Pelanggan tidak perlu risau akan didenda jika mereka ‘mengecop’ atau mendapatkan tempat duduk di pusat penjaja, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 9 April.
Agensi itu menyiarkan kenyataan di Facebook sebagai tindak balas kepada mesej tersebar di media sosial baru-baru ini, yang mendakwa akan ada hukuman bagi mereka yang berbuat demikian.
“Dakwaan ini adalah palsu. Zon ‘bebas dari cop’ juga tiada,” kata NEA.
Satu hantaran Facebook sedemikian yang dilihat oleh The Straits Times mendakwa bahawa NEA akan memperkenalkan zon itu di pusat penjaja terpilih, yang akan menyaksikan pengunjung yang ditangkap kerana cuba ‘mengecop’ tempat duduk dengan paket tisu, payung atau lanyard pejabat, dirampas barangan mereka.
Hantaran itu juga menyatakan bahawa pengunjung perlu membayar “yuran pelepasan” $2 untuk mendapatkan semula barangan mereka dari satu tempat pengumpulan barang yang hilang dan dijumpai (‘Lost & Found’).
Manakala pesalah berulang akan dikehendaki berdiri dan makan sebagai sebahagian daripada satu inisiatif “pembetulan adab”.
Dalam kenyataannya itu, NEA mengingatkan orang ramai supaya bertimbang rasa semasa menjamu selera di pusat penjaja.
“Ini membantu memastikan pengalaman makan yang menyenangkan untuk semua,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg