Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Bilangan pemberhentian kerja berkurangan pada 2024

Jan 27, 2025 | 2:59 PM
Secara keseluruhan, bilangan pemberhentian kerja susut kepada 12,930 pada 2024, berbanding 14,590 pada 2023, tanpa peningkatan ketara merentas sektor.
Secara keseluruhan, bilangan pemberhentian kerja susut kepada 12,930 pada 2024, berbanding 14,590 pada 2023, tanpa peningkatan ketara merentas sektor. - Foto ST

Pemberhentian kerja meningkat pada suku terakhir 2024, tetapi 2024 masih berakhir dengan kurang pekerja yang hilang pekerjaan berbanding 2023. Lebih ramai penduduk di Singapura juga kekal bekerja.

Terdapat 3,600 pemberhentian kerja pada suku keempat 2024, meningkat berbanding 3,050 pada suku sebelumnya, menurut data pasaran buruh yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 27 Januari.

MOM berkata angka terkini itu masih selaras dengan norma untuk tahun-tahun bukan kemelesetan.

Secara keseluruhan, bilangan pemberhentian kerja susut kepada 12,930 pada 2024, berbanding 14,590 pada 2023, tanpa peningkatan ketara merentas sektor.

Penyusunan semula korporat adalah sebab utama syarikat berhentikan pekerja, lapor The Straits Times.

Untuk setahun penuh 2024, bilangan penduduk – warga Singapura dan Penduduk Tetap – yang mempunyai pekerjaan meningkat, tidak seperti pada 2023 apabila terdapat penurunan bilangan pekerjaan penduduk.

Pertumbuhan dalam bilangan warga asing yang bekerja di sini dijangka menjadi perlahan “dengan ketara” dari 2023, kata kementerian itu.

Akibatnya, jumlah pertumbuhan tenaga kerja pada 2024 dijangka lebih perlahan kepada 45,500, lebih rendah berbanding peningkatan 78,800 yang dilihat pada 2023, tidak termasuk pekerja domestik asing.

MOM akan keluarkan butiran lanjut mengenai pecahan pertumbuhan pekerjaan dalam laporan yang akan dikeluarkan pada pertengahan Mac.

Pada suku keempat, sementara jumlah pekerjaan di Singapura terus berkembang, pertumbuhan tenaga kerja penduduk menjadi perlahan kepada 8,700, turun berbanding 22,300 pada suku sebelumnya tetapi lebih tinggi daripada pertumbuhan 3,900 pada suku keempat 2023.

Terdapat lebih ramai penduduk Singapura yang mempunyai pekerjaan dalam sektor berkemahiran tinggi seperti perkhidmatan karyawan, perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan kesihatan dan kemasyarakatan, manakala perdagangan runcit mengalami peningkatan dalam pekerjaan pada suku keempat disebabkan pengambilan bermusim akhir tahun.

MOM berkata peningkatan pekerja asing kekal tertumpu dalam sektor pembinaan, seperti yang dilihat pada suku-suku tahun sebelumnya.

Ini didorong terutama oleh pengambilan pekerjaan berkemahiran rendah dipegang oleh pemegang pas kerja.

MOM berkata pekerja asing dalam perkhidmatan maklumat dan komunikasi serta insurans telah menurun.

Kadar pengangguran rakyat Singapura meningkat sedikit daripada 2.7 peratus pada September 2024 kepada 2.9 peratus pada Oktober 2024. Tetapi ia kemudian kekal di paras itu pada November dan Disember.

Kadar pengangguran keseluruhan tidak berubah pada 1.9 peratus dari September hingga Disember, manakala kadar untuk penduduk ialah 2.6 peratus pada September dan 2.8 peratus dari Oktober hingga Disember.

Untuk 2024, kadar purata tahunan adalah serupa dengan 2023.

Pertumbuhan pekerjaan dijangka lebih perlahan pada 2025 disebabkan ketidaktentuan global dan turun naik pasaran, kata MOM.

Tetapi menurutnya, terdapat tanda-tanda optimis dalam tempoh terdekat.

Tinjauannya pada Disember mendapati jumlah syarikat yang menjangka mengambil lebih ramai pekerja dalam tempoh tiga bulan akan datang meningkat daripada 43 peratus pada September kepada 46 peratus pada Disember.

Ia juga berkata 32 peratus syarikat merancang menaikkan gaji, dua kali ganda daripada 16 peratus yang berkata demikian pada September.

MOM berkata majikan harus sedar akan kekangan tenaga kerja yang semakin meningkat apabila tenaga kerja penduduk semakin menua dan menyusut dalam jangka lebih panjang.

Ia juga menekankan keperluan untuk terus terbuka kepada pelaburan asing dan bakat global untuk menjana lebih banyak peluang bagi perniagaan tempatan dan pekerjaan bermutu untuk rakyat Singapura.

“Dengan kadar penyertaan tenaga kerja dalam kalangan penduduk yang sudah tinggi mengikut piawaian antarabangsa, serta pengangguran penduduk yang rendah, terdapat ruang yang terhad untuk pekerjaan penduduk terus berkembang.

“Para majikan perlu memaksimumkan potensi pekerja mereka dengan melabur dalam pembangunan modal insan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg