ASC), SPF untuk mengesan dana dan mengenal pasti serta membekukan akaun bank si penipu. Pasukan ini telah menghalang kerugian lebih $260,000.
* Seorang penipu menyamar sebagai pegawai polis China menemani seorang mangsa lelaki, 82 tahun, ke bank beliau pada 9 Mac untuk mendapatkan perintah juruwang (cashier’s order) sebanyak $1.2 juta bagi transaksi penipuan.
Cubaan itu telah dipintas oleh kakitangan bank mangsa dan ASC. Suspek berusia 20 tahun itu telah ditahan.
Berhati-hati dengan penipuan sedemikian, kata Superintenden McIntyre.
“Agensi pemerintah undang-undang luar negara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan operasi di Singapura, menangkap sesiapa atau meminta orang ramai membantu dalam sebarang bentuk siasatan tanpa kelulusan pemerintah Singapura.
“Jika pegawai pemerintah undang-undang di luar negara mengarahkan anda melakukan sesuatu di Singapura dari luar negara, letak dengan segera panggilan tersebut dan semak dahulu dengan SPF.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg