Topik diikuti
Pergi ke BHkuNaib Konsul Haji S’pura tenang mula tugas baharu di tengah cabaran keselamatan di Saudi
Naib Konsul Haji S’pura tenang mula tugas baharu di tengah cabaran keselamatan di Saudi
Turut beri tumpuan kepada persiapan musim haji akan datang
Naib Konsul Haji S’pura tenang mula tugas baharu di tengah cabaran keselamatan di Saudi
Baru beberapa hari menjejakkan kaki di Jeddah pada 16 Oktober lalu, telefon Ustaz Muhammad Jalaludeen Saukat Ali sudah berbunyi dengan amaran keselamatan.
Notifikasi itu meminta penduduk berada di dalam bangunan susulan pemintasan objek udara di luar kawasan Makkah – satu detik awal yang menguji tugas baharunya sebagai Naib Konsul (Haji) Singapura.
Bagi pegawai yang baru dikerahkan secara sementara daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ke Kementerian Ehwal Luar (MFA) selama dua tahun itu, detik awal tersebut sudah cukup memberi gambaran sebenar tentang situasi keselamatan di Timur Tengah.
Beliau memulakan tugas baru itu pada November, selepas MFA menasihatkan rakyat Singapura menangguhkan semua perjalanan ke Arab Saudi berikutan risiko keselamatan serantau yang meningkat.
Ini juga disusuli nasihat MUIS agar jemaah mempertimbangkan untuk menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu.
“Ia sememangnya satu permulaan yang tidak dijangka terhadap persekitaran keselamatan di sini, lebih-lebih lagi kerana saya baru sahaja memulakan tugas.
“Walaupun kami sedia maklum mengenai cabaran keselamatan di rantau ini, mengalami sendiri perkembangan sedemikian memberi perspektif yang sangat berbeza.
“Apa yang paling memberi kesan kepada saya ialah betapa pantas keadaan boleh berubah dan betapa pentingnya untuk kekal tenang, berwaspada serta sentiasa bersedia,” kata Ustaz Jalaludeen, 44 tahun, ketika dihubungi Berita Minggu (BM).
Menurut beliau, sejak tiba di sana, kawasan Makkah telah menyaksikan hampir lapan amaran keselamatan.
Ini termasuk insiden melibatkan pemintasan peluru berpandu dan dron dengan laporan serpihan jatuh susulan beberapa pemintasan tersebut.
Pengalaman itu mengukuhkan lagi pemahamannya bahawa tugas konsulat bukan sekadar bertindak apabila sesuatu kejadian berlaku.
Sebaliknya, ia menjangkakan potensi risiko lebih awal melalui perbincangan serta perancangan senario, termasuk pelan alternatif sekiranya berlaku gangguan penerbangan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Singapura agar sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mengikuti saluran maklumat rasmi sebelum membuat sebarang perancangan ke Tanah Suci.
“Saya juga ingin menggalakkan rakyat Singapura supaya mengambil maklum nasihat perjalanan terkini MFA, yang menasihatkan agar semua perjalanan ke Saudi ditangguhkan, serta nasihat MUIS bagi mereka yang merancang untuk menunaikan umrah.
“Rakyat Singapura juga harus mendaftar perjalanan mereka menerusi e-Register dengan MFA supaya kami dapat menghubungi mereka sekiranya berlaku perkembangan penting atau jika bantuan konsular diperlukan,” jelas beliau, seorang lulusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab dari Damsyik, Syria.
Meskipun tugasnya menuntut pemantauan berterusan terhadap situasi yang dinamik, bapa kepada tiga anak lelaki itu berkata kehidupan harian di Jeddah dan Tanah Suci secara umumnya selamat dan terkawal.
“Kuncinya adalah membezakan antara sikap berwaspada dengan rasa cemas yang tidak perlu.
“Kehidupan harian di sini tetap berjalan seperti biasa, dan adalah penting untuk mengekalkan rasa normal sambil terus peka terhadap persekitaran keselamatan.
“Saya yakin dengan usaha pihak berkuasa Saudi untuk melindungi orang awam, serta komitmen mereka dalam memastikan penduduk dan pengunjung sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan keselamatan terkini.
“Usaha berterusan serta penyampaian maklumat tepat pada masanya memberikan rasa tenang yang penting,” ujar mantan pegawai Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) itu.
Selain memikul tanggungjawab rasmi di lapangan, Ustaz Jalaludeen turut menantikan ketibaan isteri dan tiga anak lelakinya yang akan menyertainya di Saudi pada Disember ini.
“Di peringkat peribadi, kehadiran keluarga yang akan menyertai saya pada Disember sudah tentu menjadikan pengalaman ini lebih bermakna, memandangkan keselamatan dan kesejahteraan mereka sememangnya penting bagi saya.
“Saya kira pengalaman ini mengajar saya bahawa bersedia tidak bermakna hidup dalam ketakutan.
“Ia bermakna memahami risiko, mengambil langkah berjaga-jaga yang wajar dan meneruskan tanggungjawab kita sebaik mungkin,” tambah Naib Pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh (Palmer Road).
