Topik diikuti
Pergi ke BHkuMSF peruntuk $15j uji teknologi baharu kesan individu berisiko awal
MSF peruntuk $15j uji teknologi baharu kesan individu berisiko awal
MSF peruntuk $15j uji teknologi baharu kesan individu berisiko awal
Sektor khidmat sosial sedang memanfaatkan gelombang kecerdasan buatan (AI), dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), memperuntukkan $15 juta sepanjang tiga tahun untuk menguji teknologi baharu.
Salah satu matlamat kementerian adalah menggunakan data bagi mengenal pasti individu berisiko, serta membantu keluarga lebih awal sebelum cabaran semakin meruncing, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada 2 Julai.
Sebahagian pekerja sosial kini menggunakan sistem pengurusan kes CaseCentral yang memanfaatkan AI untuk memberi cerapan mengenai penerima bantuan dan keluarga mereka serta melancarkan aliran kerja.
Pada 2 Julai, MSF turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat teknologi tempatan, NCS dan ST Engineering, bagi membangunkan penyelesaian digital bagi menyokong penerima bantuan dan keluarga mereka, meningkatkan aliran kerja karyawan, serta menambah baik keselamatan dan operasi di rumah kediaman dan pusat khidmat sosial.
Perjanjian itu dimeterai pada persidangan rakan kongsi sulung MSF, di The Star Theatre, Buona Vista, yang menghimpunkan hampir 1,000 wakil daripada agensi khidmat sosial, institusi akademik dan sektor korporat bagi membincangkan inovasi dan kerjasama.
Menurut Encik Masagos, AI sudah digunakan dalam sektor khidmat sosial di Singapura dan seluruh dunia, termasuk cermin mata AI yang menukar pertuturan kepada sari kata bagi individu kurang pendengaran, rangka luar berkuasa AI yang membantu golongan kurang upaya hidup lebih berdikari, serta teknologi yang membantu ahli terapi menjejaki perkembangan kanak-kanak.
Beliau bagaimanapun mengakui terdapat kebimbangan AI mungkin menggantikan karwayan khidmat sosial.
“AI bukanlah penyelesaian untuk semua masalah dan tidak dapat menggantikan karyawan khidmat sosial.
“Namun, jika dimanfaatkan dengan baik, AI membolehkan kita membantu lebih ramai keluarga dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.
Lebih 100 agensi khidmat sosial menggunakan Scribe, alat AI yang merakam, menyalin dan meringkaskan perbualan dalam pelbagai bahasa serta dialek kepada nota kes.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Case Corner Singapore, Encik Christian Chao, berkata pekerja sosial berjaya mengurangkan masa dokumentasi sebanyak 50 peratus, memberi lebih ruang untuk menumpukan perhatian kepada penerima bantuan dan meneliti kes dengan lebih mendalam.
“Para pekerja memberitahu alat ini membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya semasa sesi bersama penerima bantuan, tanpa perlu membahagikan perhatian antara mendengar dengan mencatat setiap perkara.
“Selepas itu, mereka tidak lagi tergesa-gesa menyiapkan rekod kes dan mempunyai ruang untuk meneliti kes tersebut dengan lebih mendalam,” kata Encik Chao.
Satu lagi alat, Weave, menggunakan AI bagi membantu perancangan kes dengan mengenal pasti sudut yang mungkin terlepas pandang serta membolehkan pekerja sosial membuat penilaian lebih menyeluruh.
“Ramai pekerja sosial berkata beban kes yang berterusan menyebabkan mereka kadangkala bekerja secara automatik tanpa banyak ruang untuk berfikir,” kata Encik Chao sambil menambah, alat itu memberi mereka ruang untuk berfikir dengan lebih teliti dan sistematik.
Di AWWA, satu cadangan AI bertujuan menyusun dokumen prosedur operasi standard (SOP) dalam bentuk digital serta menyediakan bot bualan atau chatbot yang memudahkan kakitangan mencari maklumat dan memahami panduan, khususnya bagi mereka yang bahasa pertamanya bukan bahasa Inggeris.
Pemimpin sektor khidmat sosial berharap AI dapat membantu pekerja sosial mengurus kes yang semakin rumit dan menghimpunkan maklumat daripada pelbagai agensi.
CEO Allkin Singapore, Encik Fareez Fahmy, berkata penggunaan data juga membolehkan sokongan diberikan lebih awal sebelum tekanan kewangan, beban penjagaan atau ketegangan keluarga berkembang menjadi krisis.
