Topik diikuti
Pergi ke BHkuNEA meterai perjanjian latihan keselamatan nuklear dengan AS
NEA meterai perjanjian latihan keselamatan nuklear dengan AS
Tumpuan pada kawal selia sedang S’pura kaji tenaga nuklear
NEA meterai perjanjian latihan keselamatan nuklear dengan AS
Pengawal selia keselamatan nuklear Singapura dan Suruhanjaya Pengawalan Nuklear Amerika Syarikat (NRC) menandatangani satu perjanjian latihan pada 17 April.
Di bawah memorandum kerjasama itu, satu program latihan baharu akan dirangka untuk Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Bahagian Keselamatan Nuklear yang ditubuhkan pada Oktober 2025, kata NEA pada 20 April.
Tumpuan akan diberikan kepada pembangunan keupayaan keselamatan nuklear Singapura dan pemahaman pengawalseliaan.
NEA berkata pegawainya akan mengikuti kursus dan penempatan di NRC untuk memperoleh pengalaman langsung dalam bidang, termasuk pengawalseliaan reaktor, penilaian keselamatan, penilaian kemungkinan adanya risiko dan prosedur pemeriksaan.
Kepakaran yang dipertingkat itu akan “memperdalam pengetahuan pengawalseliaan nuklear Singapura” ketika Singapura mengkaji kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear, kata NEA, sambil menambah, program itu akan berlangsung selama dua tahun.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Kumpulan yang bertanggungjawab bagi Kumpulan Perlindungan Sinaran dan Sains Nuklear NEA, Encik Ang Kok Kiat; dan Pengarah Pejabat Program Antarabangsa NRC, Encik David Skeen; semasa Mesyuarat Semakan Konvensyen Keselamatan Nuklear, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, Austria.
IAEA ialah badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Singapura masih belum memutuskan sama ada untuk menggunakan tenaga nuklear, tetapi sedang menilai kesesuaiannya.
Dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang terhad di sini, pilihan rendah karbon seperti tenaga nuklear, boleh membantu Singapura bukan sahaja mencapai sasaran sifar bersih, bahkan juga mengukuhkan keselamatan tenaga.
Singapura telah menjalankan beberapa kajian mengenai penggunaan tenaga nuklear.
Pada Mac, NEA berkata ia akan menjalankan tiga kajian, untuk meneliti piawaian keselamatan antarabangsa dan kesan alam sekitar kemudahan loji nuklear.
Ia termasuk cara mereka bentuk dan mengendalikan reaktor dengan selamat, sistem keselamatan yang diperlukan serta pencegahan kemalangan.
Singapura turut membangunkan bakat tempatan dalam bidang nuklear.
Pada Julai 2025, Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI) telah dilancarkan di Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk membina kepakaran dalam teknologi nuklear dan penyelidikan saintifik, dengan sasaran melatih 100 pakar nuklear menjelang 2030.
Perjanjian terbaharu itu memperkukuh kerjasama lama NEA dengan NRC, di bawah pengaturan sedia ada bagi pertukaran maklumat teknikal dan kerjasama dalam keselamatan nuklear, kata NEA.
Jalinan kerjasama tersebut turut menyokong rangka kerja nuklear awam yang lebih luas antara Amerika dengan Singapura, yang diperkukuh melalui pemeteraian Perjanjian 123 pada Julai 2024, tambah NEA.
Rangka kerja itu membolehkan Singapura mempelajari lebih lanjut mengenai teknologi nuklear terkini dan penyelidikan saintifik daripada organisasi Amerika.
