Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatan kosong suku ketiga berkurang; pengambilan pekerja dijangka naik akhir 2024

MOM: Terdapat lebih banyak peluang pekerjaan berbanding jumlah penganggur
Dec 9, 2024 | 3:19 PM
Pekerjaan penduduk – warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) – berkembang dengan kukuh dalam pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih tinggi.
Pekerjaan penduduk – warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) – berkembang dengan kukuh dalam pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih tinggi. - Foto ST

Pekerjaan penduduk – merujuk kepada warga Singapura dan penduduk tetap (PR) – berkembang dengan kukuh pada suku ketiga 2024 dalam sektor berkemahiran tinggi dan bergaji lebih tinggi, dan walaupun jumlah jawatan kosong menurun, masih terdapat lebih banyak peluang pekerjaan berbanding jumlah penganggur.

Jumlah jawatan kosong pada September adalah sebanyak 63,400, turun daripada 81,200 pada Jun, menurut data Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk suku ketiga 2024 yang dikeluarkan pada 9 Disember. 

Ia menunjukkan penurunan secara beransur-ansur daripada paras tertinggi 124,400 pada Mac 2022, lapor The Straits Times (ST).

Ini didorong oleh industri pembinaan, pengangkutan dan penyimpanan, serta pengilangan, yang menyaksikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran rendah diisi oleh pemegang permit kerja.

Walaupun terdapat penurunan, MOM berkata terdapat lebih banyak peluang pekerjaan berbanding penganggur.

Pada September, terdapat 1.39 jawatan kosong bagi setiap individu yang menganggur, berbanding 1.67 pada Jun.

MOM menambah bahawa permulaan perayaan hujung tahun dijangka memberi rangsangan tambahan kepada permintaan tenaga kerja.

Selepas pandemik, MOM berkata majikan dapat mengisi jawatan kosong dengan lebih baik dan lebih ramai pekerja kekal dalam pekerjaan mereka.

Ini dapat dilihat daripada penurunan kadar peletakan jawatan, daripada 1.7 peratus pada 2022 kepada 1.3 peratus pada suku ketiga 2024.

Meneruskan trend yang dilihat pada suku sebelumnya, pekerjaan penduduk meningkat dengan ketara dalam sektor berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi.

Pekerjaan penduduk meningkat sebanyak 4,000 dalam suku ketiga, berbanding penurunan sebanyak 600 pada suku kedua, didorong oleh pengambilan pekerja yang kukuh dalam sektor berorientasikan eksport seperti teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan profesional dan perkhidmatan kewangan.

Sementara itu, pekerjaan bukan penduduk, dalam kalangan pemegang Pas S dan Pas Pekerjaan (EP), meningkat sebanyak 18,200 terutama disebabkan oleh pengambilan pekerja permit kerja dalam sektor pembinaan dan pembuatan. 

Menurut MOM, biasanya pekerja dalam kalangan penduduk tidak mencukupi dalam sektor-sektor ini yang kebanyakannya melibatkan pekerjaan berkemahiran rendah, seperti buruh pembinaan.

Secara keseluruhan, jumlah pekerjaan meningkat sebanyak 22,300 dalam suku ketiga, hampir dua kali ganda daripada peningkatan 11,300 pada suku sebelumnya.

Bagi pemberhentian kerja, jumlah pekerja yang diberhentikan turun daripada 3,270 pada suku sebelumnya kepada 3,050.

MOM berkata jumlah pekerja yang bertugas dalam minggu kerja singkat atau diberhentikan buat sementara, kekal rendah. Ini menunjukkan keyakinan perniagaan yang positif secara keseluruhan.

Kadar penduduk yang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas diberhentikan meningkat daripada 55 peratus pada suku sebelumnya kepada 60.4 peratus pada September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg