Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan meningkatkan pengawasan terhadap pengendali korban, terutamanya pengendali baharu, dan bekerjasama dengan mereka bagi memastikan kelulusan kawal selia dapat dicapai tepat pada masanya, serta memantau titik pencapaian utama.

Ini selain melaksanakan keperluan kontraktual dan operasi bagi pengendali, serta memulakan persiapan ibadah korban lebih awal, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam satu jawapan bertulis kepada soalan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) untuk sidang Parlimen pada 7 Julai, beliau berkata langkah sedemikian dilakukan bagi memperkukuh model operasi semasa dan menyokong pengendali korban tempatan dengan lebih baik.

Encik Fadli bertanya mengenai usaha pemerintah menyokong pengendali korban mendapatkan permit eksport yang diperlukan untuk membawa masuk haiwan korban ke Singapura.

Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata: “MUIS akan terus memantau keberkesanan langkah-langkah yang diketengahkan dan membuat pelarasan selanjutnya, jika perlu.

“Pemerintah komited sepenuhnya untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, bagi memastikan pengaturan ibadah korban tempatan terus memenuhi keperluan masyarakat Islam (di sini).”

Beliau berkata demikian menyusuli kegenjotan yang dialami pengendali korban berlesen tempatan, The Meat Brothers (TMB), yang tidak dapat membawa masuk sekurang-kurangnya 400 haiwan korban tepat pada masanya untuk Hari Raya Haji pada Mei lalu.

Ini setelah permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) untuk membawa haiwan korban ke Singapura dari Australia diluluskan lewat.

Ia menyebabkan ibadah korban di tiga masjid, iaitu Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Pusara Aman, tidak dapat diteruskan sepenuhnya, manakala sebahagian bekalan haiwan korban Masjid Jamae Chulia terjejas.

Kesemua masjid itu menyediakan tempat bagi ibadah korban di sini.

Menyentuh tentang keperluan kontraktual dan operasi, Dr Faishal berkata ia antara lain akan meliputi piawaian perkhidmatan lebih jelas, rancangan kontingensi (luar jangka) dan tuntutan terhadap pengendali bagi membetulkan sebarang kekurangan sekiranya mereka tidak dapat memenuhi operasi korban.

Ini dapat “memperkukuh pertanggungjawaban dan daya tahan operasi secara keseluruhan”, selain memastikan sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban) mendapat maklumat dan perlindungan lebih baik, tambahnya.

Berkenaan persiapan ibadah korban secara lebih awal pula, beliau berkata MUIS akan meningkatkan jangka masa persiapan ibadah korban kepada enam hingga lapan bulan sebelum Hari Raya Haji.

Ini berbanding dua hingga tiga bulan sebelum Hari Raya Haji buat masa ini, dan persiapan lebih awal dijangka dapat menyediakan “tempoh tambahan untuk kelulusan kawal selia dan perancangan operasi”, kata Dr Faishal.

Awal daripada itu, pada 18 Jun, Dr Faishal berkata MUIS sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan, termasuk Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Lembaga Taman Negara (NParks), serta pihak berkepentingan lain bagi meneliti kejadian yang menjejas pelaksanaan ibadah korban tempatan pada 2026.

Pada 14 Jun, pengasas bersama TMB, Ustaz Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan, berkongsi kepada Berita Harian (BH) bahawa kesemua 850 sohibul korban yang terjejas dek kelewatan haiwan korban akan menerima semula wang mereka selewat-lewatnya awal Ogos.

Ini termasuk sekitar 400 sohibul korban untuk Masjid Pusara Aman, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Al-Firdaus, dan baki 450 sohibul korban bagi Al-Wehdah (Persatuan Arab).

Pada 21 Mei, beliau memberitahu BH urusan termasuk permohonan permit di Australia dilaksanakan pembekal haiwan korban di sana, iaitu Alqudsi Agri Group. TMB menguruskan operasi dan dokumentasi di sini.