Topik diikuti
Pergi ke BHkuNParks rampas 101 haiwan liar dalam serbuan terbesar sejak 2021
NParks rampas 101 haiwan liar dalam serbuan terbesar sejak 2021
Seekor tokek – binatang seperti cicak – yang mengalami kecederaan dan jangkitan mata serta beberapa axolotl (sejenis amfibia) yang lemah adalah antara 101 haiwan liar yang dirampas Lembaga Taman Negara (NParks) pada 14 September dalam serbuan di enam kediaman di Singapura.
Ini merupakan operasi seumpamanya yang terbesar sejak 2021, apabila hampir 120 haiwan liar yang dipelihara secara haram dirampas.
Haiwan lain yang ditemui termasuk ular, kura-kura dan sugar glider (sejenis mamalia kecil), yang kesemuanya tidak dibenarkan dipelihara sebagai haiwan peliharaan di Singapura.
Pengarah Penguatkuasaan dan Siasatan NParks, Encik Joshua Teoh, berkata enam individu sedang disiasat kerana disyaki memiliki dan menjual haiwan berkenaan secara haram menerusi media sosial.
Sebanyak 13 haiwan ditemukan mati, dipercayai akibat keadaan tempat tinggal yang buruk.
Banyak lagi berada dalam keadaan kesihatan teruk, termasuk seekor tokek harimau yang terlalu kurus dan terpaksa dimatikan akibat kecederaan dan jangkitan mata.
NParks menyatakan keadaan itu menunjukkan haiwan berkenaan telah lama dikurung dalam keadaan teruk, termasuk dalam bekas sempit, kawasan kurang aliran udara yang baik serta kekurangan makanan dan air.
Encik Teoh berkata rampasan itu bukan petanda lebih banyak hidupan liar diseludup masuk ke Singapura.
Beliau menambah, serbuan dilakukan apabila NParks mempunyai maklumat mencukupi daripada sumber seperti pemantauan platform jual beli dalam talian dan maklumat orang ramai.
Encik Teoh berkata: “Masih terlalu awal untuk mengulas sama ada operasi ini melibatkan pembiakan atau import haram, atau haiwan itu diberikan oleh rakan.”
Beliau enggan mendedahkan butiran lanjut, termasuk jenis kediaman tempat haiwan itu ditemui kerana siasatan masih dijalankan.
Doktor haiwan Erin Tan di Pusat Pemulihan Hidupan Liar berkata kakitangan mengambil masa kira-kira 12 jam untuk memeriksa dan menempatkan semua haiwan dalam kuarantin, termasuk tarantula dan kala jengking.
Haiwan tersebut akan ditempatkan dalam kuarantin selama satu hingga enam bulan sebelum dinilai untuk dihantar pulang ke negara asal atau disumbangkan kepada tempat seperti zoo.
Di bawah Akta Hidupan Liar, mereka yang didapati menjual atau mengeksport sebarang hidupan liar secara haram boleh didenda sehingga $50,000, dipenjara sehingga dua tahun, atau kededuanya sekali.
Mereka yang membawa masuk hidupan liar secara haram pula boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga setahun, atau kededuanya.
Beberapa haiwan yang ditemukan turut dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (Cites), termasuk cicak ‘armadillo girdled’, ular sawa bebola, ‘blue beauty anole’ dan ular ‘rosy boa’.
Di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport), mereka yang membawa masuk spesimen tersebut secara haram boleh didenda sehingga $50,000 bagi setiap spesimen, dipenjara sehingga empat tahun, atau kededuanya.
NParks memberi amaran bahawa perdagangan hidupan liar secara haram boleh mengancam spesies yang semakin pupus, kesihatan awam dan biodiversiti asli.
Orang ramai digesa mendapatkan haiwan peliharaan daripada kumpulan kebajikan haiwan atau kedai berlesen dan melaporkan kegiatan yang mencurigakan kepada NParks.

