Saya merujuk kepada laporan ‘Muis: Sekitar 400 haiwan korban dari Australia mungkin tiba lewat di 4 masjid’ pada 22 Mei.

Gangguan ini mengingatkan kepada krisis logistik serupa pada April 1997, apabila kegenjotan penghantaran menyebabkan ketibaan kambing hidup dari Australia tertangguh.

Oleh sebab ternakan tersebut gagal tiba sebelum Hari Raya Haji, banyak masjid dan pertubuhan Melayu/Islam terpaksa menangguhkan atau membatalkan ibadah korban pada saat akhir.

Ibadah korban memerlukan ketepatan masa, dan sebarang kelewatan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam.

Kelewatan juga menjejaskan perancangan berbulan-bulan serta semangat gotong-royong dalam kalangan sukarelawan dan jawatankuasa penganjur korban.

Pihak pengawal selia, pengendali, pengimport dan rakan logistik perlu mengambil iktibar daripada kegenjotan lalu dan semasa, serta memperkukuh perancangan kecemasan bagi memastikan penghantaran kambing tahunan ini tiba tepat pada masanya.

Langkah tersebut termasuk mempelbagaikan sumber ternakan, mewujudkan tatacara pelepasan keutamaan bagi haiwan hidup semasa ibadah tahunan ini, serta mempercepat tempoh kelulusan permit eksport.

Kita perlu membina sistem yang berdaya tahan untuk melindungi sambutan keagamaan masyarakat daripada kegagalan logistik.

Osman V.P. Mohamed