Seramai 700 orang di Singapura akan menerima barangan keperluan seperti alat pembersih udara dan minuman isotonik dalam beberapa hari akan datang bagi membantu mereka menghadapi jerebu dan cuaca panas.

Dalam kenyataan pada 7 September, Palang Merah Singapura (SRC) berkata ia akan mempertingkatkan responsnya bagi membantu golongan yang mudah terjejas akibat mutu udara yang buruk.

Pertubuhan kemanusiaan itu akan mengagihkan alat pembersih udara serta pek bantuan bagi cuaca panas dan jerebu dalam beberapa hari akan datang kepada 200 warga emas berusia 70 tahun ke atas yang tinggal bersendirian.

Pek itu mengandungi bekalan minuman dan barangan keperluan lain. Sebahagian warga emas turut menerima bantuan bil elektrik selama tiga bulan bagi meringankan kos penggunaan alat pembersih udara.

Warga emas itu adalah peserta Program Pemantauan dan Penjagaan Warga Senja di Rumah serta Khidmat Iringan dan Pengangkutan Perubatan SRC.

Memandangkan pendedahan berpanjangan kepada haba dan jerebu boleh menjadi sangat berbahaya bagi warga emas, langkah-langkah tersebut akan menyediakan lapisan perlindungan penting serta mengurangkan keperluan mereka untuk keluar rumah apabila keadaan bertambah buruk, menurut SRC.

Usaha itu menyusuli mutu udara Singapura yang mencecah paras tidak sihat buat kali pertama sejak Oktober 2023, apabila Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam melebihi 101 pada pagi 4 September.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mula mengeluarkan nasihat harian mengenai jerebu pada hari itu.

SRC berkata 500 lagi orang daripada golongan yang mudah terjejas akan menerima pek mengandungi air kelapa, minuman isotonik, makanan sedia dimakan, barangan kebersihan asas dan keperluan lain.

Bekalan itu boleh membantu mereka mendapatkan minuman yang mencukupi, mengurangkan kegiatan di luar rumah dan mematuhi nasihat kesihatan NEA.

SRC juga akan memanfaatkan program semasa, rangkaian masyarakat dan rakan kerjasamanya untuk menyediakan bantuan khusus mengikut keperluan golongan tersebut.

SRC akan melatih pendamping masyarakat mengesan tanda-tanda tekanan akibat cuaca panas dan jerebu, selain membekalkan pelitup N95 kepada sukarelawan dan kakitangan apabila diperlukan.

“Apabila suhu meningkat dan mutu udara merosot, kesannya boleh menjadi lebih parah bagi golongan yang berisiko,” kata Setiausaha Agung dan Ketua Eksekutif SRC, Encik Benjamin William.

“Tiada sesiapa seharusnya menghadapi keadaan ini bersendirian. Kami menggesa semua orang terus berwaspada, mematuhi nasihat kesihatan rasmi dan meninjau keadaan mereka yang mungkin memerlukan bantuan,” tambahnya.

Bantuan itu meneruskan usaha SRC pada April lalu, apabila pek perlindungan daripada cuaca panas dan jerebu diagihkan.

Ceramah mengenai daya tahan cuaca panas turut diadakan untuk 450 pekerja migran yang bekerja di luar.

Orang ramai boleh menyokong usaha SRC melalui sumbangan yang layak mendapat potongan cukai 250 peratus menerusi kaedah berikut:

Kad kredit: Menyumbang melalui pautan redcross.sg/srchazeandheat.

PayNow: Gunakan UEN “S86CC0370ETSP” dan nyatakan “Haze & Heat dan (NRIC/FIN/UEN anda untuk potongan cukai)” dalam ruang rujukan bil.

Cek: Cek hendaklah ditujukan kepada “Singapore Red Cross Society”, dengan “SG Haze & Heat” ditulis di belakang cek. Sertakan nama, alamat dan NRIC/FIN anda (untuk mendapat potongan cukai) di belakang cek, kemudian kirimkan ke Red Cross House.

Di pejabat: Sumbangan boleh dibuat di Red Cross House, 15 Penang Lane, pada waktu pejabat.

Mengumpul dana: Daftar sebagai pengumpul dana pihak ketiga dengan SRC atau wujudkan kempen di Giving.sg.