Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong umum Kabinet baru, lima penjawat politik naik pangkat, Shanmugam dilantik Menteri Kanan
PM Wong umum Kabinet baru, lima penjawat politik naik pangkat, Shanmugam dilantik Menteri Kanan
Zaqy Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam; kekal Menteri Negara Kanan (Pertahanan); lepaskan jawatan di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran
PM Wong umum Kabinet baru, lima penjawat politik naik pangkat, Shanmugam dilantik Menteri Kanan
Lima pemegang jawatan politik, termasuk dua wanita, akan dinaikkan pangkat dalam pusingan terbaru rombakan Kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 22 Julai.
Encik Zaqy Mohamad, yang sebelum ini telah diumumkan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baru, akan melepaskan jawatannya di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) sambil mengekalkan tugasnya di Kementerian Pertahanan (Mindef).
Sementara itu, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam akan dilantik sebagai Menteri Kanan.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo akan dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh dalam kementerian masing-masing.
Encik Siow juga akan memegang jawatan sebagai Menteri Kedua Kewangan, manakala Encik Neo akan memegang jawatan sebagai Menteri Kedua Pendidikan.
Cik Sim Ann juga akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri).
Dua Menteri Negara – Cik Jasmin Lau dan Encik Goh Pei Ming – juga akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan.
Cik Lau akan dinaikkan pangkat sebagai Pemangku Menteri Tenaga Manusia, sambil mengekalkan peranannya sebagai Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital) – melepaskan jawatannya di Kementerian Pendidikan (MOE).
Encik Goh, yang dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan, akan kekal dalam perannannya di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF)
Berucap di sidang media pada 22 Julai bagi mengumumkan barisan baru Kabinetnya, Encik Wong berkata beliau telah bekerjasama rapat dengan pemegang jawatan baharu sepanjang tahun lepas (2025).
“Melangkah ke jawatan politik bukanlah sesuatu yang mudah. Tiada manual untuk tugas tersebut dan tiada pengganti untuk pengalaman.
“Tetapi mereka telah menyesuaikan diri dengan peranan mereka dengan baik di bawah keyakinan rakan sekerja dan penjawat awam yang mereka bekerjasama, dan menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk tanggungjawab yang lebih besar.”
Semasa sidang media itu, Encik Wong turut mengumumkan pertukaran nama Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) kepada Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Meti) berkuatkuasa 1 Oktober.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong akan kekal menerajui kementerian tersebut, manakala Dr Tan See Leng akan dilantik sebagai Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan).
Dua penjawat politik – Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Encik Alvin Tan – akan melihat perubahan kepada peranan mereka juga.
Encik Zhulkarnain akan dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), dan melepaskan peranannya di MSE.
Encik Tan akan dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), dan melepaskannya peranannya di MTI.
Sementara itu, tiga Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) juga akan disertakan dalam Kabinet baru Encik Wong.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang juga AP Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng akan dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri.
AP GRC Tanjong Pagar, Encik Foo Cexiang akan dilantik sebagai Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan) berkuatkuasa 1 September.
AP GRC Jalan Besar, Encik Shawn Loh, akan dilantik sebagai Menteri Negara (Pendidikan merangkap Kesihatan) berkuatkuasa 1 Januari 2027.
Kesemua perubahan kepada barisan Kabinet baru Encik Wong akan berkuatkuasa 27 Julai, kecuali bagi pelantikan Encik Foo dan Encik Loh.