Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis akan maklum calon jemaah haji 2026 selewat-lewatnya 20 Mac

Dec 29, 2025 | 4:38 PM
surat tawaran haji, pemohon haji 2026,
Pemohon yang tidak menerima Surat Tawaran bagi peruntukan tempat musim haji 2026 akan kekal dalam senarai menunggu sehingga 20 Mac 2026, iaitu tarikh tutup bagi pemprosesan visa haji yang ditetapkan MOHU, kata Muis. Jika ada tempat yang sedia ada sebelum tarikh tutup, pemohon layak yang seterusnya dalam senarai itu akan dihubungi Muis. - Foto fail

Pemohon haji yang tidak menerima sebarang makluman daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) melalui laman web MyHajSG selepas 20 Mac 2026 boleh membuat kesimpulan bahawa tiada lagi tempat kosong untuk musim haji akan datang.

Ini bermakna, mereka perlu menunggu giliran bagi peruntukan tempat untuk musim haji pada masa depan.

Kuota rasmi haji Singapura untuk 2026 kekal 900 anggota jemaah, bilangan yang sama sejak 2018.

Menurut Muis, sekitar 65,000 pemohon sedang menanti giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima ini.

Muis menjelaskan bahawa tiada tempoh menunggu purata kerana ia bergantung pada beberapa faktor berubah, termasuk kuota tahunan, status kesihatan semasa, keperluan peraturan, dan jumlah pemohon yang sedang menunggu.

“Muis memahami aspirasi pemohon yang masih menanti untuk menunaikan ibadah haji.

“Muis akan terus meneroka huraian lebih baik untuk menangani perkara ini dan berdoa agar Allah swt membalas kesabaran dan ketabahan umat Islam kita serta memberi mereka peluang untuk menunaikan kewajipan suci ini pada musim haji akan datang, insya-Allah,” kata Muis dalam kenyataan yang bertarikh 29 Disember.

Muis mengesahkan kesemua 900 tempat bagi musim haji 2026 telah berjaya diberikan kepada pemohon layak yang telah mendapatkan sijil kesihatan yang diperlukan, dengan 12 peratus daripadanya merupakan warga emas berusia 70 tahun dan ke atas.

Mulai musim haji 2026, bakal jemaah haji wajib memperoleh sijil kesihatan daripada doktor yang mengesahkan mereka bebas penyakit kronik.

Langkah baru ini selaras dengan kriteria terkini yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Pemohon yang tidak menerima Surat Tawaran kali ini akan kekal dalam senarai menunggu sehingga 20 Mac 2026, tarikh akhir pemprosesan visa haji oleh Kementerian Haji dan Umrah Arah Saudi.

Jika ada tempat yang tersedia sebelum tarikh tutup, Muis akan menghubungi pemohon layak yang seterusnya dalam senarai.

Sejak beberapa tahun lalu, para pemimpin Singapura telah merayu kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk kuota haji tambahan agar lebih ramai warga Muslim Singapura dapat menunaikan ibadah mulia ini.

Pada November 2025, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah mengemukakan permohonan tambahan bagi kuota haji Singapura kepada kuota rasmi 900 yang sedia ada.

Permintaan tersebut disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, sempena majlis menandatangani Perjanjian Haji bagi Singapura bagi musim haji 2026, di Jeddah.

Pada Januari 2025, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, turut menyuarakan hasrat Singapura untuk menambah kuota jemaah haji Singapura agar lebih ramai dapat menunaikannya.

Ini disampaikan sempena lawatan Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Putera Faisal Bin Farhan Al Saud, bagi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) mengenai Majlis Perkongsian Strategik Arab Saudi-Singapura.

Musim haji 2026 dijangka bermula pada penghujung Mei 2026, dengan Hari Arafah, iaitu kemuncak haji, dijangka jatuh pada 25 Mei atau 26 Mei, tertakluk pada pengumuman pihak berkuasa Arab Saudi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg