Topik diikuti
Pergi ke BHkuMUIS urus bayaran korban setempat di masjid pada 2027
Zaqy: Proses pemilihan penyedia diperketat, dapatkan kelulusan yang perlu sebelum penjualan dibuka; mula persiapan korban setempat lebih awal
MUIS urus bayaran korban setempat di masjid pada 2027
Individu yang ingin melakukan ibadah korban secara tempatan di masjid akan membuat bayaran terus kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), dan bukan lagi kepada penyedia khidmat, mulai 2027.
Penyedia khidmat pula akan diberikan tempoh masa yang jelas untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan sebelum penjualan dibuka kepada orang ramai.
Ini adalah sebahagian daripada perubahan yang diumumkan MUIS pada 25 November bagi mengetatkan proses korban di Singapura, selepas satu penyedia khidmat gagal membekalkan haiwan ternakan bagi korban 2026.
Pada 2026, penyedia khidmat dilantik yang menyediakan korban tempatan di masjid mengutip bayaran secara langsung daripada pelanggan.
Perubahan itu diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, dan MUIS pada 25 November.
Menurut Encik Zaqy, perubahan itu membolehkan MUIS memantau pengurusan bayaran dan kesediaan penyedia khidmat dengan lebih rapi.
“Mulai tahun depan (2027), MUIS akan menguruskan kutipan bayaran secara berpusat atau centralised bagi kedua-dua operasi korban di dalam dan luar negara, melalui platform yang sama.
“Lebih penting lagi, sekiranya penyedia khidmat gagal melaksanakan perkhidmatan yang dijanjikan, MUIS akan bertindak untuk menguruskan aturan alternatif,” kata Encik Zaqy apabila ditemui wartawan selepas satu taklimat mengenai Korban 2027 di Hab Islam Singapura di Braddell Road pada 25 November.
Encik Zaqy menambah jika perkara tersebut berlaku pada masa akan datang, pelaksana korban yang terjejas akan diberikan pilihan untuk menukar kepada korban luar negara atau menerima bayaran balik, dan ini akan diuruskan secara berpusat oleh pihak MUIS.
“Dengan perubahan ini, masyarakat mendapat jaminan yang lebih kukuh bahawa bayaran mereka diuruskan dengan baik dan terdapat pilihan yang jelas sekiranya berlaku kegenjotan dari segi perkhidmatan,” ujarnya.
Pada 2026, salah satu pengendali korban di Singapura, The Meat Brothers (TMB), gagal membawa masuk sekurang-kurangnya 400 haiwan korban tepat pada masanya sempena Hari Raya Haji pada Mei lalu.
Ini setelah permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) untuk membawa haiwan korban ke Singapura dari Australia diluluskan lewat.
Ia menyebabkan ibadah korban di tiga masjid – Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Pusara Aman – tidak dapat diteruskan sepenuhnya, manakala sebahagian bekalan haiwan korban Masjid Jamae Chulia terjejas.
Selain itu, MUIS juga akan menetapkan proses pemilihan yang lebih ketat bagi penyedia korban tempatan bagi 2027, serta memperkukuh pemantauannya.
Ini termasuk menilai rekod prestasi penyedia sebelum ini, kedudukan kewangan yang kukuh, serta keupayaan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Persiapan penyedia khidmat juga akan dipantau dengan lebih rapi oleh MUIS.
“Sekiranya timbul masalah, MUIS akan dapat mengambil tindakan lebih awal, termasuk meneroka aturan alternatif bersama penyedia khidmat lain yang telah dilantik bagi memberi ketenangan kepada para pelaksana korban,” kata Encik Zaqy, yang menambah penyedia khidmat akan diberikan tempoh masa yang jelas untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan sebelum penjualan dibuka kepada orang ramai.
Ini termasuk kelulusan permit penyembelihan khas dan daripada agensi tempatan seperti Agensi Makanan Singapura (SFA) sebelum jualan dimulakan.
Pada masa yang sama, kontrak tersebut menyertakan klausa khas untuk membetulkan sebarang kekurangan dengan segera atau mengaktifkan pelan sokongan supaya khidmat ibadah korban berjalan lancar tanpa gangguan.
Selain itu, satu lagi perubahan yang akan dilaksanakan MUIS ialah memulakan persiapan lebih awal bagi proses pemilihan penyedia khidmat korban.
Pada 2026 penyedia khidmat dilantik pada April. Bagi musim korban 2027, penyedia khidmat akan dilantik dua bulan lebih awal pada Februari 2027.
Menurut MUIS, tender dibuka pada 25 November dan akan ditutup pada 16 Disember.
Penyedia khidmat pula akan ditetapkan selewat-lewatnya pada 8 Februari 2027, sebelum tempahan bermula pada April 2027 apabila permit yang diperlukan sudah diterima.
MUIS menambah mereka akan mengekalkan kapasiti penyediaan 5,400 ekor haiwan di luar negara dan 1,300 ekor haiwan di Singapura, dengan sehingga tujuh masjid diluluskan bagi melaksanakan korban.
Sementara itu, satu jawatankuasa korban tempatan dan luar negara yang khusus juga telah ditubuhkan di bawah naungan Korban SalamSG 2027.
Ia akan menyelia pelantikan penyedia khidmat serta aturan operasi, termasuk pematuhan peraturan dan perancangan luar jangka.
Operasi korban tempatan akan terus dikendalikan oleh penyedia khidmat yang dilantik dengan kerjasama masjid yang mengambil bahagian, di bawah pemantauan MUIS yang diperkukuh.
Selain itu, urusan pembayaran bagi korban luar negara melalui masjid kekal tidak berubah, di mana ia akan terus dikendalikan oleh MUIS menerusi platform SalamSG.
Pada musim korban 2026, sebanyak 55 masjid menawarkan ibadah korban bagi tiga ternakan – kambing, domba (kibas) dan lembu – secara langsung di Singapura dan di luar negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 51 masjid menawarkan perkhidmatan korban di luar negara.
Menggulung pengumuman itu, Encik Zaqy menggariskan agar kes sebelum ini tidak seharusnya berulang, terutama dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Apa yang berlaku tahun ini tidak seharusnya berulang.
“Kami akur akan tanggungjawab yang diamanahkan, dan akan berusaha memastikan Korban 2027 dilaksanakan dengan lebih baik lagi, demi memelihara kepercayaan masyarakat terhadap institusi kami,” kata Encik Zaqy.