Bagi penerbit kreatif Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026, Cik Noorlinah Mohamed, pengalaman menerajui persembahan tahun ini jauh berbeza berbanding penglibatan sulungnya dalam NDP 2024.

Kembalinya NDP ke Stadium Negara buat kali pertama sejak 2016, ia dianggap membuka peluang baharu dalam meneroka ruang persembahan yang lebih luas.

Perunding teater bebas berusia 58 tahun itu berkata stadium tertutup berkapasiti 42,000 tempat duduk itu membolehkan pasukannya membayangkan semula pengalaman NDP sebagai satu persembahan yang lebih menyeluruh, dengan setiap penonton menikmati perspektif yang berbeza.

“Dari segi keluasan, ketinggian dan keseluruhan ruangnya, semuanya di Stadium Negara lebih besar. Berbeza dengan Padang yang merupakan ruang terbuka, Stadium Negara juga merupakan sebuah lokasi tertutup.

“Sudah 10 tahun sejak kali terakhir NDP diadakan di sini. Jadi bagi kami, semuanya terasa baharu dan tidak dijangka. Ia ibarat kanvas baharu untuk melihat semula keperluannya dan segala kemungkinan yang boleh diterokai.

“Itulah keindahan mengadakan NDP di Stadium Negara. Kami dapat mengubah ruang yang begitu besar menjadi sesuatu yang lebih intim, indah dan mengasyikkan buat rakyat Singapura,” katanya.

Stadium Negara, yang bakal menjadi lokasi sambutan ulang tahun ke-61 Singapura pada 9 Ogos ini, menampilkan pentas terbesar dan paling kompleks.

Pentas berbentuk anak panah itu berukuran 162 meter panjang dan 74 meter lebar serta dilengkapi enam lif pentas dan lapan laluan masuk dan keluar bagi mempercepat pertukaran antara segmen persembahan.

Penonton bakal disajikan enam set pelampung gergasi yang berpaksikan enam nilai – lindung, menyedia, cipta, bina, mengambil peduli, dan keadilan – selain beberapa boneka haiwan semasa pementasan itu.

Persembahan itu turut menampilkan enam kapal tanglung yang menggambarkan sejarah kedatangan manusia ke Singapura serta akar masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sebanyak 36 kamera akan digunakan sepanjang NDP tahun ini, manakala sistem pencahayaan terbesar dalam sejarah acara itu melibatkan 1,654 lampu hiburan, 54 unit laser dan lebih 170 unit kesan khas.

Tanggungjawab Cik Noorlinah sebagai penerbit kreatif adalah menyelia keseluruhan proses penerbitan persembahan mengikut visi kreatif yang ditetapkan.

Persiapan bagi NDP 2026 bermula sejak Julai 2025, kata Cik Noorlinah.

“Dua bulan pertama kami banyak membuat kajian dan lawatan tapak. Kami turut datang menonton NDP tahun sebelumnya untuk melihat bagaimana ia dijalankan.

“Konsep persembahan mula dibentuk pada September dan kemudian terus berkembang dengan setiap perbincangan di mana ia terus berkembang dan diperhalusi.

“Tugas saya banyak berlaku di belakang tabir walaupun saya memainkan peranan penting dalam menyatukan artis dan bekerjasama dengan semua tenaga kreatif. Kami mempunyai lebih 30 individu kreatif yang terlibat.

“Apa yang orang ramai mungkin tidak nampak ialah bagaimana saya menyatukan setiap bahagian.

“Apabila bekerja dengan begitu banyak kakitangan, segala-galanya bergantung kepada komunikasi. Tugas saya ialah memastikan semuanya tepat dan teratur.

“Penonton hanya melihat hasil akhirnya yang indah, tetapi di sebalik itu terdapat usaha setiap individu yang saling bekerjasama untuk menjayakannya,” cerita beliau.

Walaupun sudah berkecimpung dalam bidang seni sejak 1988, Cik Noorlinah akur persiapan NDP 2026 antara yang paling mencabar sepanjang kerjayanya.

“Sejujurnya, saya bukan rasa gementar, tetapi lebih kepada bimbang. Kebimbangan saya ialah sama ada keseluruhan persembahan ini dapat disatukan dengan baik

“Dengan tempoh yang begitu singkat untuk memasang semuanya, tekanannya memang sangat besar.

“Kebimbangan terbesar saya ketika itu ialah sama ada kami sempat menyiapkannya tepat pada masanya untuk rakyat Singapura datang menonton, terutama sekali pelajar yang menghadiri Persembahan Pendidikan Nasional (NE Show),” katanya.

Apabila diminta memilih segmen kegemarannya, Cik Noorlinah mengakui sukar berbuat demikian.

“Saya sayang semuanya. Tetapi jika perlu memilih, Bab Tiga, yang mengangkat asal usul dan sejarah maritim Singapura, paling dekat di hati saya. Ia mengingatkan kita bahawa negara kita merupakan sebahagian daripada gugusan Nusantara.”

“Selain itu, saya juga amat menyukai 13 maskot yang ditampilkan. Setiap satunya sangat comel, dan masing-masing mempunyai identiti serta keunikan tersendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Cik Noorlinah berharap NDP 2026 akan menjadi hadiah kepada seluruh rakyat Singapura.

“Matlamat kami ialah menghadiahkan Singapura satu sambutan yang boleh diraikan bersama. Kami mahu ia menjadi satu sambutan yang mencerminkan bagaimana kita, sebagai rakyat Singapura, menyambut hari lahir negara kita bersama-sama. Saya berharap NDP tahun ini menjadi satu sambutan yang boleh kita semua banggakan,” katanya.

SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.