Tujuh orang maut dalam kemalangan jalan raya berkaitan pekerjaan pada separuh pertama 2026, termasuk empat pekerja platform.

Jumlah itu dua kali ganda berbanding keseluruhan kematian pekerja platform pada 2025, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, Dash, pada 23 Julai.

Menurut beliau, kematian tersebut “amat membimbangkan”, walaupun beberapa kemalangan maut berpunca daripada pengguna jalan raya lain.

Dalam ucapannya pada Persidangan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH), beliau berkata pekerja menghadapi risiko lebih tinggi kerana meluangkan lebih masa di jalan raya.

Majlis WSH mengingatkan majikan supaya menangani risiko utama seperti keselamatan kenderaan dan bahaya daripada kerja penyelenggaraan harian.

Encik Dinesh berkata semakin banyak kemalangan berlaku ketika menjalankan tugasan harian, bukan lagi hanya dalam aktiviti yang lazimnya berisiko tinggi.

Beliau memberi contoh kenderaan mengundur kerana brek tangan tidak ditarik serta kemalangan yang mungkin dapat dielakkan jika dilaporkan lebih awal.

“Kita mesti memberikan perhatian kepada kerja harian dan memastikan langkah keselamatan sentiasa dipatuhi,” katanya.

Menurut beliau, keselamatan di tempat kerja bukan sekadar mencegah kemalangan, tetapi juga memastikan pekerja kekal selamat, sihat dan produktif sepanjang hayat pekerjaan mereka.

Sehubungan itu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) melancarkan perikatan bertindak bagi keselamatan dan kesihatan untuk pekerjaan berpanjangan (Alliance for Action on Safety and Health for Employment Longevity) bagi mendapatkan idea berkaitan pencegahan kecederaan, sokongan kepada pekerja yang kembali bekerja selepas kecederaan atau penyakit, serta mereka bentuk semula pekerjaan dan proses kerja yang lebih selamat dan mesra pekerja.

Organisasi berdaftar di Singapura boleh mengemukakan cadangan sehingga 31 Ogos dan perlu menyertai program selama 14 bulan.

Bagi memperoleh pembiayaan dan sokongan, peserta mesti aktif membangunkan prototaip, melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa, dan menyertai sesi maklum balas. Maklumat lanjut akan dikongsikan kepada pihak yang terpilih, menurut laman web MOM.

Encik Dinesh turut mengumumkan tiga usaha Majlis WSH pada persidangan tahunan yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Expo Sands di Marina Bay Sands pada tahun ini.

Pertama, program wajib bagi pengurusan tertinggi syarikat dalam industri berisiko tinggi akan diperkukuh dan menjadi lebih interaktif.

Kedua, alat baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) akan diperkenalkan pada awal 2027 untuk mengkaji gambar tempat kerja, mengenal pasti risiko keselamatan dan menyediakan sokongan bahasa kepada pekerja migran.

Mulai 23 Julai, saluran WhatsApp baharu akan menyalurkan nasihat dan pengumuman keselamatan di tempat kerja.

Pengurus Besar Majlis WSH, Encik Christopher Koh, berkata WhatsApp akan memudahkan penyampaian garis panduan kepada pekerja barisan hadapan.

Sehingga 26 Jun, 21 kematian di tempat kerja direkodkan, termasuk tujuh dalam tempoh empat minggu.

Walaupun kes sedemikian berlaku dari semasa ke semasa, beliau berkata kesedaran dan pematuhan syarikat terhadap keselamatan semakin baik, sambil mengingatkan supaya tidak memandang ringan risiko tugasan harian.

Bagi menangani peningkatan kematian di tempat kerja, MOM melaksanakan langkah penguatkuasaan lebih ketat sejak 26 Jun, termasuk menaikkan denda bagi kesalahan keselamatan daripada $2,000 kepada $3,000 bagi kesalahan pertama serta melarang syarikat yang mengalami kemalangan parah daripada mengambil pekerja migran baharu selama tiga bulan.

Langkah ini berkuat kuasa sehingga 31 Julai dan akan dilanjutkan jika prestasi keselamatan tidak bertambah baik.