Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Kadar pengangguran di S’pura turun secara keseluruhan pada Jun

Jul 31, 2024 | 6:01 PM
pekerjaan
Jumlah pekerjaan di Singapura meningkat sebanyak 11,300, mengatasi pertumbuhan 4,700 yang dilihat pada suku pertama 2024. - Foto ST

Keadaan pengangguran Singapura bertambah baik secara menyeluruh pada Jun 2024, menurut data awal pasaran pekerja bagi suku kedua 2024 yang dikeluarkan pada 31 Julai.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata dalam laporannya mengenai data itu bahawa kadar pengangguran rakyat Singapura turun daripada 3 peratus pada Mei 2024 kepada 2.8 peratus pada Jun 2024, lapor The Straits Times (ST).

Kadar pengangguran penduduk, yang merujuk kepada warga Singapura dan penduduk tetap, turut merosot daripada 2.9 peratus kepada 2.7 peratus dalam tempoh yang sama, manakala kadar keseluruhan turun daripada 2.1 peratus kepada 2 peratus.

Angka itu secara purata berada pada tahun bukan kemelesetan 2015 hingga 2019.

Sementara itu, bilangan penduduk yang bekerja dalam sektor pertumbuhan, yang cenderung mempunyai prospek pekerjaan dan gaji lebih baik, terus meningkat pada suku kedua 2024.

Sektor itu termasuk perkhidmatan kewangan, maklumat dan komunikasi, perkhidmatan kesihatan dan sosial, serta perkhidmatan profesional, kata MOM, tanpa memberi perangkaan.

Perangkaan mengikut sektor dan butiran lain akan diterbitkan dalam data pasaran pekerja yang dimuktamadkan hanya untuk suku tahun yang ditetapkan.

Ia akan dikeluarkan pada September.

Perangkaan itu turut menunjukkan peningkatan dalam kalangan sektor pertumbuhan diimbangi penurunan bermusim dalam bilangan penduduk yang bekerja dalam perdagangan runcit, yang membawa kepada penyusutan keseluruhan pekerjaan dalam kalangan penduduk.

MOM berkata ini kerana majikan menggajikan lebih ramai pekerja sementara pada suku keempat setiap tahun sebagai persediaan untuk perayaan akhir tahun.

“Walaupun pekerjaan penduduk menguncup sedikit, ia bukan tidak dijangka kerana pekerjaan penduduk lazimnya merosot atau mencatatkan peningkatan lebih kecil pada suku kedua,” tambahnya.

Namun, jumlah pekerjaan di Singapura meningkat 11,300, mengatasi pertumbuhan 4,700 yang dilihat pada suku pertama 2024.

Pertumbuhan lebih pantas itu didorong peningkatan dalam pekerjaan bukan penduduk, yang menyumbang kepada semua pertumbuhan tenaga kerja pada suku kedua, kata MOM.

Ia turut menambah bahawa pertumbuhan pekerjaan bukan penduduk adalah daripada pemegang permit kerja berkemahiran rendah yang bertugas dalam peranan bukan PMET (karyawan, pengurusan, eksekutif dan teknikal) dalam pembinaan dan perkilangan, yang biasanya tidak diambil oleh penduduk.

Kementerian itu juga berkata pemulihan dalam pekerjaan bukan penduduk daripada suku sebelumnya mencerminkan permintaan berterusan bagi tenaga buruh dalam ekonomi.

Ia menyatakan bahawa pekerjaan meningkat untuk kedua-dua penduduk dan bukan penduduk secara keseluruhan dalam separuh pertama 2024.

MOM juga mendapati terdapat 3,100 pemberhentian kerja pada suku kedua, setanding dengan 3,030 pada suku sebelumnya.

Pemberhentian dalam sektor perkhidmatan, sebanyak 2,200, membentuk sebahagian besar pemberhentian tersebut.

Sektor perkilangan mengurangkan 700 pekerjaan, manakala binaan mengurangkan 200 pekerja.

Tahap pemberhentian secara amnya stabil dalam kebanyakan sektor, dengan penyusunan semula perniagaan atau penstrukturan semula kekal sebagai sebab utama pemberhentian pada suku tersebut, kata kementerian itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg