Topik diikuti
Pergi ke BHkuMOH, HSA perketat langkah terhadap pesalah etomidate
MOH, HSA perketat langkah terhadap pesalah etomidate
Pesalah berulang yang menggunakan vape etomidate kini akan melalui tempoh pemprosesan yang “dipendekkan dengan ketara” sebelum diletakkan di bawah pengawasan atau dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC).
Ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah lebih tegas yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa kesihatan Singapura sejak 1 Oktober.
Daripada 1,544 orang yang ditangkap kerana menggunakan vape yang mengandungi etomidate antara 1 September 2025 dengan 30 September 2026, seramai 367 orang mengulangi kesalahan tersebut.
Jumlah itu kira-kira satu daripada lima pesalah, menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 19 November.
Sebahagiannya ditangkap sekurang-kurangnya tiga kali.
Dalam tempoh sama, 67 pesalah berulang berusia 16 tahun dan ke atas dihantar ke DRC.
Daripada jumlah itu, 27 telah dibebaskan dan kini menjalani pengawasan yang mewajibkan ujian air kencing atau rambut secara berkala.
“Kesalahan menghisap vape mengandungi etomidate terus membimbangkan meskipun penguatkuasaan dipertingkat dan hukuman diperberat sejak 1 September 2025,” menurut pihak berkuasa.
Sehubungan itu, tindakan lebih pantas dan tegas dilaksanakan sejak 1 Oktober 2026, kata MOH dan HSA.
Langkah tersebut termasuk memperbanyak ujian mengejut bagi mengesan penggunaan etomidate atau bahan psikoaktif lain serta mengenal pasti pesalah berulang lebih awal.
Pesalah berusia 16 tahun dan ke atas yang enggan bekerjasama atau mengulangi kesalahan semasa pemulihan boleh dikenakan pengawasan lebih ketat atau dihantar ke DRC.
MOH dan HSA turut bekerjasama dengan Institut Kesihatan Mental (IMH) memperkenalkan program pemulihan menyeluruh selama 24 minggu bagi pesalah berulang bawah 16 tahun.
Pesalah muda diwajibkan melengkapkan program itu di IMH.
Mereka yang terus mengulangi kesalahan akan didakwa di Mahkamah Belia dan mungkin ditempatkan di rumah pemulihan remaja lelaki atau perempuan.
Tempoh pengendalian untuk pengawasan atau kemasukan ke DRC turut dipendekkan dengan ketara.
Pesalah yang dihantar ke DRC kali kedua wajib menjalani tempoh pemulihan dua kali lebih lama.
Antara 1 Julai dengan 30 September, seramai 2,504 orang ditangkap dan dihukum kerana memiliki atau menggunakan vape.
Daripada jumlah itu, 580 orang ditangkap kerana menggunakan vape mengandungi etomidate, meningkat 27 peratus berbanding 457 orang pada suku sebelumnya.
Pesalah vape biasa pula berjumlah 1,924 orang, hampir tidak berubah.
Pada suku ketiga 2026, seramai 271 pesalah vape etomidate ditempatkan dalam program pemulihan, termasuk DRC.
Jumlah keseluruhan pesalah etomidate sejak 1 September 2025 meningkat kepada 785 orang.
Daripada jumlah itu, 194 pesalah telah menamatkan pemulihan.