Topik diikuti
Pergi ke BHkuMOM: Tiada bukti skim insentif punca kemalangan pekerja platform
MOM: Tiada bukti skim insentif punca kemalangan pekerja platform
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tidak menemui sebarang bukti bahawa kemalangan yang melibatkan pekerja platform berpunca daripada tingkah laku memandu atau menunggang yang tidak selamat akibat skim insentif, kata Pemangku Menterinya, Cik Jasmin Lau.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Parlimen daripada Encik Jackson Lam (GRC Nee Soon), yang bertanya bagaimana Kumpulan Kerja Keselamatan Pekerja Platform mengkaji kesan struktur insentif terhadap tingkah laku memandu atau menunggang yang tidak selamat.
Ini seperti bonus berasaskan masa, sasaran penghantaran, dan insentif waktu sibuk.
Dalam jawapan bertulisnya pada 6 Oktober, Cik Lau berkata di bawah Kod Amalan Diluluskan (ACOP) bagi Perkhidmatan Platform, syarikat platform tidak harus menetapkan sebarang had, penalti, atau insentif bonus yang terikat dengan penyelesaian tugasan dalam tempoh masa tertentu.
“Dalam memantau pematuhan ACOP, MOM telah menyemak kemalangan yang melibatkan pekerja platform, membuat semakan silang terhadap rekod sejarah kerja dan ganjaran pekerja platform yang disimpan oleh syarikat platform, serta memperoleh maklumat mengenai struktur insentif mereka.
“Kami tidak menemui sebarang bukti bahawa kemalangan ini berpunca daripada tingkah laku menunggang atau memandu yang tidak selamat akibat daripada struktur insentif platform,” kata beliau.
Kumpulan Kerja Keselamatan Pekerja Platform itu, yang dibentuk pada Mac 2026 dengan tujuan mengkaji dan menangani risiko kecederaan di tempat kerja yang dihadapi golongan itu, dijangka menyelesaikan tugasnya menjelang akhir 2026 dan akan berkongsi saranannya apabila sudah bersedia, kata Cik Lau.
Ia, antara lain, sedang membincangkan langkah lanjut untuk mempertingkat keselamatan kerja platform dan akan terus mengkaji peranan insentif dan faktor potensi lain yang menjadi penyebab kemalangan yang melibatkan pekerja platform.
Perangkaan MOM dalam Laporan Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja yang dikeluarkan pada 8 September menunjukkan lebih ramai orang terkorban akibat kecederaan yang dialami di tempat kerja pada separuh pertama 2026, sebahagiannya berpunca daripada peningkatan jumlah pekerja platform yang maut di jalan raya.
Terdapat 21 kematian di tempat kerja antara Januari dengan Jun, termasuk empat pekerja platform. Angka itu lebih tinggi berbanding dua pekerja platform dalam kalangan 18 kematian dalam tempoh sama pada 2025.
Daripada empat kematian tersebut, tiga daripadanya merupakan pekerja penghantaran, manakala seorang lagi adalah pekerja khidmat e-panggilan, atau ride-hailing.
Cik Lau berkata MOM telah bekerjasama dengan syarikat platform, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan persatuan kerja platform (PWA) untuk menangani risiko keselamatan yang mungkin timbul daripada insentif di peringkat awal.
“Di samping keperluan sedia ada dalam ACOP, syarikat platform dan PWA telah sama-sama membangunkan perlindungan tambahan bagi skim pembayaran dan insentif, termasuk memastikan insentif tidak menggalak pekerja platform bekerja dalam tempoh masa yang terlalu panjang tanpa rehat yang mencukupi,” katanya.
“Rangka kerja ini membolehkan PWA membangkitkan kebimbangan keselamatan mengenai skim insentif kepada syarikat platform untuk perbincangan dwipihak dan langkah penyelesaian,” kata beliau.