Sekitar 70 ulama antarabangsa dan pakar setempat berhimpun di Seminar Penyelidikan Wakaf 2026 pada 25 November bagi meneliti bagaimana aset wakaf dapat dipelihara dan diurus secara mampan demi manfaat generasi akan datang.

Dianjurkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), seminar di Hotel Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi itu meneroka bagaimana prinsip Islam dapat memandu pengurusan wakaf dalam menghadapi kekangan tanah di Singapura, perubahan keadaan ekonomi, serta keperluan masyarakat yang kian berkembang.

Seminar tertutup anjuran bersama Pejabat Mufti serta bahagian Transformasi Kewangan dan Pentadbiran Kawal Selia MUIS itu menghimpunkan ulama dari Mesir, Maghribi dan Arab Saudi, di samping lebih 60 peserta setempat.

Mereka termasuk anggota Jawatankuasa Fatwa, asatizah kanan, penyelidik Makmal Fatwa serta wakil MUIS dan Warees Investments.

“Wakaf memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan agama dan sosial masyarakat Islam Singapura.

“Namun, kekurangan tanah, penyelenggaraan hartanah warisan, tempoh pajakan yang semakin singkat serta perubahan keperluan penerima manfaat, menimbulkan cabaran dalam memelihara nilai dan manfaat jangka panjang aset wakaf,” kata MUIS.

Seminar tersebut meneliti bagaimana prinsip Islam, termasuk maslahah (kepentingan umum) dan uruf (adat serta amalan semasa), dapat memandu pengurusan wakaf dalam menangani cabaran tersebut.

Ia turut meneroka peranan ijtihad dalam membangunkan pendekatan yang dapat memenuhi matlamat agama di sebalik wakaf, di samping mengambil kira keadaan semasa.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ijtihad ialah usaha seseorang ulama atau ahli hukum Islam menggunakan ilmu, penelitian dan pertimbangan berdasarkan sumber syariah untuk menentukan hukum bagi sesuatu perkara yang tidak mempunyai ketetapan jelas dalam Al-Quran dan hadis.

Perbincangan tertumpu pada tiga bidang utama, iaitu prinsip agama yang mendasari wakaf, istibdal (penggantian aset wakaf), serta pembangunan hartanah; dan bagaimana wakaf dapat terus memenuhi keperluan penerima manfaat yang berubah.

Muis turut berkongsi pengalaman Singapura dalam menyesuaikan pengurusan wakaf menerusi beberapa fatwa yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Ini termasuk fatwa berkaitan penjualan tanah wakaf pada 1997, penggabungan hartanah wakaf di bawah Wakaf Ilmu pada 2015 serta penubuhan dana rizab menggunakan hasil sewa wakaf bagi memelihara aset pada tahun yang sama.

“Pertukaran pandangan itu membolehkan peserta meraih pengajaran daripada pelbagai pendekatan tadbir urus dan pengurusan wakaf, sambil mengiktiraf perbezaan konteks undang-undang, kawal selia dan sosial dalam pelaksanaan pendekatan tersebut,” tambah MUIS.

Seminar tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan tiga pembentangan kajian oleh pakar antarabangsa.

Menjelang seminar itu, ulama antarabangsa berkenaan turut mengunjungi beberapa hartanah wakaf pada 24 November bagi mendapatkan gambaran mengenai amalan pengurusan dan pembangunan semula hartanah wakaf di Singapura.

Menurut MUIS, dapatan seminar tersebut akan menyumbang kepada penyelidikan Makmal Fatwa MUIS dalam merumuskan panduan agama berteraskan prinsip Islam bagi pengurusan wakaf.

“Penyelidikan itu akan meneliti bagaimana aset wakaf dapat kekal mampan dari segi kewangan dan terus memenuhi tujuan agama dan sosial yang dimaksudkan, sambil mengambil kira keadaan unik Singapura,” kata MUIS.