Di samping memantau perkembangan keselamatan, tumpuan utama beliau kekal kepada persiapan musim haji akan datang.
Bekerja dalam pasukan kecil sekitar lima pegawai Singapura di Konsulat Jeneral Jeddah, beliau bertindak sebagai penghubung antara pemerintah Singapura dengan pihak berkuasa Saudi.
Ini selain memastikan vendor tempatan menepati piawaian misalnya daripada penyediaan khemah di Arafah dan Mina, penginapan hotel, hingga ke kelancaran pergerakan jemaah.
Kepentingan sokongan di lapangan itu disedarinya sendiri ketika bertugas bersama pasukan delegasi haji Singapura pada 2026.
Beliau telah menyaksikan kerjasama erat pelbagai agensi di sebalik tabir demi memastikan jemaah dapat beribadah dengan selesa tanpa terbeban dengan urusan logistik.
Dalam pada itu, pengalaman tersebut memperlihatkan betapa mencabarnya keadaan fizikal di Tanah Suci.
Terutama apabila cuaca panas melampau, jarak berjalan yang jauh serta waktu tidur yang terganggu menyebabkan sebahagian jemaah warga emas mengalami keletihan dan dehidrasi akibat menahan diri daripada minum air kerana ingin memelihara wuduk.
Justeru, beliau menyifatkan syarat saringan kesihatan yang lebih ketat bagi musim haji kali ini sebagai langkah wajar demi melindungi keselamatan jemaah sendiri.
Mengimbau kembali persiapannya sebelum berhijrah, Ustaz Jalaludeen – yang pernah berkhidmat di sektor masjid sebelum menyertai MUIS dalam unit Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) – berangkat ke Jeddah seorang diri terlebih dahulu bagi membolehkan tiga anak lelakinya yang berusia 13, 11 dan lapan tahun menamatkan peperiksaan akhir tahun di Singapura sebelum menyertainya bersama isterinya, Ustazah Siti Syariati Sulaiman, menjelang Disember nanti.
“Apabila diberitahu akan berpindah, anak-anak ada rasa terkejut dan terfikir tentang rumah serta kawan-kawan mereka di Singapura, tetapi dalam masa yang sama mereka teruja untuk merasai pengalaman baharu,” kongsi penggemar memancing dan rakan kongsi sebuah kedai buku dalam talian itu.
Melangkah ke hadapan sepanjang tempoh dua tahun pengerahannya, Ustaz Jalaludeen berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta memastikan kebajikan rakyat Singapura sentiasa terpelihara.
“Harapan terbesar saya adalah agar rakyat Singapura yang datang ke Saudi, sama ada untuk haji, umrah, bekerja atau tujuan lain, berasa yakin bahawa ada rakan senegara di sini yang menjaga kepentingan dan kebajikan mereka.
“Di peringkat peribadi pula, saya berharap dapat menoleh kembali selepas dua tahun ini dengan rasa syukur kerana telah memberi sumbangan bermakna buat masyarakat Singapura di sini,” tambah beliau lagi.
BIODATA
– Muhammad Jalaludeen Saukat Ali
– 44 tahun
– Naib Konsul (Haji), Konsulat Jeneral Singapura di Jeddah (dikerahkan secara sementara daripada MUIS ke MFA selama dua tahun)
– Madrasah Aljunied Al-Islamiah (tamat pengajian 2002)
– Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Mujama’ Ahmad Kaftaro, Damsyik, Syria (tamat pengajian 2008)
– Pegawai Agama Masjid (MRO), Masjid Abdul Aleem Siddique (sekitar 2 tahun)
– Eksekutif Kanan dan Ketua Jabatan Pemasaran serta Pembangunan Perniagaan, Pergas (sekitar 4 tahun)
– Pegawai di Unit Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) (sekitar 9 tahun)
– Naib Pengerusi, Masjid Haji Md Salleh
– Bapa kepada tiga anak lelaki berusia 13, 11 dan lapan tahun
– Hobi: Suka memancing
– Pengasas kedai buku dalam talian, Nawabooks, bersama rakan kongsi
“
“Saya juga ingin menggalakkan rakyat Singapura supaya mengambil maklum nasihat perjalanan terkini MFA, yang menasihatkan agar semua perjalanan ke Saudi ditangguhkan, serta nasihat MUIS bagi mereka yang merancang untuk menunaikan umrah. Rakyat Singapura juga harus mendaftar perjalanan mereka menerusi e-Register dengan MFA supaya kami dapat menghubungi mereka sekiranya berlaku perkembangan penting atau jika bantuan konsular diperlukan.”“
“Kuncinya adalah membezakan antara sikap berwaspada dengan rasa cemas yang tidak perlu. Kehidupan harian di sini tetap berjalan seperti biasa, dan adalah penting untuk mengekalkan rasa normal sambil terus peka terhadap persekitaran keselamatan. Saya yakin dengan usaha pihak berkuasa Saudi untuk melindungi orang awam, serta komitmen mereka dalam memastikan penduduk dan pengunjung sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan keselamatan terkini. Usaha berterusan serta penyampaian maklumat tepat pada masanya memberikan rasa tenang yang penting.”