Pakar industri, ahli akademik dan penyelidik yang terlibat dalam kajian mengenai isu pekerja yang mendesak seperti kesan kecerdasan buatan (AI) generatif terhadap keperluan tenaga manusia, akan mendapat sokongan lebih besar untuk menjayakan usaha tersebut.
Ini adalah ekoran pelancaran Perikatan Pekerja Co-laB (Lab), yang terdiri daripada kumpulan awal 50 pakar tempatan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) semasa satu persidangan pada 26 September.
Pakar-pakar itu akan menerima lebih banyak sokongan dalam bidang seperti pembiayaan, akses kepada sumber serta perkongsian data di bawah daya usaha baru NTUC.
“Seiring dengan evolusi di tempat kerja, NTUC juga berinovasi dan menyesuaikan diri bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang berubah.
“Kerjasama kami dengan pakar akademik dan institusi penyelidikan membolehkan NTUC untuk menjalankan kajian bebas dan memperkuat sokongan kami, merapatkan dasar dengan maklumat dan memberi kesan demi meningkatkan kehidupan dan mata pencarian pekerja,” jelas Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.
Kerjasama itu bertujuan memanfaatkan penyelidikan untuk mempengaruhi dasar dan amalan pekerja yang akan meningkatkan gaji, kebajikan serta prospek pekerjaan.
Misalnya, topik penyelidikan yang ingin dirangkumi Lab pada tahun pertama termasuk keadilan di tempat kerja dan kebolehpasaran pekerja yang lebih berusia.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, tema penyelidikan utama seperti trend pekerja yang muncul, dan pekerjaan serta produktiviti akan diberi keutamaan.
Bercakap dalam satu sesi bersama media pada 16 September, Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Patrick Tay, berkata sebelum pelancaran rasmi Lab, ramai anggota Lab telah bekerjasama dengan pergerakan pekerja dalam pelbagai projek dan penyelidikan selama beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ia adalah rangkaian tidak formal tetapi kami melihat nilai untuk menyatukan semua pihak kerana kami mahu meningkatkan ruang memandangkan semua orang amat bersemangat.
“Kami juga mahu mengelak pertindihan kerja supaya kami dapat memanfaatkan kekuatan dan sumber masing-masing.
“Dengan rangkaian yang lebih besar dan menjadikan ia formal, kami boleh mengakses sumber dengan cara yang lebih teratur,” ujar beliau.
Profesor Madya Randolph Tan dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) ialah salah seorang daripada 50 anggota Lab yang meraih manfaat daripada kerjasama tersebut.
“NTUC membantu kami membuka peluang apabila kami perlu menemu bual dan mengkaji pekerja.
“Kami ingin membentuk persekitaran untuk pekerja dengan menawarkan lebih banyak peluang kepada mereka tatkala mereka maju dalam kerjaya. Kami ingin melihat lebih banyak contoh kejayaan,” ujar Profesor Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg