MOM gesa majikan nasihat pembantu ambil langkah cegah virus Nipah
MOM gesa majikan nasihat pembantu ambil langkah cegah virus Nipah
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menggesa majikan supaya menasihati pembantu rumah warga asing mereka yang mengembara ke kawasan terjejas dengan virus Nipah agar mengambil langkah berjaga-jaga demi melindungi kesihatan.
Dalam nasihat yang dikeluarkan pada 31 Januari, MOM berkata majikan perlu menasihati pembantu mereka supaya menjauhi kelawar, babi dan individu tidak sihat, hanya mengambil makanan yang dimasak sepenuhnya serta mengamalkan kebersihan yang baik.
Mereka juga perlu mengelakkan makanan dan minuman yang berkemungkinan tercemar dengan kelawar, seperti nira kurma mentah.
Awal daripada itu, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), dalam nasihat pada 28 Januari, turut memberi amaran agar tidak memakan buah yang dijumpai di atas tanah.
Pembantu yang berasa tidak sihat semasa atau selepas perjalanan perlu segera mendapatkan rawatan perubatan, menurut MOM.
CDA berkata ia sedang memantau dengan teliti wabak virus Nipah di Bengal Barat, India, di mana dua kes jangkitan manusia telah dilaporkan.
Ini merupakan wabak virus Nipah ketujuh di India sejak 2001, kata CDA, sambil menambah kes semasa kekal terhad di Bengal Barat.
Tahap kewaspadaan di Singapura dipertingkatkan melalui langkah seperti pemantauan rapi di hospital dan jabatan kecemasan, pemeriksaan suhu di lapangan terbang bagi penerbangan dari kawasan terjejas, serta pengawasan lebih ketat terhadap pekerja migran dari Asia Selatan yang baru tiba.
Profesor Wang Linfa, pakar penyakit berjangkit di Sekolah Perubatan Duke-Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata secara keseluruhan, risiko penularan di luar kawasan dikenal pasti ketika ini adalah sangat rendah, dengan wabak terpencil berlaku hampir setiap tahun di India dan Bangladesh.
“Walaupun penularan antara manusia jarang berlaku, ia tidak mudah dan biasanya memerlukan hubungan rapat berpanjangan dengan individu dijangkiti,” katanya.

